Sunday, November 11, 2012

Pas Masih Boleh Masuk Kubu Umno di Jeli

LAPORAN LEWAT                                                                                                                  

Umno bahagian Jeli dibawah pimpinan Mustapa Mohamed merupakan bahagian yang paling kemas dan mantap di Kelantan. Dengan kedudukannya sebagai menteri - MITI Mustapa telah memungah seberapa banyak projek untuk Jeli. Jika dicatat dalam buku Guiness book of the record, mungkin Jeli merupakan bahagian Umno paling maju dan moden dengan memiliki pelbagai projek.

Jeli memang bernasib baik. Mustapa bukan saja sebagai menteri, tetapi beliau juga adalah Pengerusi Umno Kelantan. Di mana dengan kedudukan itu Jeli merasa ia adalah bahagian Umno paling berprestaj.

Tamrin sedang menyampaikan ceramahnya di Jeli.
Bagaimana pun kelebihan dan kemajuan yang ada di Jeli hari ini bukan bermakna Mustapa boleh duduk senang. Majoriti yang diperolehinya dengan mengalahkan Apandi Mohamad dalam pilihan raya lalu sebanyak 4,436 bukan merupakan lesen atau bantal lembek untuk dijadikan pengalas tidur yang enak. Dan Mustapa nampaknya tidak pernah merasakan 'agah' dengan situasi ini.

Beliau sendiri masih terkenang bagaimana perit dan pedihnya menerima kekalahan dalam tahun 1999 ditangan Apandi Mohamad. Kekalahan itulah menjadikan Mustapa senantiasa bangkit dan menjaga seluruh pengundi Jeli macam menatang minyak yang penuh. Kemenangannya selepas itu (2004 dengan majoriti 7,353) dan dicatat sekali lagi 2008 dengan mengalahkan Apandi dua kali tidak bermakna beliau senang.

Ada kebenarannya kalau Mustapa tetap merasa gelisah dan cemas dan tidak berapa 'arap' dengan apa yang berlaku dan ada di Jeli hari ini. Pembangunan, pelbagai projek, bantuan untuk rakyat tidak menjamin undi akan mengalir ke dalam bakulnya. Pada zahirnya begitu tetapi tribulasi politik sangat difahamnya. Sebab itu Mustapa sanggup pulang setiap minggu ke Jeli kecuali kalau beliau berada diluar negara.

Hakikat hari ini ternyata, bahawa Jeli bukan kawasan selesa benar buat Mustapa. Malam Jumaat lalu Pas telah mengadakan ceramah bertempat di Kelewek, dalam kawasan Bukit Bunga. Kawasan itu katanya kubu kuat Umno. Pas Jeli mengundang Tamrin Ghaffar sebagai penceramah khas. Ikut sama berceramah ahlijawatankuasa Pas Idris Ahmad. Tamrin berceramah di bawah tajuk ; Mengapa saya tinggalkan Umno.

Walaupun malam itu hujan renyai-renyai dan kawasan ceramah agak jauh ke dalam, namun jumlah yang hadir boleh tahan juga. Sekitar 250 orang dan dipercayai semua orang tempatan. Kehadiran itu cukup untuk membuktikan bahawa kubu Umno masih boleh ditembusi di Jeli. Turut sama hadir malam itu ialah Yang Dipertua Pas Jeli Apandi Mohamad, timbalannya Abdullah Yaacob yang juga Adun Air Lanas, penyelia Dun Bukit Bunga, Mohd Suply Abdul Razak yang juga merupakan bakal calon Pas untuk kerusi Bukit Bunga dan lain-lain pemimpin Pas kawasan Jeli.

Pada malam itu juga bertembung dengan program Umno yang diadakan berjarak tidak samapi 3 km. Difahamkan program Umno malam itu ialah majlis menyampaikan bantuan wang. Ternyata program ceramah Pas itu kurang disenangi oleh Umno bila mana tiga banner yang dipasang menguar-uarkan kedatangan Tamrin dihilang. Pas mengsyaki ianya perbuatan Umno.

Pas begitu berang dengan kejadian itu. Abdullah Yaacob yang bertindak sebagai pengerusi memberi amaran dan mencabar Umno dengan berkata; "Apakah Umno hendak main secara jahat atau secara molek, kalau nak cara jahat, kita juga boleh bermain cara jahat."

Seharusnya kejadian-kejadian begitu tidak berlaku lagi. Walaupun Jeli merupakan kawasan pedalaman, tetapi sejak Mustapa mewakilinya di mana sudah banyak kemajuan dan berbagai maklumat terdedah sepatutnya politik diluar batas undang-undang demokrasi itu dihentikan. Elok kalau Mustapa memberi nasihat atas apa yang berlaku sekiranya benar kehilangan banner Pas itu disebabkan perbuatan ahli Umno. Pembuangan banner itu sedikit sebanyak akan merosakkan reputasi Mustapa sebagai pemimpin yang berjurus.

Malam itu Tamrin yang kini telah menyertai Pas, menyeru rakyat supaya tidak mudah tertipu dengan hipokrasi pemimpin Umno yang kononnya hendak membela Melayu dan Islam. Katanya agenda itu hanyalah bohong semata-mata dan ia hanya alat dan retorik untuk menipu rakyat. Apa yang berlaku pemimpin Umno lebih menjaga kepentingan diri dari kepentingan agama dan bangsa.

Beliau memberi contoh, pemimpin Umno diam membisu tanpa membuat apa-apa kecaman ke atas presiden MCA Chua Soi Lek yang menghina Hudud. Tetapi pemimpin Umno menjadi kalut dan berani mengecam Nurul Izzah yang memberi pandangan secara umum berhubung maksud ayat Quran berhubung tiada paksaan didalam agama.

"Kalau pemimpin Umno jujur mereka akan kecam dan marahkan Chua Soi Lek terlebih dahulu sebelum mengecam Nurul Izzah, tetapi kenapa diam membisu?" kata Tamrin. Malam itu juga Tamrin membuat apologetik kepada hadirin kerana bersubahat dengan Umno membuat beberapa kejahatan sebelum ini.

"Saya sudah bertaubat dan berharap penyertaan saya dalam Pas akan dapat mengurangkan dosa saya sebelum ini. Biarlah sisa-sisa usia yang ada ini dapat dimanfaatkan untuk perjuangan Islam," katanya dengan nada sayu dan pamrih. [wm.kl. 7:52 pm 11/12/12]

No comments: