Saturday, February 11, 2012

Previu Seminar Tiga Dekad Pas Kelantan

Pas Jangan Terus Keasyikan Dengan Kuasa
Nostalgia Yang Perlu Diinsafi

Semalam telah sempurnalah satu seminar untuk mengenang suka duka perjuangan Pas Kelantan; kalah dan menang dalam tempoh tiga dekad. Seminar itu dinamakan Seminar Tiga Dekad – Jatuh Bangun Pas Kelantan. Ia diadakan di kompleks Pondok Telosan Pasir Tumbuh Kelantan.

Relevansi seminar itu diadakan di pondok secara santai bagi mengembalikan nostalgia sejarah kewujudan Pas di pondok. Seperti mana kata Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Zulkifli Mamat fitrah kewujudan Pas dan pendokong tegarnya ialah dari kalangan guru-guru pondok. Jadi wajarlah kalau Pas sesekali membawa generasi pasca 60-an ke pondok bagi mengingati memori itu. Ingatan ini seharusnya bukan saat menjelang pilihan raya tetapi sepanjang masa.

Bertolak dari aspirasi dan harapan itu maka ia diadakan di pondok. Satu sisi bagus kalau Pas senantiasa mengenali dirinya sendiri. Sebaliknya, apakah bila diadakan di pondok Pas kini menghadapi masalah sokongan orang pondok? Apakah tujuan itu mengemaskan dokongan pondok atau untuk menggambarkan Pas masih tidak melupai pondok?

Hakikatnya kini Pas sudah kehilangan besar dokongan pondok apabila banyak pondok telah disalinkan dengan pendidikan semi sekular atau pewarisnya sendiri berkiblat ke Barat suka pakai kot dari jubah serta tidak meneruskan jihad orang tuanya bagi menghidupkan pondok mengikut kesesuaian zaman?

Zaman berubah dan berbeza. Sistem pondok yang satu masa dulu menjadi institiusi pendidikan dan medan jihad semakin dilupai. Keadaan ini wujud kerana kealpaan manusia juga. Sudah banyak pondok yang dulu berperanan memainkan atau menjadi markaz Pas kini sudah tiada. Satu demi satu pupus atau menjadi seperti rumput di jalanan hidup segan mati tidak mahu?

Usaha mengembalikan pondok tidak dilakukan. Semua obses kepada pendidikan moden. Pondok yang menjadi tri-fungsi, rumah kebajikan, tempat pembelajaran dan markaz melatih kader jihad sudah dibiarkan. Ia tidak dimajukan dan Pas sendiri seakan mengabaikan tanggungjawab itu. Sebuah pondok moden di Kandis Bachok juga dikatakan telah ditukar fungsi. Kenapa? Alasan kerajaan ketiadaan wang adalah alasan yang dangkal.

Mudah-mudahan dengan membawa peserta seminar ke pondok Telosan itu – satu-satu pondok yang ampuh masa kini ia dapat mengembalikan nostalgia itu dan selepas ini semangat kepondokan dalam jiwa Pas akan menyemarak semula.

Empat kertas kerja

Empat kertas kerja dibentang pada seminar tersebut. Para pembentangnya semua kalangan veteran Pas atau mereka yang berada dalam tiga dekad itu yang mengikuti segala peristiwa pahit dan manis tribulasi Pas. Kecuali Mohd Amar Nik Abdullah yang saya kira termuda atau pembentang yang tidak berada dalam ketiga-tiga dekad itu secara aktifnya.

Mereka ialah bekas TMB Kelantan yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Halim Abdul Rahman, kertasnya disorot dan diulas oleh bekas Adun Jelawat Tok Imam Shaari Awang.

Bekas Exco Kelantan Mohamad Daud Iraqi manakala pengulasnya oleh Adun Demik Mohamad Mustafa, kertas ketiga oleh Adun Perupok, Omar Mohamad yang diulas oleh bekas Adun Pasir Mas Bandar, Hashim Hj Omar.

Kertas ketiga oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Abdullah yang diulas berkombinasi ceramah oleh Exco Kelantan Husam Musa dan kertas keempat oleh Mohd Amar Nik Abdullah yang diulas oleh penulis dan kolomnis Harakah Subky Abdul Latif.

Hampir 90 peratus isi pembentangan di dalam kesemua kertas kerja itu menceritakan pengalaman pahit suka duka Pas dalam tempoh tiga dekad dari tahun 1970 - 2000, di mana dalam tempoh itu Pas mengalami pasang surut dan peristiwa memedihkan kalah pada tahun 1978.

Semua pembentang memberi sorotan jelas dengan penuh kesayuan dengan peristiwa kekalahan Pas pada tahun 1978 itu di mana menyebabkan kerajaan Pas yang bertakhta selama 18 tahun jatuh. Semuanya bernada insaf agar peristiwa pahit yang menghitam sampai ke tulang itu tidak akan berlaku lagi.

Saya sendiri merasakan antara tujuan seminar tersebut ialah bagi menggerakan semangat para pendokong Pas untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang pada zahirnya agak mudah untuk dimenangi Pas tetapi hakikatnya ia sungguh menjadam.

Para pembentang dan juga pengulas bersetuju peristiwa hitam yang menimpa Pas 1978 sehingga menyebabkan Pas kehilangan kerajaan disebabkan berlakunya perpecahan di dalam Pas. Perpecahan itu terjadi apabila pemimpin sudah tidak sekata dan ada yang sedia menjadi ‘keldai perut labuh’ kepada Umno.

Ia ditambah pula dengan kelicitan dan kebejatan Umno mengkhianati Pas menerusi satu persepakatan kononnya untuk kebaikan Melayu dan Islam walhal untuk memperdayakan Pas secara penuh tektikal setelah gagal menerusi pilihan raya.

Mohamad Nasir yang didokong sebagai tokoh jujur dan bersih telah diperalatkan oleh Umno yang bertujuan untuk menjatuhkan Pas. Kerana keralikan dan dodoian lunak dari para penggesek rebab Umno menyebabkan Mohamad Nasir ‘kemamaian' dan tertidur dalam pangkuan Umno bermimpi bercekerama dengan puteri kemudian setelah tersedar terus membenci Pas.

Dalam hal ini tidak ada pihak yang cuba merungkaikan apakah sebab Mohamad Nasir ketika itu menjadi gila kepada Umno atau menjadi seperti ikan yang masuk ke dalam tual? Perlu ada kajian penyiasatan kenapa Mohamad Nasir yang dikenali sebagai seorang yang jujur, warak boleh terlarut begitu sekali dalam Umno. Apakah tidak mungkin beliau sudah termasuk dalam jerat dan pemainan jahat Umno yang memualkan?

Bagaimana pun dalam konteks jemaah, pengalaman pahit dilalui Pas itu bukan saja disebabkan perubahan sikap dan wala' Mohamad Nasir kepada Umno. Tetapi ada juga kesalahan di sebelah Pas sendiri terutama kumpulan 20 yang beriya untuk memecat Mohamad Nasir. Tindakan tergesa-gesa itu telah diambil kesempatan oleh Umno dengan menyokong dan mempertahankan ‘perkakasnya’ itu.

Isu Mohamad Nasir kemudian membawa kepada kemusnahan Pas ini adalah perancangan Umno awal-awal lagi. Umno sengaja mencipta situasi tidak menyenangkan Pas, mencampuri urusan Pas dengan harapan berlaku perbalahan itu. Dan, ternyata usaha Umno itu berjaya. Di sini dapat disimpulkan bahawa Umno memang licik, jahat dan syaitan yang tidak perlu dikawani dan didekati.

Barang kali benarlah kata-kata bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Ahmad Fakaruddin (allahyarham) seperti mana dituturkan Hashim Hj Omar, dua syarat kalau hendak menjadi ahli Umno, pertama kena jahat dan kedua kena menjadi bodoh. Peristiwa Umno menyodok Pas dalam selimut itulah juga menyebabkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat serik dengan Umno sampai ke hari ini.

Di seminar semalam peserta membangkitkan tentang pembentukan kerajaan campuran di antara Perikatan dengan Pas pada tahun 1971 – 1972 yang kemudiannya membawa kepada penyertaan Pas ke dalam BN (1978) di mana dengan penyertaan itu Pas dipersundalkan menyebabkan Pas kehilangan maruah dan kerajaan.

Abdul Halim menjelaskan pembentukan kerajaan campuran dan BN itu dibuat menerusi muktamar Pas yang kemudian keputusan itu disemak oleh Dewan Ulamak. Katanya tidak timbul kalau penyertaan Pas itu dibuat secara sewenang-wenangnya kerana ia terlebih dahulu dirujuk kepada Pas. Lagipun katanya “tahlul syiasahi” yang dibuat pada masa itu baik ketika itu.

Perkara yang menyebakkan hati yang diceritakan pada seminar itu ialah bagaimana Pas menghadapi saat kritikal pada tahun 1982 apabila ramai pemimpin Pas termasuk presidennya sendiri meninggalkan Pas. Asri bersama rakan-rakannya yang terdiri dari pemimpin kanan telah menubuhkan Hamim sebagai lawan Pas. Niat Asri menubuhkan Hamim itu adalah untuk menghancurkan Pas.

Saat inilah Pas dianggap sudah kehabisan nyawa dan akan berkubur. Ramai meramalkan Pas akan jadi gemulah. Apa lagi pada pilihan raya 1978 Pas hanya menang dua kerusi sahaja satu di Sering menerusi Abdullah Arshad dan satu lagi di Manik Urai menerusi Abdullah bin Su. Umno mengejek Pas ketika itu sudah tinggal batu nesan saja.

Ekoran penghijrahan dan peninggalan beberapa pemimpin Pas termasuk Mohd Asri Muda, Wan Ismail Wan Ibrahim, Wan Sulaiman Wan Ibrahim, Sallahuddin Abdullah, Nik Abdul Rahman (Nik Man) dan lain-lain menyebabkan Pas Kelantan tidak ada pemimpin sehingga Pas Kelantan ditadbirkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Pas Pusat. Keadaan ini sungguh memeritkan.

Waktu inilah Pas benar-benar dalam keadaan sulit dan mencabar serta menguji sejauh mana tahap dan daya perjuangan ahli dan penyokong bawahan. Keadaan ini menyebabkan Pas Kelantan mencari-cari orang atau tokoh untuk dilantik menjadi ketua Pas Kelantan. Di sinilah Pas Kelantan melihat kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu menjadi Ketua Dewan Ulamak Pas Malaysia untuk dijadikan ketua.

Beberapa pemimpin Pas Kelantan terutamanya kalangan Pemuda yang ketika itu diketuai oleh Abdul Halim Abdul Rahman mencadangkan Nik Aziz. Nik Aziz pada mulanya tidak setuju dan selepas kali kedua beliau bersetuju bersyarat beliau hendaklah dibantu.

Kesediaan Nik Aziz untuk menjadi obor baru kepada Pas Kelantan inilah telah memulihkan semangat ahli dan penyokong Pas yang hampir lumpuh. Alhamdulilah Nik Aziz yang dianggap lemah tidak tahu berpolitik sebaliknya muncul menjadi khalifah baru memimpin Pas Kelantan dan mencatat kejayaan lebih besar dan bersejarah.

Dalam pada itu cerita Wan Abdul Rahim Pas kawasan Kota Bharu adalah antara yang teruk menerima pukulan itu. Daripada 24 orang ahli jawatankuasanya 16 telah meninggalkan parti dan yang tinggal hanya lapan orang saja. Pas Kota Bharu lumpuh.

Untuk memulih dan membangunkan sisa-sisa semangat yang masih ada cerita Wan Rahim, Pas melantik seorang cikgu bernama Daud menjadi pemangku Yang Dipertua dan Ustaz Mawardi sebagai timbalannya manakala dia sendiri bertindak sebagai setiausaha kawasaan. Bermula dari situlah Pas perlahan-lahan bangkit kembali.

Manakala detik pemulihan Pas selepas kalah teruk 1978 bermula dengan satu tamrim khas yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak Pas Kelantan bertempat di pejabat Pas Jalan Dato’ Pati. Tamrim itu diadakan selama tujuh hari tujuh malam, untuk memulih semangat dan menyuntik bara perjuangan. Ia dikepalai oleh Ketua Dewan Ulamak Pas waktu itu Tuan Guru Hj Zakaria Ismail (allahyarham).

Bermula dari situlah Pas mulai bangkitk untuk menebus kekalahan dengan Nik Abdul Aziz menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Pas yang dibantu oleh Mohamad Amin Yaacob (allahyarham), Ustaz Yahya Othamn dan lain-lain.

Tidak boleh dilupakan peranan dimainkan Pemuda itu waktu adalah cukup penting sekali memandangkan segala kerenah dan tribulasi politik dihadapi oleh Pemuda dan plan pembangunan politik Pas Kelantan juga dianyam oleh Pemuda dibawah pimpinan Abdul Halim dan Wan Mohamad Jamil Mohamad (allahyarham).

Omar Mohamad menyimpulkan kebangkitan semula Pas itu disebabkan beberapa prinsip dan jati diri unggul yang ada kepada ahli dan pendokong Pas. Dalam penilaiannya ciri-ciri yang ada dan memungkinkan pemulihan Pas itu ialah;

i) Perpaduan,

ii) Pengorbanan,

iii) Keikhlasan,

iv) Mencari keredhaan Allah.

Jelasnya waktu itu perpaduan dalam Pas cukup kuat sekali ia terbentuk dengan berbagai aktiviti dilakukan seperti tamrim, khemah kerja dan sebagainya. Ahli-ahli juga banyak berkorban masa, tenaga malahan wang. Walaupun Pas tidak mempunyai wang tetapi dengan adanya sikap berkorban dari ahli masalah wang dapat diatasi.

Suka saya menyebut pengalaman sendiri di sini, bagaimana seorang penceramah Pas Cikgu Musa Salleh (allahyarham) akan melilau di kaki lima kedai Jaaffar Rawas bagi mendapatkan seringgit dua dari kawan-kawan untuk beli minyak petrol untuk pergi berceramah. Saya rasa paling banyak membantunya ialah Jaaffar Rawas (allahyarham). Setiap kali beliau dipanggil berceramah beliau akan melilau di situ untuk mendapatkan wang minyak. Saya sendiri pernah membeli minyak RM5 apabila kereta kehabisan minyak semasa perjalanan pulang dari mengikutinya ceramah di Kuala Krai.

Ahli Pas ikhlas dalam menggerakan perjuangan. Mereka tidak berfikir untuk mengayakan diri apa yang difikirkan untuk mengembalikan kerajaan Pas dan menghancur kerajaan BN yang dianggap sebagai “taghut”.

Justeru Omar merasa sedikit bimbang dengan perkembangan dalam Pas hari ini. Ciri-ciri yang disebut tadi sudah agak mengecil. Misalnya kehadiran pada seminar itu yang tidak begitu menggalakkan menyebabkan beliau bimbang akan masa depan Pas atau merasakan bahawa ahli dan petugas Pas hari ini tidak seperti dulu lagi. Hal ini tekannya hendaklah diberi perhatian dan semua ahli perlu kembali kepada semangat sejati Pas.

Semua pembentang bagaimana pun berlunak dan terus-terusan memuji Nik Aziz sebagai pemimpin. Tidak terkecuali, setiap pembentang akan membawa cerita indah mengenai Nik Aziz. Dalam seminar sedemikian elok juga kalau aspek negatif mengenai Tok Guru ditimbulkan untuk dibincang dan diambil iktibar.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan cara Mohd Amar yang berterus terang melemparkan beberapa subjek negatif terhadap kerajaan Pas hari ini untuk direnungi. Katanya ada beberapa perkara yang masih belum dilaksanakan oleh kerajaan hari ini dan itu merupakan cabaran kepada Pas.

Salah satu ialah pengimplimentasian Islam dalam aspek tertentu masih kabur dan Pas masih tercari-cari pendekatan dan kaedahnya. Justeru katanya kalau cabaran ini tidak diatasi ia akan menjadi masalah kepada Pas. Dalam hal itu beliau mengingati sejarah selalu berulang, jadi tidak mustahil Pas boleh kalah.

Sebagai penutup kepada ulasan kecil ini saya hendak menarik perhatian mengenai perpaduan di kalangan ahli Pas terutamanya diperingkat pimpinan tertinggi Pas. Apa yang saya klasifikasikan sebagai wujudnya ‘tanah-tanah rancangan’ masih wujud di Kelantan. Masih ada pemisahan sempadan privat e dalam tanah dalam satu lot itu. Sempadan peribadi ini hendaklah dimansuhkan segera dan semua pihak perlu menggunakan sempadan lot besar.

Saya sebut ini kerana saya nampak dalam pemilihan calon masih lagi terikat kerpada sempadan-sempadan peribadi. Begitu juga dengan seminar itu sendiri nampaknya semua fraksi Pas tidak terlibat dan ianya ada semacam pemonopolian satu pihak sahaja. Walahualam. [wm.kl.1:00 t/hari 11/02/12]

No comments: