Tuesday, March 10, 2015

Fahami masej Pas Kota Bharu kenapa tidak cadang Hadi

RIMAS MALAM                                                                              

Tidak sampai 12 jam Pas Kota Bharu membuat cadangan agar Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi calon untuk mencabar jawatan presiden yang dipegang oleh Abdul Hadi Awang, bekas Adun Jengka itu telah membuat kenyataan menolak cadangan Pas Kota Bharu itu.

Penolakan awal itu mungkin bagi mengelakan pencalonan beliau itu menjadi viral di media baru. Selain itu juga untuk menyatakan kesetiaan kepada presiden sekarang ini. Sambil menolak pencalonan itu sempat juga Tuan Ibrahim berkempen untuk mengukuhkan kepimpinan ulama, specialnya Abdul Hadi.

Katanya pencalonan itu sesuatu yang mengejutkan yang tidak membina keutuhan parti. Sebenarnya ia bukan mengejutkan, dan pencalonan itu adalah untuk membuka demokrasi. Orang seperti Tuan Ibrahim sahaja menganggap demikian.

Bagi saya tindakan Tuan Ibrahim itu sedikit terlebih dan teperasaan apabila dia merasakan Pas Kota Bharu "ikhlas" mencadangkannya. Saya tidak fikir kalau Tuan Ibrahim menjadi pilihan Pas Kota Bharu untuk mengganti Abdul Hadi Awang. Kerana apakah bezanya beliau dengan Abdul Hadi. Kalau ditukar Tuan Ibrahim dengan Abdul Hadi, seperti menukar capar dengan terompah sahaja.

Kedua-dua jenis pakaian itu tidak boleh dibawa masuk ke dalam pejabat, melainkan dapat dipakai untuk kegunaan di surau atau tempat ceramah dan kuliyah sahaja. Jangan salah faham anologi ini, bukan hendak menghina tetapi pelapik kaki itu sesuai pada tempat dan suasananya.

Atas hakikat itu saya tidak nampak, Pas Kota Bharu serius dengan cadangan itu. Sebaliknya apa yang hendak disampaikan oleh Pas Kota Bharu ialah mereka sudah tidak sanggup berpresidenkan Abdul Hadi lagi atas sebab-sebab yang "donian" semua tahu. Itu mesej sebenarnya.

Kononnya pencalonan Tuan Ibrahim sebagai calon presiden itu sebagai menandakan kesuburan politik dalam Pas, adalah alasan sahaja. Kata orang untuk memaniskan mulut sahaja. Adapun kenapa Pas Kota Bharu berbuat begitu kerana sudah muak dengan Abdul Hadi.

Dengan membuat begitu, tidak mencalonkan Abdul Hadi mengekalkan kedudukan, Pas Kota Bharu ingin menyampaikan mesej kepada Pas di kawasan lain agar tidak rigid dalam politik dan jumud dalam demokrasi. Kita tahu Pas Kota Bharu adalah sebuah kawasan elit, yang mempunyai pandangan politik yang jauh untuk membangunkan Pas.

Pas Kota Bharu boleh dianggap sebagai enjin dan nadi kepada Pas Kelantan dan banyak membuat pendekatan baru yang mengejutkan.

Tidak timbul kalau pencalonan Tuan Ibrahim itu untuk menimbulkan perpecahan dalam Pas, sebab pencalonan itu dibenarkan oleh perlembagaan parti. Kalau Pas sudah tidak mahu menerima perlembagaan dan pencalonan yang dibenarkan dianggap negatif, elok campak ke laut sahaja perlembagaan Pas itu. Dan politik malu alah atau taksub membuta tuli, tidak perlu ada dalam politik moden.

Tidak ada masalah kalau Tuan Ibrahim setia dengan presiden dan tidak menerima pencalonan itu. Hak mencalon itu hak Pas Kota Bharu dan hak menerima adalah hak Tuan Ibrahim. Tetapi janganlah mentafsirkan pencalonan beliau itu sebagai satu maksud yang nakal dari itu.

Apa yang Pas Kota Bharu lakukan itu menunjukkan Pas kawasan Kota Bharu adalah salah satu kawasan Pas yang merdeka dan tidak sedia menjadi pak sanggup atau "wak yek" dalam politik. Yang diharapkan semoga akan ada Pas kawasan lain mengikut jejaknya. Maaflah kalau terkasar sedikit siang tadi termakan lada banyak. [wm.kl.11:02 10/03/15]

1 comment:

Unknown said...

Salaam. Mungkin perlu pada 'tim' baru dari luar 'orbit' masakini sprti Ustz Azhar idrus yg berbakat dan petah dan Ustz Abdul Basith dari Pondok Sg Durian yg rapat dgn gplongan akademik dan kelas pertengahan dan mungkin juga Dr Maza yg mmpunyai pengikut dari berbagai lapisan...
Namun pokoknya sudah ada usaha pembahruan yg menyegarkan. Semoga 'genius' dan kefakihan Allahyarham TGNA berjaya diteruskan. Amin.