Sunday, May 22, 2011

Susupan Malam

Siapa Senator Baru Dari Kelantan?

KHABARNYA salah seorang ahli Dewan Negara dari Kelantan akan tamat tempoh perkhidmatan pada bulan ini. Senator berkenaan tidak lagi disambung untuk penggal kedua. Seseorang boleh dilantik menjadi ahli Dewan Negara untuk tempoh dua penggal berturut-turut, selama enam tahun. Perlantikan ini memenuhi Perlembagaan Fasal (4) yang memperuntukan setiap negeri berhak melantik dua wakil di Dewan Negara.

Sebelum ini Pas menetapkan peruntukan ahli dewan ini untuk muslimat. Tetapi sejak tahun 1995 kalau tidak silap, ia telah mengubah peruntukan dan peraturan itu. Peraturan yang dibuat Pas, wanita tidak digalakkan untuk aktif dalam politik termasuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Dun). Lantaran itu muslimat hanya diberikan kerusi senator kerana pergerakan dan aktiviti mereka kurang lasak.

Bagaimana pun suasana berubah, Pas telah membenarkan muslimat aktif dalam politik termasuk menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dun. Jadi kerusi senator bukan lagi untuk muslimat. Bahkan sudah terdapat muslimat Pas dilantik menjadi Exco.

Persoalan sekarang ini siapakah yang akan dilantik bagi menggantikan senator berkenaan. Apakah kategori calonnya dan apakah kriteria yang dikenakan untuk memilih senator kali ini. Kalau mengikut amalan biasa seseorang senator diambil dari kalangan mereka yang berpengalaman dan pakar dalam sesuatu bidang. Selain itu juga mereka yang lama menyertai perjuangan dan setia dengan parti serta tahan diuji.

Harus diingat ahli Dewan Negara akan bertindak menjadi penyemak kepada apa-apa perbahasan di Dewan Rakyat. Lantaran itu ia memerlukan seorang yang berpengalaman dan cukup ilmu untuk menilai dan menapis keputusan yang diluluskan Dewan Rakyat.

Bagaimana pun sejak ke belakangan ini perlantikan senator bukan lagi berciri-ciri sifat demikian. Malahan perlantikan ahli dewan ini dijadikan sebagai satu hadiah atau cenderamata untuk seseorang seperti membalas budi dan jasanya. Lebih malang lagi sebagai balasan atas perngorbanan dan juga tindakan politik seseorang.

Misalnya perlantkan senator yang kini sudah tamat tempohnya bukan sangat berlandaskan kepada jasa besar mereka kepada rayat atau parti tetapi lebih kepada imbuhan ke atas tindakannya meninggalkan Umno menyertai Pas. Dia baru saja berjuang dalam Pas, belum pun sampai 10 tahun. Rasanya kalaupun bukan tokoh berkenaan diambil untuk jadi senator masih ramai ahli atau mereka yang sudah lama bergelumang dalam Pas.

Sementara itu ada juga mereka dilantik untuk menjadi senator kerana semata-mata untuk dijadikan menteri. Mereka diperlukan kerana ingin menggunakan kepakaran mereka yang dimilikinya. Lantara itu soal kualiti dan wibawa senator itu tidak sangat diberi perhatian. Sebagai contohnya Umno pernah melantik beberapa orang samseng atau pun bonza untuk menjadi senator.

Perlantikan sebegini rasanya tidak wajar dalam Pas. Begitu juga kalau perlantikan itu hanya berdasarkan kepada pengorbanannya kepada parti dari segi kewangan, ataupun kerana ianya disayangi oleh pemimpin tertentu. Soal mereka disayangi atau kerana pandai membodek harus tidak dijadikan kriteria. Dan kriteria yang juga tidak boleh diremehkan ialah soal idealisme dan juga fikrah mereka sejauh mana memahami perjuangan Islam. Tentunya kualiti atau nilai senator Pas mesti berbeza dengan senator BN atau DAP dan PKR.

Dalam hal ini saya rasa Dewan Harian Pas Kelantan arif dan tahu membuat keputusan yang tepat agar perlantikan mereka nanti tidak mengsia-siakan parti. Perlu jaga bahawa senator biarlah yang berkualiti dan munasabah oleh parti. Kalaulah parti hanya menekankan untuk melantik seseorang itu yang banyak membantu parti dari segi kewangan eloklah diberikan mereka projek atau pun kawasan balak ataupun tanah-tanah ditengah bandar untuk dimajukan, bukannya diberikan kerusi senator. Dengan cara itu balasan budi itu dikira kena pada tepatnya. [wm.kl.7:50 am 22/05/11]

No comments: