Monday, January 12, 2015

Mustapa perlu merdekakan penjajahan politik ke atas Kelantan

IDEA AHAD                                                                                                      

Sekali lagi saya ingin berkata khusus kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed yang juga merupakan satu-satu menteri kabinet daripada Kelantan buat masa ini, bahawa inilah masanya kalau beliau ingin meninggalkan apa-apa legasi kepada Kelantan dengan mengambil manfaat daripada bencana banjir melanda Kelantan kini.

Mustapa berjumpa dengan Ahmad demi Kelantan.
Inilah "cerlak" terbaik sekali kalau beliau ingin mencatat sejarah buat dirinya dan untuk dikenang rakyat sebagai pemimpin rakyat yang prihatin dan berjasa bukan saja di Jeli kawasan dijaga dan dibangunkannya, tetapi bagi seluruh negeri Tok Janggut dan Tok Kenali itu.

Seperti diperakui umum bah emas, (banjir) yang kini sudah beransur surut merupakan bencana alam paling buruk menimpa negeri Kelantan. Walapun beberapa dekad sebelum ini sudah ada bencana sedemikian tahun 1930-an dan 1960-an, tetapi bencana pertengahan 2000-an adalah paling dahsyat.

Kita semua menyaksikan dengan kepala kita sendiri akan kedahsyatan bencana berkenaan. Peristiwa yang berlaku genap 10 tahun tsunami di Aceh (2004) itu seakan-akan untuk menyambut hari jadinya (hari tragedi dahsyat) bencana itu di Kota Bharu Kelantan. Seperti saya nyatakan sebelum ini, persamaan Aceh dengan Kelantan dikenali sebagai Serambi Makkah, seperti sudah kebetulan yang tepat maka itu Tuhan memilih Kelantan untuk melambungkan kemurkaan-Nya (sebenarnya kasih dan sayang) agar semua orang mengambil iktibar dan insaf.

Ramzi sedang menceritakan sesuatu kepada Mustapa.
Bah emas adalah bah bukan sembarangan. Melihat kepada kehancuran, kemusanahan dan penderitaan rakyat (mangsa) ia tidak ubah seperti tsunami. Saya menyimpulkan bah emas yang menghentam seluruh jajahan di Kelantan itu adalah kombinasi padu dua bencana alam di Aceh 2004 dan gempa Bumi di Jawa Timur 2006. Dan bah emas itu juga adalah isyarat jelas setiap 40 tahun sekali malapetaka besar akan berlaku atas muka dunia ini. Kali terakhir bah besar di Kelantan ialah 1967.

Begitulah, keadaan dan suasananya; rumah terbongkar rebah dan hancur. Pokok tumbang bergelempangan manakala ribuan kenderaan tenggelam dan tersungkur ke dalam lumpur. Binatang dan haiwan ternakan kehilangan negeri. Bangunan dan premis kerajaan juga musnah atau pun rosak. Eletrik, kemudahan air bersih, wifi dan jalan raya putus dan punah ranah. Saking dahsyatnya jambatan kereta api yang dibina dizaman British yang diakui kuat dan teguh pun roboh dan musnah. Kelantan menjadi persis negeri dalam peperangan untuk beberapa ketika.

Mangsa bergelap dan berlapar beberapa malam sebelum bantuan luar tiba. Cuma bezanya di Kelantan tidak ada mayat bergelempangan di jalan-jalan raya, tersangkut dibumbung rumah, melampong di sungai atau pun tersangkut di pokok kayu seperti mana keadaan di Aceh. Atau pun, di Kelantan tidak ada kubur besar dibina untuk mengembumikan mangsa banjir laksana di Aceh yang punya dua buah kubur besar tempat bersemadinya ratusan mangsa tsunami. Alhamdulilah tahap kematian di Kelantan sedikit, kurang daripada 20 orang yang dilapor. Tegas dan jelasnya situasi dan kondisi malapetaka di Kelantan itu sama dengan di Aceh.

Terbesar saya kata kerana ia melibatkan lebih 100,000 rakyat terpaksa dipindahkan. Manakala jumlah kerosakan harta benda awam dan orang ramai mencecah RM932 juta. Itu menurut anggaran Mustapa Mohamed Pengerusi Jawatankuasa Banjir yang dibuat dengan penuh jimat cermat. Tetapi saya yakin kerugian dialami kerana banjir itu lebih besar dari jumlah berkenaan. Mungkin kalau diperuntukan kesemua wang royalti minyak yang patut diterima Kelantan untuk membangun semula Kelantan tidak mencukupi.

Justeru menerima hakikat itulah, maka perlu Mustapa selaku pemimpin utama Umno pada masa ini berbuat sesuatu yang lebih signifiken dengan bencana tersebut. Peluang daripada bencana itu harus diguna sepenuhnya dengan nawaitu yang baik untuk membangunkan Kelantan atas nama anak Kelantan yang diamanah dan diharapkan memberi sumbangan bermakna kepada Kelantan.

Rakyat suka Mustapa, buatlah sesuatu legasi bermakna.
Tuhan turunkan bencana itu selepas lebih 40 tahun seakan-akan memberi ruang kepada Mustapa untuk berfikir dan mengambil kesempatan melakukan sesuatu. Ia juga semacam satu penebusan dosa, baik bagi Mustapa dan partinya Umno dan juga Pas. Umno Kelantan selama ini berdosa dengan rakyat Kelantan kerana perbezaan politik dengan kerajaan Kelantan menyebabkan rakyat menjadi mangsa penyisihan. Banyak hak-hak yang dijanjikan Perlembagaan dinafikan secara mentah. Manakala Pas juga berdosa kerana terus berdegil dengan politik "babilnya" untuk memerintah sendiri atas kepercayaan mereka parti agama yang membawa rakyat ke Syurga.

Selama 40 tahun kalau menurut analisa para akademis dan ahli politik, Kelantan tertinggal di belakang. Berbagai statistik dikeluarkan bertujuan menunjukkan Kelantan ketinggalan dan mundur sekaligus bagi menggambarkan ketidakupayaan Pas sebagai kerajaan. Kenapa Kelantan tertinggal ialah kerana orang Kelantan tegar dalam berpolitik. Bukan salah diskiminasi Pusat semata-mata tetapi kerana "bangsa" Kelantan sendiri yang mencorakkan warna kehidupannya. Orang Kelantan bernafas dengan politik sepanjang masa seperti mana orang Inggeris hidup dengan bola sepak. Orang Kelantan membudaya dan tradisikan politik seperti permainan tradisional dan kebudayannya yang dibangga-banggakan seperti wayang kulit, mak yong, rebana, keretuk, wau ataupun dikir barat.

Dr Mahathir Mohamed semasa menjadi PM apabila diasak dan dituduh mendiskriminasikan Kelantan pernah memberi tahu beliau tidak menyisihkan Kelantan tetapi nasib Kelantan atas kehendak rakyat Kelantan sendiri. Benar atau tidak kata-kata Mahathir itu, kita tinggalkan. Tetapi sejarah mencatatkan Annuar Musa semasa berkuasa dalam Umno Kelantan melarang apa-apa pembangunan dibangunkan di Kelantan sebagai mengajar rakyat Kelantan.

Hari ini dengan musibah banjir itu dan sejajar dengan penguasaan dunia pemikiran dan politik dari golongan muda sudah sampai Kelantan berubah budaya dan pendekatan berpolitik. Tanggungjawsab untuk berubah ini terletak kepada pemimpin Umno dan Pas masa kini, teristimewanya Mustapa Mohamed dan Ahmad Yaakob.

Dalam hal ini sebagai parti yang berkuasa dan menjadi pemerintah di peringkat pusat, angin perubahan itu boleh ditiupkan oleh Mustapa Mohamed. Politik baru di Kelantan boleh dilakukan oleh beliau. Beliau boleh lakukan kerana kebetulan yang menerajui Pas Kelantan kini Ahmad Yaakob yang seperti nampak tidak mahu meneruskan kebabilan berpolitik sebelum ini. Beliau ada cara dan stail politik tersendiri. Ada sikap terbuka yang ditunjukkan oleh MB itu. Bagi Ahmad dengan keadaan kewangan negeri yang makin terjempit kerjasama dan bantuan itu sangat diperlukan. Mungkin dia juga berfikir untuk apa memelihara lembu kalau susunya dapat diminum dari sumber lain.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan Mustapa untuk meletakkan asas baru politik Kelantan selepas banjir ini. Ia tidak semestinya Umno dan Pas bergabung seperti mana disuarakan sesetengah pihak dan diragui oleh pihak lain. Cadangan itu terlalu idealis. Saya sendiri tidak setuju kalau penggabungan Umno dengan Pas dibuat berdasarkan bencana alam dan bukannya atas kesedaran politik yang hakiki.

Pertama, Mustapa perlu menggunakan kuasa yang ada kepadanya mendesak kerajaan Persekutuan melayani Kelantan seperti negeri-negeri lain juga. Sebagai menteri di Pusat beliau perlu memperjuangkan pembangunan sosial ekonomi untuk Kelantan. Mustapa harus menjadi wira membebaskan segala sekatan dan birokrasi politik pusat ke atas Kelantan. Kalau benar Kelantan mundur selama 40 tahun, ianya disebabkan penjajahan pusat menerusi kuasa politik ke atas Kelantan selama tempoh itu, 24 campur 18 tahun = 42. Penjajahan menerusi politik di Kelantan perlu ditamatkan dan Mustapa lah perlu menjadi Bapak Kemerdekaanya.

Mustapa harus memperjuangkan dan melawan apa sahaja sekatan pembangunan ke atas Kelantan yang dijamin oleh federalisme. Semisalnya cadangan untuk mewujudkan empangan di hulu Sungai Kelantan seperti mana disebut Perdana Menteri sebagai salah satu cara mengatasi masalah banjir dan manfaat lain itu hendak dipastikan menjadi kenyataan bukan retorik semata-mata.

Bersekalian dengan itu Mustapa juga harus memperjuangkan untuk membina penebatan banjir di sepanjang sungai Golok. Projek ini sudah lama dicadangkan dan Mustapa pun sudah beberapa kali mengumumkannya tetapi belum menjadi kenyataan. Andainya semasa projek itu diumumkan ditanam sepohon pokok pauh ianya sudah berbuah dan sudah mendapatkan hasilnya.

Selain itu perkara sangat mustahak ialah pembinaan penempatan kepada mangsa banjir. Dengan kuasa yang ada kepadanya selaku Pengerusi Jawatankuasa Banjir Kelantan, bersama dengan Ahmad Yaakob beliau perlu mengambil inisiatif mendekati kerajaan Kelantan bagi mengenali pasti kawasan penempatan itu. Hasrat itu biarlah menjadi kenyataan dalam masa terdekat bukan saja untuk membuktikan kesungguhan Mustapa dan Ahmad Yaakob tetapi meringankan bebanan mangsa banjir.

Pembinaan empangan, tebatan atau penempatan mangsa banjir itu Mustapa harus jadikan pembinaan itu sebagai agenda dan perjuangan peribadinya dan juga Umno Kelantan. Biarlah empangan dan kawasan penempatan mangsa banjir itu kelak akan terbina dan mangsa dapat mendiaminya semasa Mustapa menjadi pengerusi Umno Kelantan dan menteri pusat. Empangan itu akan boleh dijadikan legasi duniawinya selama berkecimpung dalam politik.

Alwi pukul barang, teringin juga untuk lihat Najib begini.
Itu dari segi pembangunan fizikal, tetapi masih ada pembangunan atau pun kemajuan lain yang boleh dijadikan legasi buat Mustapa. Ia dimaksudkan ialah sekiranya beliau mampu menyatukan pemikiran rakyat Kelantan dalam persefahaman berpolitik yang dinamik.

Mustapa juga boleh meninggalkan legasi yang hebat untuk Kelantan sekiranya beliau mampu membentuk pemikiran baru politik di Kelantan. Dalam hal ini baik Umno maupun Pas mesti bergerak ke arah untuk kemajuan Kelantan tanpa meletakkan politik sebagai matlamat. Kalaupun ada elemen politik, tetapi ia janganlah didominasikan sebaliknya cita-cita membangunkan rakyat dan negeri yang diutamakan.

Dalam merealisasikan ini semua, Mustapa dan Umno jangan berkira ianya akan dapat dilaksanakan, (pembangunan menyeluruh) apabila Umno menjadi kerajaan di Kelantan. Pandangan dan pegangan itu salah dan silap serta tidak mencerminkan keintelektualan siasah yang dinamik. Soal menjadi kerajaan atau tidak biarlah rakyat menilainya. Rakyat Kelantan tidak boleh dipaksa dengan apa-apa propaganda dan juga tekanan dan penyisihan sebab mereka tidak mudah tunduk kepada politik tidak adil begitu.

Pembentukan pemikiran serta penerimaan politik baru di Kelantan ini, dimana rakyat disatukan untuk membangun dan menjaga nama baik negeri. Dengan permulaan atau iktibar daripada bencana banjir ini ternyata ia boleh dicapai. Ketika menghadapi musibah ini, jelas memperlihatkan ada kesatuan fikiran dan fizikal antara orang Pas dengan Umno yang tertonjol. Semua pihak bergerak dan berdoa dengan rangkaian doa sama, selamatkan Kelantan, sejahterakan Kelantan.

Wakil-wakil rakyat Umno yang selama ini dituduh gemar berpolitik kerana percaya politik menekan itu menguntungkan mereka telah mengubah fiil. Dalam memberi bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir mereka bertindak tanpa mengira bulu dan warna bendera politik. Misalnya apa dilakukan Ramzi Abdul Rahman di Manek Urai yang sanggup melupai tidur beberapa malam, berlecek (pecah) kaki kerana meletakkan kepentingan dan nyawa rakyat lebih daripada segala-galanya. Bantuan dihulurkan bukan saja kepada penyokong dan ahli Umno tetapi penyokong dan ahli Pas juga.

Alwi menyambut ketibaan Hishamuddin.
Begitu juga dialukan Alwi Che Ahmad di Kok Lanas. Beliau sanggup menjelajah ke segenap jajahan untuk membantu dan menyampai bekalan kepada mangsa banjir. Sikap kerjasama secara ikhlas yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Umno Kelantan kini menyerlahkan akan satu perubahan baru. Perubahan yang diterbit kerana musibah ini boleh dididik atau pun dijadikan asas kepada pembentukan pemikiran politik baru di Kelantan.

Mustapa perlu mengambil kesempatan atas perubahan akibat musibah ini. Beliau selaku pemimpin perlu membesarkan bibit kebaikan dan keharmonian ini yang disenangi oleh semua orang. Sekiranya apa yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, walaupun Umno Kelantan tidak berjaya menjadi kerajaan tetapi apa yang baik berlaku diera Mustapa itu ia akan menjadi kenangan budi dan jasa buatnya.

Sekali lagi disebutkan peluang yang ada kini terbuka dan sangat sayanglah kalau Mustapa khasnya dan amnya Umno tidak dapat berbuat sesuatu dan mengambil sesuatu daripadanya. Pas atau kerajaan Kelantan kini umpama ayam betina sudah baligh yang sedia merendahkan diri untuk dipanjat oleh sang bapak. [wm.kl.10:31 am 12/01/15]

No comments: