Thursday, September 27, 2012

Lawatan PBT, Exco Dan Kakitangan Berkanun Kelantan Habiskan Duit

SINGGUNGAN PAGI

Perkara ini sudah lama tersekang di dalam benak saya untuk mendapat penjelasan dimanakah relevannya perkara ini. Saya telah menghulur persoalan ini kepada beberapa orang tetapi jawaban yang diberikan tidak begitu memuaskan bahkan mengeliru apabila dibanding dengan apa yang dihasratkan. Semacam ada ketempangan mengenai perkara ini. Saya tidak pasti apakah perkara ini disedari atau tidak oleh pihak-pihak berwajib?

Perkara yang saya maksudkan ini ialah mengenai kekerapan lawatan ke luar negeri oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ahli Majlis Daerah, anggota Exco Kerajaan Kelantan, wakil rakyat dan ahli lembaga pengarah syarikat atau badan-badan berkanun negeri Kelantan.

Water Front di Kuching, bila nak bikin di Kelantan?
Saya tidak pastikan apakah lawatan ke luar negeri ini sesuatu yang wajib dilaksanakan, yang ditetapkan pekeliling wajar dipatuhi dikeluarkan oleh kerajaan di mana jika tidak dilaksanakan menyebabkan ia menjadi kesalahan besar, mengabaikan tanggungjawab dan amanah?

Persoalan ini bermain di dalam kepala saya sebab semacam ada perlumbaan di kalangan ahli Majlis Daerah di Kelantan khasnya dalam mengadakan lawatan atau rombongan ke luar negara. Perkara ini boleh diperhatikan setiap tahun hampir semua ahli Majlis Daerah dan juga ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan dibawa ke luar negeri. Kalaupun tidak ke luar negera tetapi setidak-tidaknya ke Sabah dan Sarawak.

Alasan atau pun justifikasi lawatan berkenaan ialah untuk menambah ilmu bagi mempertingkatkan daya tadbir PBT masing-masing. Kononnya dengan adanya lawatan sambil belajar itu ahli majlis dapat mengambil iktibar dan contoh teladan dari apa yang dilihat semasa lawatan itu untuk diterapkan ke dalam PBT mereka. Itulah alasan paling afdal dan sepatutnya berlaku.

Tetapi ada juga ayat-ayat atau cakap-cakap mengatakan lawatan diadakan kerana bagi menghabiskan peruntukan yang diberikan. Kerana kalau tidak peruntukan itu akan dibawa ke tahun depan, dan dimasukkan semula ke perbendaharaan negeri.

Persoalannya pertama, sejauh manakah hasil dari lawatan itu diperolehi dan membantu meningkatkan tahap pentadbiran dan pengurusan PBT, atau badan berkanun atau syarikat berkenaan. Apakah hasil lawatan itu benar-benar membuahkan hasil diharapkan atau ia sekadar sebagai lawatan untuk makan angin saja?  Tidak ada laporan dikeluarkan kepada umum mengenai keberkesanan lawatan-lawatan berkenaan. Saya harap ada sesetengah ahli majlis daerah atau MPKB sudah round ke seluruh dunia dapat menyediakan laporan lawatan mereka.

Seperti mana saya tahu setiap lawatan sedemikian tidak ada laporan atau taklimat diberikan kepada pihak berwajib untuk mengetahui keberhasilannya. Apa lagi rakyat bawahan. Dalam kata lain tidak ada pemantau atau pemeriksaan khusus berhubunng lawatan itu. Ia tidak cukup kalau ada sesetengah ahli rombongan itu membawa buah tangan kepada Tokguru sebagai membuktikan mereka mengadakan lawatan. Makanya adalah baik untuk masa depan setiap lawatan sebegitu diminta laporan mengenainya dan bukan dilepaskan begitu saja.

Persoalan kedua, lawatan itu tentulah ada peruntukan khas. Cakap-cakap mengatakan lawatan perlu diadakan untuk menghabiskan peruntukan agar tidak dibawa ke tahun depan menimbulkan konfius kepada saya. Apakah perlu ada sikap dan pemikiran seperti ini. Bukankah kedudukan kewangan Kelantan tidak berapa memberangsangkan dan semua pihak perlu berjimat cermat.

Wang yang diperuntukan untuk lawatan itu juga jika tidak digunakan boleh disimpan dan dimasukkan semula ke dalam perbendaharaan negeri. Apakah ia menjadi kesalahan dan dosa bagi negeri seperti Kelantan itu? Wang itu boleh digunakan untuk mengurus negeri.  Inilah saya kata diawal tadi senario itu bertentangan dengan apa yang dihasratkan. Tokguru MB bukan main lagi berhemah dan berjimat cermat tetapi pihak lain rakus memboroskan wang kerajaan. Nampaknya yang mengamalkan jimat cermat hanya Tokguru seorang saja tetapi yang lain buat 'sadin'.

Seharusnya tanggungjawab dan perasaan untuk menjaga kewangan negeri bukan saja oleh Tokguru seorang tetapi yang lain juga. Orang lain juga sepatutnya lebih-lebih lagi bersikap jimat cermat. Walaupun wang yang dikumpul hasil jimat cermat itu tidak sebanyak mana, tetapi setidak-tidaknya ada sumbangan 'ikhlas' dari mereka yang diperuntukannya untuk membantu negeri dan Tokguru.

Seperkara lagi mengenai lawatan ini, ada sesetengah ahli PBT atau ahli lembaga pengarah syarikat, atau badan berkanun lebih daripada sekali melawat ke luar negeri. Seolah-olah mereka ini 'berbadi' berlumba pula untuk mencatat rekod siapa paling banyak ke luar negara. Yang memeliknya juga yang pergi untuk lawatan sambil belajar bukan saja mereka yang berkaitan dengan sesuatu bidang tetapi yang tidak ada kena mengena juga ikut sama. Buat menatang apa? Situasi inilah menyebabkan orang akan menuduh lawatan itu hanya untuk makan angin saja.

Misalnya lawatan untuk melihat projek automotif, janakuasa eletrik, industri air dan sebagainya bukan saja mereka bergelar jurutera, juruukur bahan, atau juruukur tetapi pembantu am pejabat juga ikut sama pergi. Untuk apa? Seharusnya anggota rombongan yang hendak dibawa bagi tujuan penyelidikan dan latihan tertakluk kepada yang berkaitan saja. Yang tidak tahu 'wau buta' tidak payah pergilah.

Terbaru katanya satu rombongan akan bertolak ke Mesir hanya untuk melihat bangunan yang akan dibeli oleh agensi kerajaan. Yang pergi bukan saja pengerusi, timbalan pengerusi tetapi semua ahli lembaga pengarah badan berkenaan ikut sama. Untuk apa? Biarlah mereka yang pakar dan ada pengetahuan dalam bidang bangunan saja yang pergi. Yang lain tidak payah menyibuk dan tumpang 'tui'. Ada juga pergi bukan sangat urusan kerajaan tetapi nak jengok anak di sana?

Kerajaan harus mengariskan protokol di dalam hal ini agar ia tidak membazirkan dan mencerminkan profesional sebuah kerajaan. Saya merujuk kepada pemergian rombongan membawa surat ucapan tahniah Tokguru kepada Ikhwan Muslimim Mesir baru-baru ini ekoran kemenangan Dr Mohamad Morsi. Satu gerobak pergi ke Mesir untuk membawa surat itu. Tidak praktikal langsung. Semacamlah surat itu berat sangat. Ia hanya patut dilakukan oleh seorang saja. Memalukan, Dr Morsi tidak pun dapat ditemui.

Mungkin ada alasan untuk menjelaskan perkara ini. Pemergian yang ramai itu bukan ditanggung semua oleh lembaga atau syarikat, atau oleh PBT, mereka keluar belanja sendiri. Tetapi kalau sudah pergi ramai-ramai macam hendak buat umrah, tujuan dan tugas awal itu akan tergganggu. Tarikan untuk melancung dan berpelesiaran itu lebih besar dari hendak laksanakan tugas.

Untuk masa-masa akan datang perkara ini perlu diperbetulkan. Pihak berwajib hendaklah memantau. Laporkan khas setiap lawatan rasmi kerajaan perlu diadakan dan dedahkan kepada umum. Kalau perlu peruntukan untuk lawatan hujung tahun ditiadakan demi menjimatkan wang rakyat, tiadakanlah. Rasanya wang itu lebih baik dikumpulkan untuk membantu projek pembangunan dan sosial untuk rakyat dari berikan kepada mereka untuk makan angin.

Begitu juga mengenai tugasan luar wakil rakyat dan Exco di luar negara. Pemergian mereka dibayar elaun oleh kerajaan. Apalah sangat hasil pemergiannya. Saya mendapat tahu ada wakil rakyat ke luar negeri 25 kali setahun campur yang rasmi kerajaan dan parti sekali. Ada yang ke Cina setiap bulan macam ada anak pinak di sana. Untuk apa? Kalau buka pusat perdagangan apa hasilnya?

Adakalanya hampir separuh wakil rakyat berada di luar negeri, sampai tinggal Tokguru tercokah seorang diri. Mungkin mereka kata Tokguru benarkan.Iya benar, tetapi kena faham mantik Tokguru walaupun dia benar, tetapi kebenaran itu untuk difahami. Tokguru sebagai orang tua dia tidak akan melarang orang tua walaupun orang tua tak berapa cerdik. Kena faham sendiri. Apa yang dia lakukan kena dicontohi.

Adakalanya anggota Exco silih berganti pergi dan balik. Hari ini Exco ini balik, esok lusa Ecxo lain pula dengan rombongan terbang ke luar negeri. Lagaknya sibuk sekali, kalah ahli kongres Amerika Syarikat. Eloklah kalau kerajaan mengadakan peraturan khas mengenai perkara ini. Dan soal lawatan ke luar negeri ini bukan tidak boleh diatasi, ataupun wakil rakyat bukan tidak boleh patuhi. Dulu masa Pas memerintah hanya dengan dua kemudian satu kerusi boleh pula masing-masing menguncikan diri dalam negeri. Kenapa tidak diteruskan sikap itu?

Bukan tidak boleh untuk ke luar negeri tetapi biarlah urusannya mustahak dan memberi faedah. Jangan kerana pergi semata-mata kerana dibayar dan dapat elaun...atau hendak menghabiskan peruntukan tahunan sedangkan faedahnya tidak seberapa. Masa yang dibuang diluar negeri itu lebih baik digunakan untuk mendekati rakyat, mendidik rakyat dan sebagainya.

Semasa persidangan ahli-ahli parlimen di Colombo baru-baru ini ada srorang wakil rakyat Pas bawa bini mudahnya ke sana. Untuk apa...untuk jadi pemerhati persidangan itu? Betul dia menggunakan wangnya sendiri, tetapi tidak payahlah dalam majlis official begitu kita bergambar dan tunjuk yang kita ada bini muda. Orang lain juga ada bini muda. Tirulah akhlak dan sunnah Tokguru bukannya setakat mendengar dan dijadikan modal dan bahan untuk ceramah, tetapi kena praktis. Kalau setakat dengar dan sebut tak guna sedikitpun habuk pun. [wm.kl.11:24 am 27/09/12]

No comments: