Sunday, February 17, 2013

Untuk ke Makkah Perlu Menanti Seru

MUSAFIR KE TANAH SUCI                                                                                          

Seminggu lalu para pembaca blog ini tertanya-tanya mengenai saya, kenapa saya tidak up-date blog dan membiarkan saja beberapa persoalan yang terladum dalam posting terakhir; mengenai perjumpaan 'gelap' di antara Timbalan Mursyidul Am PAS Haron Din dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Suasana di makam Nabi senantiasa penuh sesak.
Semua sudah tahu ke mana saya menghilang selama satu minggu, bermula 9 hingga 16 Februari - saya ke tanah suci Makkah dan Madinah - menjadi tetamu Allah bagi tahun ini. Iya, apabila Dia sudah memanggil saya tidak akan berlenggah dan sanggup menangguhkan segala urusan lain. Politik Allah lebih penting daripada segala politik lain. Hatta sekiranya parlimen sudah dibubar kalau Allah dan Nabi memanggil ke sana saya harus mengutamakan mereka.

(Saya bukan ahli politik yang gilakan kerusi dan kedudukan. Pernah berlaku seorang bekas wakil rakyat yang membawa rombongan Haji pulang tergesa-gesa meninggalkan jemaah kerana parlimen sudah dibubarkan. Beliau pulang bimbang namanya tidak dicalonkan. Hendak dijadikan petunjuk, bekas wakil rakyat berkenaan tidak pun dicalonkan oleh partinya).

Menjadi tabiat saya kalau saya hendak turun ke Makkah dan Madinah saya tidak mengkhabarkan kepada sesiapa. Hatta isteri dan anak-anak juga tahu di saat-saat hendak berangkat. Ibu pula akan saya hubungi tatkala dalam perjalanan ke airport untuk memohon doa restu darinya.

Perangai saya ini bukan baru, sejak tahun 80-an lagi. Saya seorang yang simple dan suka melakukan perjalanan kembara bersendirian. Hidup saya tidak ada batas-batas masa yang lazim dilakukan oleh orang lain. Bagi saya walaupun berjalan sendiri ada keburukan, tetapi ia menjadi kesukaan saya kerana ia ringkas, menyenangkan dan tidak menyusahkan orang lain. Bagi orang seperti saya yang tidak suka berlenggah, tidak sabar menanti dan benci kepada birokrasi tidak boleh terikat dengan kerenah-kerenah tertentu. Saya tegas dengan kata-kata dan tidak mudah kompromi dengan sebarang maksud melenggahkan waktu dan masa.

Sebab itu di dalam facebook saya akan bertindak remove mana-mana kawan yang degil atau pun suka memperolok-olok atau bergurau tanpa mengira masa dan keadaan.

Kalau merantau saya selalu bersendirian dan tidak suka kepada berpasukan kerana bagi saya perjalanan secara kabilah merumitkan kerana terpaksa mengikut jadual dan peraturan serta rukun-rukun tertentu. Satu hal lain perjalanan saya, bukan saja fokus kepada apa yang diagendakan, tetapi saya suka melihat kepada sudut-sudut atau ruang yang tidak terbentang di mata - mencari maklumat tambahan.

Pernah satu tahun saya meninggalkan anak dan isteri lebih sebulan kerana menggembara di beberapa buah negera di Asia Tenggara dan Afrika - dari Bangkok, Pakistan, Syria, Lebanon, Iran, Uzbekistan, Mesir, hingga ke Sudan. Ketika itu anak ketiga saya, Erma Esmah masih dalam pantang. Saya bernasib baik isteri pula seorang yang tidak pernah bertanya ke mana saya hendak pergi, hanya mengetahui apabila saya sudah berada di Bangkok.

Isteri saya sudah masak mengenai 'teladan' hidup dan perjuangan saya. Di malam pertama perkahwinan lagi saya menyebut kepadanya, seorang penulis dan pejuang seperti saya ini tidak terikat dengan rukun-rukun rumah tangga biasa. Saya akan pergi tidak tentu masa dan akan pulang tidak diduga. Kelangsungan hidup begini adalah atas kefahaman dan pengertian tinggi dari isteri. Dan inilah juga kekuatan yang ada kepada saya.

Tradisi dan perangai itu terbawa-bawa sampai ke hari ini. Jadi kalau saya tidak meninggalkan apa-apa nota di blog saya memaklumkan ke mana saya, itu adalah perkara biasa. Dari kerenah ini anda semua akan memahami diri saya. Namun ianya tidak sezalim mana, kerana perjalanan dan perkembangan diri saya masih dimaklumkan menerusi facebook atau twitter. Sesiapa yang menjadi sobat dan 'saing' saya akan mengikut perkembangan saya di Fb di mana sesekali saya ada mencatat dan memberi klu di mana saya berada menerusi medium berkenaan.

Bukit di belakang itulah Nabi dihumban batu.
Lantaran itu ramai yang bertanya tentang saya dan mendoakan agar saya selamat dan dapat membuat catatan, susupan malam, susupan siang atau pun catatan selepas Subuh. Bila saya buka e-mail banyak komen berkaitan beberapa posting sebelum ini tidak diurus-diposkan. Maaflah. Lebih 200 email yang mendap dalampeti komentar saya dan tidak larat pula untuk saya membaca satu persatu. Jadi kalau komen-komen yang berkualiti dan tidak dilepaskan harap maaf kerana saya belum membaca dan menelitinya.

Banyak komen yang menyentuh mengenai kunjungan Haron Din kepada Anwar Ibrahim. Masing-masing menyatakan suspen dan minta saya menjelaskan lagi apakah tujuan dan maksud pertemuan mereka. Mereka yang mengenali saya, baik semasa di Colombo, Madinah dan Makkah bertanya perihal itu. Semua ghairah dengan maklumat itu. Tetapi saya tidak sedia melayan kerana tahu di mana bumi di pijak.

Makam syuhak Uhud. Di depan makam Hamzah.
Isu itu saya rasa ia sudah tidak perlu dijelaskan lagi. Teka teki dan kemisterian itu sudah pun terjawab. PAS sendiri menerusi Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membuat penjelasan; kononnya solusi yang dibawa oleh Haron Din itu seperti dilaporkan oleh media PB tidak benar. Ia adalah fitnah akhbar yang suka membuat fitnah semata-mata. Apa dilaporkan akhbar pemfitnah nombor wahid berkelas A itu, kononnya Haron Din berjumpa Anwar kerana membawa amanat parti. Sebenarnya tidak begitu.. kata Nik Aziz?

Pun begitu mungkin ramai yang tidak berpuas hati dengan penjelasan itu seolah ianya cuba menenangkan keadaan saja. Lagipun mereka melihat penjelasan Nik Aziz itu sebagai penjelasan politik bukan penjelasan leteral kepada apa yang berlaku atau diberi tahu. Kita tunggulah penjelasan daripada Anwar Ibrahim pula apakah kedatangan Haron Din itu membawa secangkir air tawar (air jampi) untuk Anwar bagi menghilangkan sakit belakang dan tengkoknya atau apa? Kita berharap Anwar akan berkongsi cerita mengenai perjumpaan dengan Haron Din itu.

Apa-apa perkembangan atau konsensus baru yang diambil dalam mana-mana parti yang bergabung dengan Pakatan Rakyat perlu didedahkan kepada rakyat. Ia jangan menjadi rahsia atau pun 'bom jangka' kepada parti-parti berkenaan. Rakyat hari ini memerlukan kepada sikap terbuka dan gentleman bukannya main tusuk-tusuk punca.

Plan bagaimana umat Islam diserang dari atas bukit.
Biarlah kita tingalkan cerita itu, saya akan 'kuban' di lain masa kalau ia masih disebut atau pun diselindungkan. Di sini saya ingin kongsikan sedikit senario perjalanan saya ke Madinah dan Makkah serta sedikit info terbaru apa yang berlaku di sekitar masjid Haram kini yang rancak dengan urbanisasinya yang tidak pernah habis-habis kerana untuk menampung tetamu Allah yang bertambah setiap tahun.

Perjalanan saya ke tanah suci kali ini menelan masa yang panjang dan agak berbeza sedikit dengan perjalanan sebelum ini. Perjalanan kali ini menelan masa selama 15 jam, di mana hampir separuh kali ganda dengan perjalanan biasa. Ini kerana perjalanan ini menyinggahkan saya di Colombo Sri Lanka. Selalunya perjalanan saya ke tanah suci akan memasuki Makkah kemudian ke Madinah baru selepas itu menyinggahi lokasi lain.

Berbicara soal ke Makkah ini saya sangat percaya untuk ke sana perlu ada perestuan atau pun 'visa' dari Allah sendiri. Visa yang dikeluarkan Arab Saudi belum tentu lagi akan membawa kita ke sana. Setengah orang kandati sudah ada multi visa tetapi masih tetap tidak berjaya mendarat di Makkah. Ada orang menanggap untuk ke Makkah ini mudah asal cukup wang dan sihat tubuh badan boleh ke sana. Tetap tidak begitu sebenarnya.

Walaupun ia kelihatan mudah dan rumah Allah adalah rumah terbuka sepanjang masa, namun ia tidak terbuka kepada orang yang tidak dijemput. Bagi mereka yang tidak dibuka kamar puadnya oleh Allah tidak akan sampai ke rumah-Nya. Mereka yang tidak diseru-seru oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak akan sampai ke bandarayanya, di Madinahtumunawarah.

Benarlah kata orang, untuk ke Makkah perlu ada seruan, perlu ada taufik dan perlu ada hidayah. Ada wang dan mampu dari segala aspek duniawi belum tentu akan sampai ke sana. Saya sendiri tidak pernah merasaka kaya dan berkemampuan untuk ke sana. Tetapi alhamdulilah setiap tahun saya sempat menyinggahkan kaki ke dua-dua laman yang pernah berkat itu. Terasa diri dan hati tidak akan senang kalau dalam setahun tidak menyentuh bumi penuh keberkatan itu dan menghirup zam-zam sepuas-puasnya. Dari mana dapat wang?

Ada kalanya dalam kita tidak merancang untuk ke sana, tiba-tiba kita akan diterbangkan ke sana. Adalah sebab musababnya yang sukar untuk dihuraikan akan hubung kait dan makrifahnya menyebabkan kita di israkkan ke sana. Sebab itu saya kata kepada kawan-kawan untuk ke Makkah bukan soal wang dan keperluan lain tetapi cukup apabila ada azam. Untuk ke Makkah tidak perlu tikit kapal terbang, tetapi cukup dengan azam dan keinginan yang kuat, insya-Allah akan sampai ke sana.

Tuhan yang sifatnya tidak buta dan pekak, Maha Pengasih dan Maha Pemurah, senantiasa mendengar doa dan pengharapan kita. Dia akan memenuhi apa yang kita minta tanpa dalam sedarkan. Soalnya apakah kita pernah berdoa kepada-Nya meminta agar dibawa ke laman rumah-Nya? Maaflah, ini saya sebut sebagai iktibar dan semangat untuk rakan-rakan yang seakan merintih kerana belum kesempatan ke sana walaupun saya lihat mereka mampu dan berduit. Jika masih belum berkesempatan tetapi kalau niat sudah terpasang dikira sudah mendapat pahala.

Di Colombo tidak ada aktiviti apa-apa melainkan hanya singgah sebagai transit sahaja. Barangkali jarang diketahui bahawa bumi ini ada hubung kait dengan hadrah Islammiyah. Di bumi inilah dipercayai tempat Adam a.s di syariatkan atas dunia ini. Tempat itu dikenali sebagai Adam's Peak. Adam adalah bapa segala manusia. Baginda dilontarkan ke bumi selepas terpedaya dengan hasutan syaitan supaya menelan huldi.

Masjid Quba, masjid yang pertama dibina Rasulullah.
Manakala Hawa pula yang turut sama dilontar jatuh di Jeddah. Makamnya terdapat di sini. Mereka berdua kemudian bertemu di atas Bukit Rahmah di Arafah - Padang Arafah yang dikenali dengan Padang Pertemuan. Setiap tahun jutaan manusia akan berhimpun di sini dalam rangka mengerjakan Haji. Padang ini akan kelihatan putih dengan manusia yang bersantai dan duduk bermunajat dan berdoa kepada Allah untuk mendapat keberkatan dan keredahaan-Nya.

Siap berikhram di Bir Ali.
Arafah dianggap sebagai lokasi yang penuh keberkatan. Manakala Bukit Rahmah pula dijadikan lokasi tempat mereka yang masih belum bertemu jodoh berdoa untuk mendapatkan jodoh!

Penerbangan dari Colombo ke Jeddah memakan masa selama lima jam setengah. Perjalanan disambung pula dengan bas menuju ke Madinah untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. yang memakan masa kira-kira lima jam. Satu perjalanan yang meletihkan sebenarnya tetapi kerana hati sudah bersama Rasulullah keletihan itu terhalau begitu saja.

Kepuasan dan segala penat akan hilang tatkala begitu terlihat dome masjid Nabawi berwarna hijau di mana di bawahnya terletak makam Rasulullah. Di bawha itulah jasad Rasulullah al amin itu disebadikan. Hati merasa lega dan sekawan hiba terus menyewah ke dalam hati lantas membikin sebak dan menjuraikan air mata tatkala melewati medan itu. Selalu menjadi amalan saya, sampai di sini berdoa dan menyampai salam segenap orang yang berkirim salam kepada Nabi.

Menjadi tradisi saya apabila melewati makam Rasululah akan menyampaikan salam ibu, salam isteri dan salam anak-anak, menantu dan cucu kepada Rasulullah. Seluruh hati orang kampung saya paut kemudian bawa ke makam Rasulullah. Selepas itu saya menyampaikan salam sahabat handai dan kawan-kawan. Saya rangkulkan sekali semua rakan Fb dan penjenguk blog saya, termasuklah yang memaki hamun dan meremehkan penulisan saya.

Mana-mana kawan yang mendoakan keselamatan dan kesihatan saya, saya dahulukan memberi dan menyampaikan salam mereka serta memohon kepada Rasulullah agar segera memanggil mereka ke negeri Baldatu Toyibah itu.

Entah mengapa setiap kali tatkala saya melewati dan bertafakurkan sejenak dihadapan makam Nabi hati menjadi kelam dan diri menangis. Perasaan diasak bimbang kalau Nabi tidak menerima saya sebagai umatnya. Betapa malang dan hinanya saya kalau Rasulullah tidak mengakui saya sebagai umatnya. Semua kehebatan, kekayaan dan keagungan duniawi yang dimiliki ini sia-sia saja kalau Nabi tidak menerima diri kita sebagai umatnya. Semuanya tidak membawa apa-apa makna dan erti.

Dalam rangka mengerjakan umrah saya miqat di Bir Ali. Sesudah itu akan meneruskan perjalanan ke Makkah. Tidak banyak kunjungan dan ziarah luar di Madinah, kerana sudah kerap, kecualikan saya ke makam para syuhadah di Bukit Uhud. Ke makam syuhadah ini tidak pernah terlepas. Berdoa kepada mereka dan berterima kasih atas jihad mereka. Kerana keberanian, jihad dan pengorbanan merekalah memberi kita untuk mengenali agama Islam yang kita anuti hari ini.

Betapa jasa dan pengorbanan mereka seperti Hamzah Abdul Mutalib ibni Hasyim, Abdullah bin Jahsyi, Musa'ad bin Umair, Shammas bin Utsman, Amru bin Mu'adz bin An Nu'man dan lain-lain. Di sini saya berdoa agar mereka semua memanggil saya dan kita semua agar bersama mereka. Doa penting saya di sinilah ialah; Tuhan.. Kau istiqamahkan perjuanganku, kuatkan imamku, dan Kau syahidlah aku seperti mana Kau syahidkan mereka.

Setakat ini dulu... letih dan akan di sambung bahagian kedua mengenai Makkah. [wm.kl.1:19 pm 17/02/2003]

8 comments:

blog usang said...

asssalamualaikum...tuan,


semoga Allah mempermudahkan segala urusan tuan....Aamin..

Nor Hasin said...

Terima kasih tuan haji mso diatas coretan yang panjang lebar. Hampir seminggu blog ini kosong dari update dan alhamdulillah ianya sudah mula diisi bermula malam tadi.

Terima kasih diatas segala info yang diberi mengenai perjalanan hidup Tuan Haji semoga ianya menjadi info yang berguna kepada semua pembaca blog mso.

Doa dan harapan saya semoga Tuan Haji Mso dan keluarga sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

john said...

Salam pak mso..

Allahu Akbar..catatan yang mengusik jiwa mengundang kerinduan bila teringatkan kedua tempat ini..ya Allah terimalah amalan hambamu ini..m

Dr Nazri said...

Salam Tuan Hj.. Terima kasih atas coretan ini.. Tersentuh rasanya bila tercatatnya nama Rasullullah Nabi Muhammad S.A.W dlm coretan ini.. Insyaallah saya direncanakan kesana pada bulan mac ini.. Tidak terlintas pula saya untuk berdoa agar diizinkan kesana.. Ya Allah betapa sombongnya saya!!.. Terlupa bahawa Allah Maha agung dlm perancanganNya... Terima kasih atas teguran ini.. Menunggu bahagian kedua..

amin said...

Alhamdulillah kerana selamat menunaikan umrah. Moleknya haji royak dulu berapa lama tak boleh update. Nyaknyo ko peminat dua tiga kali sehari buka nak tengok posting terbaharu. Ambo ni FB sebulan sekali pun tak buka....

Adnan bin Supardi said...

'Saya rangkulkan sekali semua rakan Fb dan penjenguk blog saya'
- terima kasih kerana anda merangkumkan saya dlm doa anda.

Goriken San said...

Alhamdulillah..tuan MSO selamat pergi dan selamat pulang..seminggu terasa lambat berlalu,terasa kosong kerna tiada update di blog tuan MSO..ayuh teruskan perjuangan kita.. Salam pejuang rakyat..

insafdoh67 said...

slm. teruskan tinta merah tuan. harap lebih banyok pencerahan walaupun perit... bila sampai seru tiada apa dpt halang... mati hanya sekali.. hidup dua kali... fikirkanlah... PTR. Tentera Rakyat...