Thursday, August 20, 2015

Pendedahan Mustapa yang tidak untungkan Hadi

ULASAN PETANG

Mustapa kurang bijak.
Pendedahan oleh Mustapa Ali, sebuah cerita lama bagaimana Pas membuat keputusan anih yang boleh ditafsirkan sebagai pengkhianat menjelang pilihan raya ke-13 dahulu yang mana mahu menukarkan jawatan perdana menteri daripada Anwar Ibrahim kepada Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya Pakatan Rakyat menang, bukan mendedahkan ketulusan Mustapa dan Pas, sebaliknya membuka kelemahan diri dan parti sendiri.

Mustapa sekonyong-konyong menjelaskan usaha menukar jawatan PM daripada Anwar kepada Tengku Razaliegh Hamzah dicadangkan oleh Pas. Tujuan Mustapa mendedahkan cerita "benar" yang dianggap tidak ada moral dan setiakawan bagi Pas itu bagi membela dan mempertahankan presiden Pas, yang dituduh oleh DAP menolak Anwar.

Penjelasan Mustapa itu tidak menguntungkan Pas sebenarnya, tetapi mendedah hakikat yang selama ini dipersoalkan oleh umum terhadap presiden parti itu. Apabila Pas mencadangkan nama Tengku Razaleigh sebagai menjadi PM, tetapi tidak nama Abdul Hadi Awang, jelas menunjukkan presiden Pas itu tidak layak untuk menjadi PM.

Abdul Hadi bagi Pas sendiri tidak disenaraikan sebagai pemimpin nombor satu Malaysia.

Bertolak dari realiti itulah mungkin maka berlaku protes dari kalangan bekas pimpinan Pas kepada Abdul Hadi Awang. Mereka malu dan segan untuk berketuakan kepada orang yang tidak tersenarai sebagai perdana menteri.

Sekiranya Abdul Hadi mencapai standard sebagai PM, sudah tentu nama beliau dicadang menggantikan Anwar Ibrahim apabila Majlis Syura Ulama (MSU) membuat pertimbangan dari segi moral Anwar tidak layak. Nama Abdul Hadilah paling layak apabila nama Lim Kit Siang juga bermasalah selepas nama Anwar tidak diperlukan bukannya Tengku Razaleigh orang yang berada di luar lingkungan Pakatan Rakyat.

Tanpa Pas menamakan presidennya sendiri sebaliknya menggadaikan jawatan itu kepada Tengku Razaleig menunjukkan Abdul Hadi dalam keadaan teruk dan tidak bermutu. Tanpa disedari penamaan Tengku Razaleigh itu sebagai penghinaan secara halus terhadap Abdul Hadi yang mungkin hanya disengehinya sahaja.

Yang merujakan lagi bukan sahaja kalangan Jawatankuasa kerja Pas tidak mencadangkan Abdul Hadi menjadi PM, tetapi MSU badan yang dikira tertinggi dimana Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul juga tidak terliur dengan Abdul Hadi.

Walasil balik, walasal balik asil, pendedahan Mustapa bertujuan untuk memburuk-buruk Lim Kit Siang dan menunjukkan Pas, khasnya Abdul Hadi baik dan bersih, jadi sebaliknya. Pendedahan itu secara tidak langsung merenah-rendahkan martabat Abdul Hadi sebagai pemimpin bertaraf dunia yang disanjungi, dan ia jelas tidak setanding dengan status yang diraih Anwar.

Makanya lain kalau Mustapa hendak membuat kejutan dan membuka cerita-cerita sebenar yang misteri dan berlapis, harus berfikir banyak kali dan melihat apakah implikasi daripada yang dilakukan. Jangan pula kerana hendak membungkus nangka, kain kita pula terkoyak.  [wm.kl.6:54 pm 20/08/15]

No comments: