Friday, October 31, 2014

Tengku Razaleigh sedia jumpa PasMa

RILEKS MALAM                                                                             

Tengah hari tadi saya berjumaat bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa rakan yang setiap Jumaat akan bersamanya di masjid Nurul Hidayah, Pandan. Selepas solat Jumaat, menjadi kebiasaan Tengku Razaleigh apabila tidak kesuntukan masa akan mengajak untuk makan tengah hari. Hari ini masanya agak luang dan kami sempat makan tengah hari di sebuah restoran di Kampung Pandan.

Amalan Tengku Razaleigh menjamu rakan hari Jumaat.
Agak lama juga saya tidak bersua dengan ahli Parlimen Gua Musang itu. Paling akhir ialah pada pertengahan Ramdhan lalu ketika hadir majlis iftar dan bersolat terawih di rumahnya. Tidak bermakna apabila lama tidak bertemu saya alpa kegiatan sosial dan politiknya.

"Lama tak berjumpa," begitulah hembur Tengku Razaleigh sebaik bertembung muka di bibir pintu pejabat alias rumahnya, sebelum ke masjid. "Sibuk sangat ke?" sambungnya lagi. Begitulah bahasa sapaan mesra Tengku kepada sesiapa yang dianggap sebagai rakannya.

"Sibuk sedikit Ku, tetapi bukan bermakna tak ingat..jiwa bersama Ku," balas saya, dan disambungnya dengan berkata; "Ingat dah kena kidnaped oleh Mahathir...," katanya sambil memecah ketawa bangsawanannya. Tengku Razaleigh seorang yang suka bergurau dan tidak berprotokol.

Menjadi kebiasaan sebelum bergerak ke masjid, beliau akan mempersilakan tetamunya (rakan-rakan) ke bilik, ruang pejabatnya. Cara ini adalah tradisi Tengku Razaleigh akan menyambut dan merai tetamunya bagaimana dia sibuk sekali pun. Baginya akan menerima "menghadap" rakan-rakan dahulu sebelum ke masjid. Lumrah ini menggambarkan akan keramahan, kerendahan diri dan kemesraan Tengku Razaleigh.

"Jom kita ke masjid, waktu dah hampir hendak masuk," katanya selepas kami melabuh punggung tidak sampai tiga minit. Kami semua bangun dan bergerak ke masjid. "Lepas sembahyang nanti kita berbual," katanya.

Kerana masa di rumahnya tadi sekejaplah maka beliau mengajak saya dan rakan ke restorn untuk makanan tengah hari dan berborak-borak mengenai pelbagai isu politik semasa.

Dan di meja makan tadi, apa lagi kalau bukan isu perbicaraan, (rayuan Anwar Ibrahim terhadap kes tuduhan liwatnya) menjadi topik utama. Selain itu Tengku menjelaskan mengenai suratnya yang dikirimkan kepada Speaker Dewan Rakyat dan ahli-ahli parlimen yang merupakan "perbahasan" Bajet tahun 2015. Kali ini beliau membuat perbahasan dalam bentuk surat yang dihantar kepada ahli parlimen dan juga dikirimkan kepada media massa.

Beberapa protal berita dan juga media antarabangsa sudah pun mengambil surat berkenaan dan disiarkan di laman media masing-masing. Surat beliau itu menyentuh mengenai ekonomi negara, memberi pandangan dalam beberapa aspek yang perlu diperkemaskan Kerajaan untuk menstabilkan ekonomi.

Tengku juga menyatakan pandangan mengenai cadangan kerajaan untuk laksanakan GST pada tahun hadapan sebagai belum sesuai dan ia membebankan rakyat. Menurutnya bila cukai dikenakan maka barangan akan naik dan rakyat terpaksa menanggungnya. Surat beliau itu bolehlah dianggap pembentangan idea Bajet darinya. Sayang seorang pakar ekonomi yang berpengalaman dan telah mencatatkan track record kehebatan sejak di zaman Tun Razak dilupakan sahaja oleh Najib Razak.

Walaupun beliau tidak hadir ke perkarangan Istana Keadilan untuk memantau perbicaraan rayuan Anwar tetapi Tengku mengambil berat mengenainya termasuk memikirkan apakah senario politik negara dan impak ke atas hasil perbicaraan itu kelak. Beliau sendiri tidak dapat menduga apakah yang akan berlaku kelak. Apakah Anwar akan di penjara ataupun dilepaskan.

"Apa pandangan you mengenai Anwar, Sayuti?" tanya Tengku. Satu lagi sikap Tengku akan menerima pandangan dan pendapat sesiapa sahaja mengenai isu-isu politik walaupun beliau sudah mempunyai banyak input. Ini menunjukkan sikap Tengku yang merai pemikiran dan pandangan orang lain.

"Bagi saya Tengku, kalau dilihat dari konteks politik, Anwar akan dibebaskan. Saya tidak kira Najib akan "memenjarakan" Anwar, mengikut apa yang Mahathir lakukan. Kini pun Najib menghadapi berbagai masalah, kehilangan MH370, MH17 kena tembak dan masalah ekonomi, dan macam-macam lagi. Saya tidak fikir dia akan terlibat dengan keputusan perbicaraan apa lagi campur tangan...," jelas saya.

Tengku hanya mendengar penuh minat dan membuat terfsiran; "kalau Anwar di penjara maka orang yang paling suka ialah Dr Mahathir lah..."

Seperti saya katakan Tengku Razaleigh terus memberi perhatian kepada perkembangan politik negara. Beliau juga mengambil berat apa yang bakal berlaku dalam Pakatan Rakyat amnya dan PKR sekiranya Anwar dipenjara kelak. Beliau tidak memberi ulasan dan prediction apa yang akan berlaku nanti, tetapi apabila beliau bertanya saya mengenai hal itu dapat saya memahami akan keprihatian beliau mengenai nasib Anwar.

"Apa yang you nampak akan berlaku sekiranya Anwar dipenjara?" Saya menjawab berterus terang daripada pengamatan saya, kalau Anwar dipenjara, keadaan Pakatan Rakyat jadi sedikit kacau. Terutamanya di dalam parti agama, Pas. Sudah tentu pertembungan dua kumpulan dalam Pas kini satu yang hendak bersama Umno dan satu hendak terus bersama Pakatan Rakyat akan berantakan. Pas akan ditimba satu lagi gelora. "Saya nampak Pakatan Rakyat akan bergelora, Ku... dan Pas akan berdepan dengan persimpangan yang agak sukar..hendak diatasi."

"Macam mana pula dengan PasMa yang hebuh sekarang ini. Betul ke tu.." Tiba-tiba Tengku bertanya tentang PasMa. Ruapanya beliau juga memberi perhatian kepada kewujudan PasMa. "Macam mana Tengku lihat PasMa ni?" saya menguji mindannya pula. Tengku seorang yang tinggi diplomasinya dan tidak mudah membuat sesuatu kesimpulannya tersendiri tanpa menyelidi. Beliau tidak memberi pandangannya dan hanya mendengar penjelasan saya.

"Macam mana kalau PasMa hendak jumpa Tengku, boleh ke?" saya memberi soalan cepu emas kepadanya. "Boleh... apa salah," balasnya rengkas tetapi tegas. Mungkin pimpinan PasMa elok berjumpa dengan Tengku sambil menjalini hubungan silaturahim boleh juga mendapat pandangan dalam beberapa hal, politik negara dan juga hal ehwal ekonomi kerana beliau adalah seorang pakar ulung ekonomi yang tidak patut diketepikan begitu sahaja.

Ternyata dalam banyak isu yang disebut dan dibuatlkan di meja makan tadi, Tengku sangat mengambil berat kepada nasib yang akan diterima Anwar kelak. Saya simpulan Tengku memberi pandangannya, kalau Anwar dipenjara kerana motif politik, orang yang berkuasa hari ini tetap juga tidak dapat mengatasi masalahnya, kerana apa yang menjadi hambatan dan perlu dirisau bukan sahaja pengaruh Anwar tetapi pelbagai masalah lain.

Sebenarnya pengaruh Anwar sudah tidak sekuat dahulu lagi, tetapi apa-apa yang berlaku di sekitar dirinya boleh menjadi isu menyebabkan rakyat akan membenci kerajaan. Memetik pengamatan Tengku terhadap Umno, menurutnya parti itu juga kini berada dalam ketandusan pimpinan untuk menyemarakkan perjuangan bangsa. Bagaimana pun sedikit kelebihan ada kepada Umno katanya ialah kuasa dan wang. Umno juga bermasalah. [wm.kl.9:27 pm 31/10/14]

No comments: