Saturday, December 26, 2009

Mengaut Rasa Sabtu

Menelaah Politik Orang Muda Pas Kelantan

NASIB masa depan sesebuah negara terletak di tangan pemuda. Pemudalah yang akan menjadi agen penerusnya. Begitu juga dengan nasib parti PAS ia terletak di tangan pemuda. Golongan muda akan bertanggungjawab mengolah dan memikul amanah perjuangan parti dan memelihara maruah bangsa. Merekalah generasi penggalas jihad.

Dalam konteks PAS Kelantan, masa depan parti itu dan kerajaan yang dimiliki kini terletak dalam genggaman pemuda. Pemudalah yang akan menentukan jatuh bangun, panjang dan pendek usia pemerintahan parti mereka. Kejayaan dan kegagalan PAS di masa depan terpikul atas bahu golongan pemuda.

Orang tua yang menjadi pemimpin dan pemikul amanah dewasa ini akan berundur secara perlahan seorang demi seorang, kecuali orang tua yang ada umph.. dan ada aura yang evergreen terus diharap dapat memberi cahaya. Yang tidak ada ‘gas’ sudah mula sedar diri dan eloklah kalau mereka membungkus tikar dan bantal untuk memondok di mana-mana pondok.

Dalam usia tua yang mana pemikiran, pendekatan, teori dikemukakan sudah tidak mustajab dengan peralihan zaman elok mereka ke pondok. Setidak-tidaknya di kampung akhirat itu dapat mereka menelaah kitab-kitab lama mempelajari perukunan, menghayati semula sifat 20 serta berzikir banyak-banyak kepada Allah. Sunatullah ini tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.

Sekitar awal tahun 1990-an penulis seronok melihat barisan pemimpin Pemuda Pas Kelantan yang kepada saya berkualiti dan sekaligus dikira dapat melakukan perubahan kepada Pas. Mereka saya lihat semuanya ada kelulusan peringkat sarjana dan Phd dari berbagai bidang dan kedudukan serta fikrah mereka jauh lebih felksible dan berwawasan berbanding dengan pemuda sebelum itu.

Walaupun setengahnya tidak ada pengalaman pentadbiran dan pengurusan kewangan, namun ilmu yang ada kepada mereka tidak menjadi mereka kekok untuk melaksanakan tanggungjawab jika diserahkan kepada mereka. Asalkan mereka tabah dan rajin mendalami dari masa ke semasa mereka akan berjaya.Latar belakang dan syaksiah mereka juga menarik dan mempesonakan.

Perwatakan mereka, gaya mereka bercakap dan di wajah wajah terpancar nur Islam. Ini sangat sesuai untuk menjadi pemimpin sebuah gerakan seperti PAS. Beza air muka mereka dengan wajah pemuda parti lain sangat kontras.Antara mereka ketika itu ialah, Hassan Mahamod, Mohd Amar Abdullah, Husam Musa, Takiyuddin Hassan, Wan Nik Wan Yusuf, Wan Ismail Wan Jusoh, Zulkefli Mamat dan lain-lain.

Mereka adalah sebaya dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Mereka ini pada saya waktu itu bolehlah dianggap sebagai pemuda al Khafi yang bertapa beratus tahun sebelum keluar untuk menjulang panji-panji Allah di muka bumi negeri Cik Siti Wan Kembang.Penulis melihat mereka muncul hampir serentak. Kerana itu sukar untuk menelaah siapakan antara mereka yang akan menjadi kapten.

Dan sebagai pemerhati dan menyanyangi semua mereka itu saya tidak pernah bersikap pilih kasih untuk mengambil sesiapa sebagai ketua. Penulis bernasib baik kerana berpeluang mendekati kesemua mereka secara peribadi dan mengenal serba sedikit hati budi mereka.Mereka ini semua diharap menjadi serandang atau tongkat kepada Nik Aziz Nik Mat, Abdul Halim Abdul Rahman, Abdul Fatah Haron, Bunyamin Yaacob (Allahyarham), Omar Mohamad dan lain-lain sebelum mereka sendiri mengambil kekuasaan selaku pemimpin pada masa akan datang.

Penulis menaruh keyakinan kepada kumpulan ini akan menjadikan PAS berubah dan mampu membawa PAS lebih dinamik lagi. Ternyata harapan ini membuahkan hasil apabila Nik Aziz dengan sokongan padu mereka berjaya memerintah Kelantan hingga ke hari ini.

Yang paling penulis harapkan mereka akan mengubah PAS kepada sebuah parti yang progresif dan agresif. Mengubah pendekatan dan melipat gandakan lagi usaha dalam membantu rakyat, membawa perubahan sosial dan politik kepada Kelantan. PAS bukan saja menjadi parti surau dan masjid yang penuh dengan ceramah agama dan menagih sedekah dari rakyat. Tetapi menjadi PAS sebagai gerakan Islam yang boleh menjanakan pemikiran dan sikap sosial, menjanakan eknomi dan meningkatkan kualiti rohani dan jasmani ahli-ahlinya. PAS harus menjadi parti yang memberi dan bukan meminta.

Selain itu tentulah tidak pernah terlupa mereka akan terus obses dengan perjuangan asal PAS untuk menegakkan negara Islam. Kerana itu keutamaan yang diberikan kepada mereka yang mempunyai komtimen tinggi kepada Islam. Perbezaan besar antara PAS dengan Umno ialah mengenai iltizam perjuangan.

PAS mahukan Islam, manaka Umno pula cuba berkeras untuk menolaknya dengan menganggap Islam kolot. Hari ini, setelah 20 tahun penulis tengok ada kumpulan baru pula yang muncul dan bakal menjadi serandang dalam PAS Kelantan dan secara automatik menjadi tongkat membantu abang-abang mereka yang kini sudah pun menduduk jawatan tertinggi dalam PAS baik di kawasan maupun di negeri. Mereka ini diibaratkan pelepah muda yang akan mengambil alih tempat pelepah tua di masa akan datang.

Kemunculan mereka sangat penting dan juga merupakah fitrah dalam hidup. Keupayaan mereka dapat membaca fikrah dan filsofi perjuangan PAS sangat mustahak. Kemampuan mereka menampilkan syasiah Islam sangat penting bagi kesenimbungan perjuangan PAS. Mereka bukan saja harus kekalkan kuasa tetapi kena kekalkan identiti dan keaslian Pas.

Mereka yang muncul dan sudah belajar berkokok hari ini juga datang dari pelbagai latar belakang. Kerencaman ini dapat melengkapkan dan membantu untuk menjadikan PAS sebuah gerakan yang ampuh dan disegani serta serba boleh.

Nama-nama seperti Nasarudin Daud (kini speaker) Mohd Zaki Ibrahim (timbalan speaker), Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Abdul Latiff Abdul Rahman (ketua Pemuda), dan lain-lain tidak boleh dipandang ringan. Suka atau tidak suka mereka ini adalah bakal menjadi pelapis dan serandang kepada kekuatan PAS di masa akan datang.

Peranan dan tangungjawab mereka seperti mana abang-abang mereka yang muncul diawal tahun 90-an dulu dan kini sudah dibebani dengan tanggungjawab perjuangan. Justeru mereka harus faham akan tanggungjawab dan peranaan ini kalau mereka mahu tengok PAS terus maju di masa depan.

Seperti juga para abang mereka dulu, Pemuda yang ada hari ini datang dari berbagai latar belakang dan memiliki keterampilan dalam pelbagai bidang profesional. Jurutera, peguam, doktor dan ustaz.

Kerencaman ini sekali lagi menjamin PAS akan kekal sebagai sebuah parti yang dikukuhkan dengan pelbagai idea dan pemikiran dari semua juzu ilmu.Bagaimana pun apabila menelaah mengenai perkembangan dan gaya politik Pemuda PAS Kelantan kini timbul sedikit rasa gusar dihati penulis.

Ini kerana perselisihan faham yang berlaku di kalangan mereka gagal diatasi dengan berhikmah. Walaupun perselisihan faham itu terbatas kepada soal peribadi dan bukan soal falsafah dan dasar atau uslub perjuangan tetapi ia diheret ke muka umum sehingga menyerlahkan masalah dalam dewan itu yang kemudian membabitkan parti.Keadaan ini bagi penulis kurang bijak.

Dalam penelitian penulis hal ini (perselisihan faham) ini berlaku juga antara golongan Pemuda tahun 90-an dulu tetapi bezanya mereka tidak mendedahkan pergaduhan mereka kepada media massa. Mereka bergaduh dalam senyap sehinggakan musuh tidak dapat eksploitasi masalah dalam PAS.

Mereka yang dulu mencuri ruang di akhbar bukan saja untuk mempolurkan diri tetapi berebut untuk membela dan mempertahankan PAS. Mereka menjaja modal dan aset yang ada kepada PAS untuk menarik perhatian rakyat. Anihnya sikap ini tidak ada kepada pemuda zaman ini. Mereka lebih suka menggunakan media massa untuk melanyak antara satu sama lain.Selain itu kalangan Pemuda hari ini juga semacam tidak dapat mengawal nafsu untuk lekas naik.

Pertandingan dalam dewan Pemuda PAS dirujuk. Sementara isu membabitkan menantu Menteri Besar, Abdul Ariffahmi Abdul Rahaman walaupun isunya untuk kepentingan umum tetapi cara pemuda mengusik dan mendesak Ariffahmi menunjukkan tidak wujud understanding dari kalangan pemuda PAS.Di sini dari segi kebijaksanaan pemuda era pasca manual berbeza dengan pemuda PAS era IT kini. Mungkin ada sesuatu yang klise pada Pemuda era tahun 1990an, tetapi masih relevan untuk dicontohi oleh Pemuda era 2000 ini.

Penulis juga sangat berharap golongan muda yang membuak dengan amarah ini dapat menerima kritikan baik langsung kepada mereka ataupun kritikan kepada parti dan pemimpin yang dilakukan oleh mana pihak. Jangan muda gelabah dan prejudis kepada pengkritik sebelum ianya diamati secara menghalusi apakah mesej yang hendak disampaikan menerusi kritikan itu.

Bersikap terbuka dan berlapang dadalah bila menerima kritikan dan tidak mudah gelabah.Penulis percaya selagi Pemuda PAS masih mengingati iltizam dan nawaitu asal kenapa mereka menyertai PAS dan tidak parti lain, isnyaAllah PAS di tangan barisan pelapis dan pemudanya di masa akan depan tetap selamat. Eloklah kalau Pemuda menenangkan semula pemikiran dan melihat sejauh manakah benar atau tidak apa yang diperkatakan ini. [wm.kl. 1:50 pm 22/12/09] Catatan: Posting ini untuk renungan adik-adik Pemuda ini sudah dua minggu disiapkan tetapi baru dipostkan hari ini.

1 comment:

ANAFAKIR said...

Salam Tn MSO...melihat kepada senario semasa melibatkan Pemuda PAS Kelantan dewasa ini, saya senada dengan tuan.Jelas terpampang secara terbuka kegelojohan dan ketamakan berkaitan kuasa, pangkat dan kedudukan.Mereka bertelagahan sehingga meninggalkan wadah keilmuan yang mereka timba di merata tempat.Walaupun ijazah sarjana, master dan PhD berjaya mereka raih namun kematangan menyelesaikan isu dan pertikaian jelas ditolek kebelakang.Ilmu dan kelulusan serta pengetahuan agama yang ada tidak berfungsi langsung.Entah kenapa...apakah mereka juga mengikut rentak ahli-ahli UMNO?Terpedaya dan termakan pujuk rayu kemewahan dan kesenangan hidup yang berupa 'pinjaman semata-mata'. Patutnya dengan kualiti ilmu dunia dan ilmu agama yang mereka miliki, mereka berupaya untuk berada dalam kedudukan berimbang antara ukhrawi dan duniawi.

Namun melihat kepada suasana yang ada, pelapis kepimpinan PAS hari in semakin bercelatru dan berkecamuk.Tidak ada tidak pertemuan dan jalan keluar secara bertolak ansur.Mengalah dengan kemenangan, menang tetapi secara berhemah dan ada pakatan adik beradik.Yang jelas wujud, masing-masing mempertahankan keegoan walupun sikap itu memmusnahkan imej dan keharmonian parti itu sendiri.

Diharapkan Tn MSO terus memkritik untuk menyedarkan mereka [ pimpinan Pemuda PAS Kelantan ] agar mereka melihat kepentingan ramai perlu di atas berbanding kepentingan peribadi. Untuk kaya dan senang lenang, biarlah melalui usaha sendiri bukan melalui kedudukan dan pangkat dalam parti.Tokoh-tokoh korporat yang kaya raya tidak ada siapa yang mengutuk kerana mereka tidak mendapat imbuhan melalui kedudukan dalam politik...mereka kaya dengan tulang empat kerat mereka. Maka pimpinan PAS pun perlu begitu jika tidak mereka jelas munafik.Bertopengkan agama untuk mengaut kekayaan melalui kuasa dan pangkat dalam parti.UMNO dan sekutunya akan sentiasa melihat dengan 'kanta pembesar' untuk mengorek setiap inci dan lubang penyelewengan yang boleh didedahkan kepada umum.Seluruh warga kepimpinan PAS negeri dan Pusat perlu istiqamah untuk memperjuangkan agama dan membela kebajikan rakyat bawahan bukannya leka dan lalai dibuai aircond mercedes dan kereta mewah yang dipandu dreber peribadi masing-masing...sedangkan hari ini dan hari mendatang PAS akan terus dikorek dan dirobek segala kelemahan, yang tiada akan diada-adakan selagi berkaitan dengan isu yang ditimbulkan sendiri oleh PAS.Asalkan keyakinan rakyat kepada PAS terlerai dan musnah, UMNO akan buat apa sahaja.

Menjelas PRU13, jika PAS Pusat dan negeri-negeri khususnya Kelantan tidak berhati-hati, maka 19 tahun kuasa ditempa di Kelantan akan menjadi kenangan sepanjang zaman.Terpahat di sanubari rakyat, orang agama lebih rakus dan lebih pentingkan harta dunia berbanding dengan UMNO.PAS cuma bertopengkan agama semata-mata untuk menghalalkan kerakusan mereka terhadap kuasa, pangkat dan kebendaan. Inilah yang akan disemai selamanya di hati rakyat terbanyak jika hari ini kepimpinan PAS seolah-olah begitu mementingkan keuntungan peribadi dan puak.Sekali lagi PAS tumbang dalam era IT ini, selamanya orang tidak percaya kepada orang yang beragama.Mereka akan dijauhi dan dicemuh.Akhirnya, Islam akan dipandang hina sedangkan yang menghina Islam adalah orang-orang yang mengaku alim dan berilmu dalam agama...mereka yang membuatkan umat akhir zaman ini menjauhi Islam.

Fikir-fikirkanlah..sekadar itu untuk renungan bersama.