Monday, May 23, 2011

Pandangan Dari KL

Tiga Tokoh Ini Rasanya Layak Jadi Senator

SELEPAS saya postingkan catatan bertajuk siapa “Siapa dipilih jadi Senator Kelantan” dua tiga orang penjenguk bertanya kepada saya, siapakah gerangan mereka. Ada juga yang berani menelefon untuk mengetahuinya. Saya kata, saya tidak tahu, tapi mereka paksa juga, sambil beranggapan saya sudah tahu nama bakal senator berkenaan.

Memang saya tidak tahu cuma apa yang didengari Pas Kelantan sedang mengenal pasti beberapa nama baru untuk dilantik jadi senator sebab salah seorang senator lantikan kerajaan Kelantan sudah tidak akan disambung lagi. Manakala seorang lagi senator masih belum tamat tempoh penggalnya.

Saya juga tidak tahu kalau sudah ada mereka yang melobi untuk mendapatkan jawatan itu. Katanya sudah ada yang sering bertanya ke mana Tok Guru sembahyang untuk diekorinya. Saya tidak fikir kalau ada sanggup berbuat demikian kerana untuk dipilih jadi senator.

Sehubungan itu saya cuba merisik apakah sudah ada calonnya. Dan kalau ada apakah ianya sesuai atau sebaliknya. Saya sebagai rakyat Kelantan sangat mengharap mereka yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara nanti biarlah orang yang benar-benar ingin berkhidmat kepada rakyat dan bukan menjadikannya jawatan itu sebagai batu loncatan saja. Itu merugikan masa dan rakyat Kelantan.

Jadi apabila saya ditanya pandangan peribadi mengena kriteria calon, maka saya terpaksa menyuluh ke Kelantan melihat tokoh-tokoh yang berwibawa dan munasabah untuk dilantik menjadi senator.

Ada beberapa nama yang tersaul dek akal. Mereka ini bukan usahawan atau bangsawan, tetapi mereka yang setia dan banyak berkorban kepada parti. Mereka juga setia dan wala' kepada pemimpin dalam keadaan apa juga. Mereka juga telah teruji, ikhlas dan tidak mudah merajuk apabila sesuatu tidak diberikan kepada mereka.

Sebenarnya orang-orang seperti inilah patut dipilih dan dinilai untuk menjadi senator. Kalau perlantikan senator itu sebagai membalaskan jasa mereka kepada parti, orang inilah juga gerangannya. Mereka ini bukan baru dalam parti dan sudah lama berjuang untuk parti dan memikul amanah parti dengan penuh istiqamah.

Begitu juga ketaatan mereka kepada pemimpin juga tidak boleh dinafikan. Dari segi kebolehan dan profesional tidak terkalah kalau dibandingkan dengan senator jantan yang sudah tamat tempoh penggal pertama itu.

Tokoh yang saya maksud itu ialah Dr Izani Husin dari Pengkala Chepa Kelantan. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Pas kawasan itu. Pernah dilantik menjadi Bendari Pas Kelantan. Sekurang-kurang dua kali disebut akan diletak bertanding di salah satu kerusi Dun di Pengkalan Chepa tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Beliau juga pernah disebut untuk dilantik menjadi Pengurus PKINK dan juga Pengurus Eksekutif PMBK untuk mengganti tempat Ariffahami Abdul Rahaman. Tetapi kedua-dua itu tidak menjadi. Bagaimana pun Dr Izani tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai takdir.

Secara peribadi beliau banyak membantu Tok Guru bila MB itu di dalam kesusahan. Beliaulah yang berdiri di belakang membela Tok Guru tatakala MB itu berserabut. Bagaimana pun peranan ini tidak pernah diketahui umum kecuali Tok Guru sendiri.

Seorang lagi ialah Dr Zulkefli Mohamad bekas Ketua Pas Kawasan Gua Musang. Sudah tiga kali bertanding dalam pilihan raya, namun semuanya kalah. Terbaru beliau diletak menjadi calon Pas pilihan raya kecil Galas, Gua Musang.

Zulkefli tidak pernah kecewa dan tidak pernah kata ‘heh..’ kepada parti yang memberi tanggungjawab untuk menentang Tengku Razaleigh. Beliau juga dikenali sebagai aktivis parti yang ulet dan rajin. Semasa menjadi ketua Pas kawasan Gua Musang beliau tidak pernah mis menghadiri mesyuarat badan perhubungan Pas di Kota Bharu. Kerajinan dan keikhlasan inilah kalau Pas ingin membalas jasa-jasanya dengan melantik senator. Perlantikan itu juga akan menjadi cenderamata untuknya walaupun ia bukan atas permintaannya.

Kalau Dr Zulkefli dilantik menjadi senator juga ia merupakan sejarah buat Pas kerana itulah ahli Pas Gua Musang yang pertama kali dilantik menjadi senator. Sebelum ini perlantikan senator berkisar kepada ahli-ahli parti di sekitar Kota Bharu sahaja.

Dalam pada itu ada seorang lagi tokoh yang gigih dan tabah dalam perjuangan. Beliau tidak pernah teralat dengan apa yang dialaminya. Tidak pernah menuangkan aktviti parti. Tokoh dimaksudkan itu ialah bekas Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad.

Selama tujuh tahun beliau terpaksa naik turun ke mahkamah atas tuduhan rasuah semasa menjadi ahli parlimen. Beliau hadapinya dengan bersendirian dan keluarganya. Tuduhan berupa fitnah yang dilemparkan kepadanya itu bukan kecil tetapi amat besar menimpa jiwanya. Calang-calang orang mempunyai daya dalaman seperti beliau. Pun begitu ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat perjuangannya.

Walaupun Apandi boleh mencari jalan untuk menyelesaikan kesnya dengan tidak menentang Mustapa Mohamed di Jeli, tetapi beliau tidak berbuat begitu. Pernah terdengar ada tawaran secara lisan dibuat kepadanya agar kes itu diselesaikan. Namun beliau tidak pernah menerima. Mustapa dihadapinya juga dengan keyakinan Mustapa bukan saja musuh politiknya di Jeli tetapi musuh Pas.

Selama berdepan dengan risiko itu beliau menangis sendiri. Beliau tidak pernah merenget dan merintih apa lagi cuba menyalahkan parti. Setiap kali ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan beliau tidak pernah pun diiringi oleh penyokong Pas usahkan ribuan, belasan pun tidak. Kalau yang senantiasa menamaninya ialah para pemimpin dan ahli Pas Jeli saja. Tetapi itu bukan alasan Apandi untuk dia merasa kesal dan kecewa. Atas kesedaran menhaj perjuangan ditanggungnya risiko itu bersendirian penuh sabar.

Alhamdulih akhir kebenaran menjelama juga. Beberapa bulan lalu Apandi dibebaskan dari tuduhan yang cukup memakan hati dan jiwanya itu. Hari ini Apandi bersih sebersih bayi atas tuduhan itu dan semangat juangnya makin berkorbar-kobar.

Keistimewaan Apandi bukan itu saja. Dia juga dikenali sebagai dermawan di kalangan parti Pas. Selain itu dia juga seorang komited dan beriltizam. Peluang menjadi ahli Parlimen selama sepenggal 1999 – 2008 membuktikan bahawa Apandi seorang pembahas yang baik dan lantang di dewan rakyat yang setanding dengan Husam Musa, Ibrahim Ali dan lain-lain.

Kalau Pas mengenangkan jasa Apandi maka nama beliau tidak seharusnya tercicir dalam pemilihan untuk dilantik menjadi senator. Berbanding dengan dua nama tadi Apandi lebih berkelayakan kerana beliau sudah ada pengalaman. Lainlah kalau Apandi tidak berminat menjadi senator tetapi lebih suka menjadi ahli Parlimen.

Selain daripada tiga tokoh berkenaan saya tidak nampak ada lagi tokoh lain yang berwibawa. Kalau pun ada dan terliur untuk menjadi senator adalah mereka yang tidak cukup inci, kurang daripada 5 kaki 2 inci yang ilmu politiknya sebanyak darah nyamuk saja. Apakah salah seorang daripa mereka calonnya? Walahu’alam. [wm.kl.8:10 pm 23/05/05]

No comments: