Tuesday, November 22, 2011

Ulasan Isu

Isu Air Kelantan
Minyak Perlu Ditukar Menjadi Air

PENDEDAHAN oleh akhbar PB - penjilat buntut UBN berhubung masalah air di Kelantan tidak boleh dianggap remeh dan bersifat politik semata-mata oleh kerajaan Kelantan. Benar, laporan khas yang dibuat dalam tiga siri itu bermotifkan politik untuk merendahkan keupayaan kerajaan Kelantan. Tetapi ada beberapa fakta yang dikemukakan benar dan pihak kerajaan Kelantan perlu bingkas mengenainya.

Apa juga masalah dihadapi oleh rakyat di negeri itu tidak boleh dihuraikan atau pun ditepis dengan mengatakan ia adalah motif politik. Kerajaan Kelantan harus sedia menerima dan bertanggungjawab ke atas apa yang benar-benar berlaku.

Laporan khas itu untuk mendedahkan kepada umum mengenai kegagalan kerajaan Kelantan dalam menyelesaikan isu air.

Bagi saya niat akhbar PB itu tidak adil kerana ia tidak mengemukakan jalan penyelesaian. Tidak ada apa-apa cadangan untuk dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan bagi mengatasi masalah yang disebutkan itu. Sepatutnya sebagai sebuah akhbar berwibawa, berpengaruh ia perlu mengemukakan pandangan atau memberi way out dan juga idea untuk diguna pakai oleh kerajaan Kelantan mengatasi kemelut dihadapinya.

Misalnya salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh akhbar itu kalau ia ikhlas, memberi tahu kepada kerajaan Pusat supaya melepaskan wang royalti minyak hak Kelantan itu kepada kerajaan Kelantan. Bagi tahu kepada Ha(ji) Najib Razak masalah air Kelantan berlaku disebabkan kerana masalah kewangan. Kalau wang royalti minyak berjumlah hampir RM1 billion itu dilepaskan tentu ia dapat digunakan untuk mempertingkatkan infrastruktur bagi mengatasi masalah air.

Sudah pasti kalau wang royalti 5% itu masuk ke dalam perbendaharaan Kelantan masalah air tidak akan berpanjangan. Di sini boleh ditafsirkan keengganan kerajaan Persekutuan melepaskan wang royalti itu adalah untuk menyusahkan rakyat Kelantan termasuk dalam mendapat kemudahan air dirawat (bersih).

Berbalik kepada fakta didedahkan oleh akhbar PB tadi, sesetengah faktanya benar. Tetapi ada juga fakta yang boleh diragui akan kesahihannya dan ditokok tambah. Menurut laporan itu pencemarann air Kelantan disebabkan beberapa unsur di dalamnya termasuk logam berat seperti, arsenik, besi dan magan serta bakteria E.coli.

Fakta itu disahkan dengan ujian makmal oleh Kementerian Kesihatan dari tahun 2008 hingga 2010. Ia ditambah oleh ujian persendirian oleh akhbar berkenaan dengan pakar air bertauliah. Betulkah? Ini meragukan kerana nama syarikat swasta yang ditauliahkan itu tidak disebut jelas dalam laporan tersebut.

Bagi saya sukar untuk menerima laporan berkenaan berhubung dengan kapasiti (kandungan) bahan di dalam air Kelantan yang membahayakan itu. Selagi tidak ada fakta atau pun sample dan testimoni menunjukkan ada pengguna yang bermasalah dari segi kesihatannya maka ia tidak boleh diterima. Dalam laporan itu juga tidak menyebut apakah air Kelantan telah mengorbankan pengguna, melainkan air banjir adalah yang meragut nyawa.

Ketua Umno Kelantan, Mustapa Mohemed hanya ada menghuraikan bahawa banyak penyakit berjangkit melalui air. Tetapi belum ada sample mengatakan pengguna air di Kelantan lumpuh atau pun demam atau fizikal jadi kemetot dan sebagainya kerana mengguna air di negeri itu.

Kalaupun ada, dan saya tenguk sendiri bagaimana air di sesetengah tempat di Kelantan bermasalah kerana ia berwarna perang atau kekuningan terutamanya di kawasan Hulu Kelantan. Saya tidak hairan keadaan ini kerana ada menteri dari Kelantan bila balik ke Kelantan mengikut suaminya dia tidak mahu ke rumah mertuanya kerana air di rumah mertuanya kurang bersih, tidak berwarna biru.

Seperti disebutkan tadi, kalau betul perangkaan didedahkan oleh akhbar itu hanya 53% daripada 1.5 juta rakyat Kelantan mendapat air bersih, ia merupakan satu masalah serius. Pihak kerajaan perlu bingkas dan berusaha mengatasi masalah mendapatkan bekalan air bersih kepada penduduk. Kepentingan air bagi manusia samalah dengan kepentingan leterik.

Kerajaan mungkin sudah mengenal pasti apakah masalah menyebabkan rakyat Kelantan berdepan dengan fenomena itu. Antara ialah masalah paip air yang lama berpuluh tahun tidak diganti. Tekanan air rendah juga menyebabkan ada sesetengah loji tidak dapat memuatkan air dengan kapasiti yang banyak. Semua itu memerlukan penggantian dan pertukaran peralatan atau pun diup greadkan.

Saya pernah mencadangkan secara lisan berhubung masalah air. Kerajaan Kelantan perlu memfokuskan kepada masalah ini untuk diselesaikan. Misalnya kerajaan Kelantan boleh memberi tumpuan khusus dalam tempoh setahun untuk mengatasi masalah air. Segala projek lain yang tidak penting perlu dihentikan dan tumpu kepada menyelesaikan masalah air. Penyelesaian ini perlu tuntas dan bukan setiap persoalan ditimbulkan pembangkang (UBN) itu perlu dijawab secara politik.

Isu air ini juga tidak boleh mengelak dengan hanya mengatakan ia ditimbulkan kerana hendak membersih najis lembu atau itu sengaja mahu memburukkan kerajaan Kelantan.

Kalau kerajaan Pusat tidak mahu memberi geran atau peruntukan, usaha lain perlulah dicari. Apa yang dilakukan oleh Datuk Mohd Asri Muda (Allahyarham) semasa beliau menjadi MB Kelantan tahun 60-an dulu mungkin boleh dicontohi. Bagaimana Asri terpaksa meminjam wang dari luar untuk membina jambatan Sultan Yahya Petra kerana Tunku Abdul Rahman tidak mahu memberi pinjaman. Saya tenguk cara Husam Musa berusaha mendapatkan royaliti minyak antara usaha baik bagi mengatasi masalah air.

Kuasa air terletak ditangan kerajaan negeri. Untuk tujuan ini mungkin ia boleh diswastakan kepada mana-mana agensi atau badan luar negara yang pakar dalam bidang ini. Iya, sebelum ini air Kelantan telah diswastakan kepada sebuah syarikat, tetapi ternyata ia tidak menyelesaikan masalah. Penswastaan itu lebih menguntungkan syarikat berkenaan daripada menyediakan kemudahan untuk rakyat Kelantan. Gara-gara air jugalah menyebabkan Nik Aziz terpaksa menandatangani perjanjian penswastaan air setelah makan nasi sepinggan.

Ada juga saya dengar Exco yang menjaga air Kelantan ini enggan menerima nasihat daripada kawan-kawan lain dan cuba menyelesai sendiri. Kalau benar sikap ini, ia satu amalan yang tidak betul. Apa juga masalah, baik tanah, pembangunan, air dan sebagainya ia bukan masalah yang perlu ditangani oleh exco terbabit sahaja. Semua anggota Exco turut bertanggungjawab dan maslaah harus dipikul dan diselesaikan secara kolektif - pinjam istilah Haji Hadi. Makanya kalau ada Exco lain turut bercakap memberi idea mengatasi masalah hendaklah terima dengan baik dan jangan ada perasaan prejudis.

Akhirnya untuk mengatasi masalah ini, kunci sudah dapat dikenali. Ianya berpunca daripada masalah kewangan. Justeru wang perlu dicari. Salah satu cara yang mudah untuk mendapatkan wang ialah daripada sumber alam negeri Kelantan sendiri, iaitu wang royalti minyak. Kalau wang ini dapat digunakan masalah air tidak akan timbul. Minyak boleh ditukar menjadi air. Disebabkan wang itu ditangan UBN, rakyat Kelantan perlu membuka tangan BN supaya wang itu relai. Cara nak membuka genggaman BN ialah dengan menewaskan parti itu bukan saja di Kelantan tetapi di Kuala Lumpur juga.

Itu sahajalah yang boleh diharapkan, kerana untuk mengharapkan para pemimpin UBN Kelantan berusaha mendapatkan wang itu selagi mereka tidak berkuasa, seperti mengharap tanduk dari kepala kucing. Sesungguhnya politik kita orang Melayu, orang Kelantan masih jauh dari cerdik dan bijaksana. Politik tetap dipolitikkan dalam keadaan bagaimana sekali pun. [wm.kl.10:21 am 22/11/11]

No comments: