Tuesday, October 21, 2014

Diskusi dan kritikan terhadap buku saya, satu penghormatan

SARI BUDI                                                                                                         

Jarang sekali buku saya diberi penghormatan seperti penulis besar dan hebat lain, dengan mendapat sorotan dan ulasan sebegitu rupa. Sepanjang saya menerjunkan diri dalam dunia penulis buku politik, hanya sekali sahaja saya mendapat penghormatan yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup. Majlis yang saya maksudkan itu ialah perlancanran buku saya berjudul "Tuanku Sultan Ismail Petra: Idealisme dan Keperihatian Kepada Agama dan Bangsa", yang diterbitkan pada tahun 2001.

Sebahagian yang hadir pada wacana di Alor Setar.
Untuk buku itu saya mendapat penghormatan dua majlis, perlancaran oleh oleh Tuanku Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra pada sebelah paginya manakala majlis santapan malam sempena pelancaran buku berkenaan pada malamnya.

Majlis itu penuh kemeriahan. Majlis makan malam diriai dengan persembahan nyanyian Brorey Romantika daripada Indonesia yang dibayar sebanyak RM10,000 untuk tiga buah lagu. Betapa tidak gembiranya, semua pegawai tinggi kerajaan, hadir selain daripada MB, TMB, para Exco dan orang-orang kenamaan lain.



Ini pula wacana di Senawang Negeri Sembilan.
Masih terbayang, saya berdiri atas pentas di raja dan biodata rengkas dan kecil saya dibacakan oleh Nik Mustapa Nik Loding salah seorang Exco. Saya tidak mengharap penghormatan itu, tetapi itulah imbalan yang saya perolehi. Syukur kepada Tuhan.

Kemuncaknya dan menjadi sentimental value kepada saya dengan majlis itu, saya diangerahkan persalinan berupakan songket oleh Sultan Kelantan. Entah kenapa persalinan itu (samping ditempah khas) tidak pernah saya pakai sepanjang tempoh saya menerimanya. InsyaAllah pertama kali saya akan memakainya pada majlis perkahwinan puteri saya tanggal 25 Oktober nanti. (Kepada semua jangan lupa sama-sama hadir dan mendoakan majlis saya itu nanti).

Selepas pada itu tidak ada lagi majlis meraikan saya dan buku. Buku saya banyak saya lancar sendiri dan tidak ada apa-apa majlis diskusi atau wacana mengenainya. Kalau pun ada kritikan melalui surat-surat dan juga didiskusikan oleh pihak KDN, polis dan orang-orang kuat kepada mana-mana tokoh yang saya sorot dan baham dalam buku yang tidak setuju dengan saya. Saya dilontarkan dengan tohmahan jijik dan cemar sebagai penulis upahan dan tali baru kepada Umno atau lain-lainnya. Itu perkara biasa.

Seorang pimpinan Pas Kelantan pernah menuduh saya dalam mesyuarat badan perhubungan Pas saya diupah Umno jutaan ringgit. Dan apabila pemimpin Pas berkenaan berdepan dengan isu rasuah dan didakwa, dia merangkak datang ke rumah saya mengadu dan minta membelanya. Cis...

Tuduhan-tuduhan ini pula bersilih ganti dan berselang seli. Kalau buku saya itu memuji Anwar Ibrahim, maka saya dituduh orang Anwar mengupah saya. Begitu juga kalau saya menulis menghentam Dr Mahathir Mohamad, maka ada pihak lain kononnya mengupahkannya agar menghentam Mahathir. Pendeknya tuduhan dan "diskusi" demikian tidak pernah lekang dalam hidup penulis politik seperti saya dan juga penulis lain.

Saya tidak menghiraukan semua itu. Ia saya anggap pupuk yang menyegar dan meyuburkan tanah kerjaya saya. Falsafah atau tagline saya, "Hanya kita memahami diri kita" saya pegang sekukuhnya. Kalau kita hidup dengan mempedulikan kerenah tohaman dan fitnah kita akan jadi macam anjing yang dibenci sepanjang masa kerana kekhilafan dalam memberi hukum kepada makhluk berkenaan.

Apabila buku terbaru saya "Inside Story: Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah (ISKKPK) disikusi dan diwacanakan dua hari berturut-turut di tempat berasingan, saya merasakan saya mendapat penghormatan yang tidak diduga. Sekembali saya dari Tanah Suci saya diminta untuk menghadiri majlis wacana berkenaan yang sudah disiap sediakan tarikh dan tempatnya. Saya berterima kasih banyak kepada penganjur kerana dengan majlis itu saya dapat berintraksi dengan mereka yang sedia membaca tumpahan idea dan fikiran saya dalam buku berkenaan.

Bagi penulis akan merasa puas apabila buku mereka diperkatakan oleh pembaca. Sama ada ia positif atau negatif terserah, pokoknya apabila ada orang sudi memperkatakannya bermakna kehadiran memberi impak atau disedari. Tujuan dan maksud ia menulis sampai ke matlamatnya. Bagaimana hebat sesebuah buku itu kalau tidak diperkatakan ia tidak membawa apa-apa erti dan nilai.

Wacana pertama berlangsung di Senawang, Negeri Sembilan dianjurkan oleh grup Wancana anak muda di sana. Dan wacana atau diskusi kedua ialah di Alor Setar Kedah yang dianjurkan Siswah Islam Kedah. Saya berpuas hati kepada kedua-dua wacana berkenaan. Ia berlangsung dengan baik dan ilmiah penuh profesional. Menerusinya saya dapat menjelaskan isihati saya mengapa saya menulis buku berkenaan selain daripada mendapat teguran dan juga pandangan-pandangan balas yang baik.

Semasa di Kedah ramai yang berasa tidak berpuas hati dengan apa yang saya bentangkan. Bagi mereka masih ada kekurangan atau hal-hal penting yang tertinggal. Sdr Zulharzmi Shariff  yang menjadi moderator berkata hal penting yang tidak dibentangkan dalam buku berkenaan yang menjadi punca kekalahan Pas di Kedah dalam pilihan raya umum lalu, ialah mengenai penyusunan calon yang tidak mengikut kehendak kawasan.

Calon-calon yang diletak adalah atas kehendak Azizah Abdul Razak dan beberapa kerat penasihatnya. Paling menyedihkan menurut Zulharzmi ada sabotaj kepada calon-calon Pas oleh orang Pas sendiri kerana mereka dari kumpulan tertentu. Selain itu menurut peguam muda yang berani itu juga, pada pandangannya Pas Kedah tidak dapat untuk merampas kembali negeri itu kalau Pas masih dipimpinan oleh barisan kepimpinan hari ini.

Beliau menyarankan agar pimpinan hari ini turun dan bila peserta bertanya bagaimana hendak menurunkannya beliau menyarankan semua kawasan Pas menulis surat mendesak agar pemimpin berkenaan turun.

Ada juga peserta wacana itu meminta dan bertanya kepada saya apakah tidak mahu menyambung penulisan buku itu dengan mendedahkan beberapa maklumat dalaman yang terdedah hari ini semasa wacana buku itu diadakan. Katanya, mereka tidak berpuas hati dengan kandungan buku berkenaan yang dilihat berhati-hati dalam mendedahkan apa-apa perkara yang berlaku di Kedah yang membawa kepada kekalahan Pas itu.

Mereka mahu saya menyebut secara terang nama-nama yang terlibat yang membawa angkara kepada kejatuhan kerajaan Pas Kedah dimana individu-individu berkenaan sudah pun tidak menjadi rahsia lagi bagi orang Kedah. "Saya mahu MSO tulis buku kedua sebagai sambungan buku ini dan dedah seluas-luasnya," ujar salah seorang peserta serius.

Sebenarnya semasa wacana di Kedah saya sangat berharap akan hadir individu yang kurang senang dengan penerbitan buku berkenaan, terutamanya mereka yang membuat kesimpulan rapuh menuduh saya cuba memutar belitkan fakta dengan mengambil beberapa kesalahan kecil yang tidak menjejaskan struktur buku berkenaan. Mereka harus berdepan dengan saya dan "mengkromo" saya di depan khayalak. Tetapi malangnya tidak nampak wajah mereka malam itu.

Pengkritik yang bestari tidak sudi hadir. Mungkin kerana perlawanan bolasepak di antara Kedah dengan Pahang yang berkesudahan Kedah menang, lebih menarik minat mereka daripada untuk datang membicarakan fasal buku saya. Bagaimana pun saya berharap mereka yang berani mengkritik dari jauh dan dalam gelap akan tampil untuk bersemuka bagi kebaikan bersama dan mencari titik pertemuan sebagai memenuhi hasrat saya dengan penulisan buku berkenaan untuk menguatkan semula Pas Kedah. Sekiranya segan dan "anjing" untuk berdepan dengan saya, tulislah sebuah buku untuk menjelaskan akan kekaburan fakta dan hujah saya.

Selepas daripada dua majlis itu khabarnya akan diadakan satu lagi majlis seumpamanya di Bangi. Saya masih belum pastikan bila. Sekiranya majlis itu jadi, saya dengan rendah diri mengundang sesiapa juga pembaca buku saya yang tidak berpuas hati atau samar memahami tujuan dan mesej penulisan buku itu hadir untuk bersemuka dengan saya dan memberi pandangan kedua.

Sebagai penulis lemah saya sangat mengharap tunjuk ajar dan tambahan maklumat sebagai menyempurnakan buku-buku yang saya hasilkan. Terus terang saya kata dengan adanya kritikan dan wacana menjadikan saya bersemangat untuk terus menulis dan berjuang menerusi pena. Celaan dan kejian tidak sama sekali melemahkan saya. [wm.kl.1:10 pm 21/10/14]

No comments: