Tuesday, June 16, 2009

Catatan Parlimen

Tajuddin Balun Rakan Sendiri!

TAJUDDIN Abdul Rahman yang dikenali dengan The six million dollar man, tidak payah diperkenalkan lagi. Ahli Parlimen Pasir Salak ini semua orang kenal kerana kelantangan dan kepongahannya mengkritik sesiapa saja. Sejarah keberanian Tajuddin sudah lama dibaca oleh khalayak politik, khususnya politik Umno.

Beliau bukan saja berani dengan kata-kata tetapi beliau juga berani melempang sesiapa saja yang melampau dengannya!

Tajuddin seorang yang berjiwa Melayu dan tidak mudah untuk berkompromi dengan hal-hal yang boleh mencemarkan bangsanya. Beliau juga sangat rimas dengan penyelewengan dan kelambatan dalam perlaksanaan sesuatu projek yang menyebabkan rakyat menerima kesannya.

Bagi Tajuddin bila beliau terdengar sesuatu yang mencabar bangsa Melayu dan menganiaya rakyat telinganya seolah-olah jadi merah serta merta.

Dalam parlimen beliau akan menyanggah sesiapa saja. Timbalan Menteri, Menteri, Ketua Pembangkang hatta Perdana Menteri akan disanggahnya tanpa ampun maaf. Beliau tidak akan rasa kekok, yang penting beliau mahu membela rakyat, mahu menegakkan kebenaran. Beliau juga begitu alergik dengan sesiapa yang bercakap tanpa mengemukakan bukti dan fakta.

Siang tadi di parlimen beliau telah menyanggah rakannya sendiri, ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri yang ketika itu sedang berucap membahaskan pindaan undang-undang Pasukan Latihan Khidmat Negara (PLKN). Tajuddin kurang senang dengan wakil berkenaan yang bercakap memuji program nasional itu tetapi tidak menyediakan fakta.

Antara yang perkara yang memanaskan telinga Tajuddin menyebabkan beliau bangkit meminta penjelasan apabila Hamim mengatakan prestasi pendidikan para pelatih PLKN cemerlang.

Dakwaan itu bagi Tajuddin hanya sebagai retorik dan bersifat kenyataan politik saja kerana ianya tidak disertakan dengan statistik dan kajian menyeluruh ke atas program berkenaan.

"Apakah kita tahu apa yang kita cakap? Dalam parlimen kita jangan berpolitik. Kita hendaklah mengatakan sesuatu yang benar dan telus. Ingatlah dalam parlimen kita bercakap untuk membela bangsa dan negara bukannya hendak berpolitik," begitulah antara lain maksud kata-kata Tajuddin disambut tepukan meja bergemuruh termasuk oleh pembangkang.

Beliau langsung mempersoalkan mengenai peranan dan fungsi yang dimainkan program nasional berkenaan untuk melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin dan berwibawa. Beliau bertanya apakah pihak PLKN membuat kajian mengenai prestasi akademik pelatih PLKN. Kalau kajian tidak ada janganlah bercakap memuji PLKN sebagai bagus.

Sehubungan itu beliau mahu PLKN serius dalam soal ini. Peruntukan yang digunakan oleh PLKN pada setiap tahun ujarnya bukan sedikit ia mencecah RM400 hingga RM500 juta. Jumlah itu katanya bukan sedikit!

Beliau juga menyinis PLKN apakah dengan peruntukan sebanyak itu hanya untuk memberi kekayaan kepada taukeh kem-kem yang ada di serata negara. Dan kita juga tahu siapa yang berada di sebalik taukeh-taukeh kem itu. Apa yang dibayangkan oleh ahli Parlimen Pasir Salak itu seolah-olah PLKN diwujudkan untuk mengkayakan pihak-pihak tertentu saja sedangkan matlamat dan fungsinya tidak seberapa.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Tajuddin. Semoga semua ahli parlimen bersikap seperti Tajuddin yang berani menyatakan kebenaran tidak kira belah mana. Apa yang dikatakan Tajuddin itu benar, dalam parlimen bukan tempat untuk ahli-ahli Yang Berhomat bermain politik dan beretorik tetapi tenpat untuk mebincangkan masalah rakyat dan negara.

Dalam parlimen semua ahli parlimen perlu bercakap secara jujur, penuh bertanggungjawab untuk membela bangsa dan negara dan tinggallah baju politik. Mana-mana yang salah kena mengaku baiknya dipihak pembangkang maupun dipihak kerajaan. Dan mana-mana yang baik walaupun dibentangkan pembangkang hendaklah diterima dan sebaliknya pembangkang kepada pihak kerajaan. [wm.kl. 7:45 pm 16/06/09]

3 comments:

hizbul_999 said...

tahniah tajuddin..rakyat perlukan owg spt anda....ag bagus klu anda lantang dalm soal menegakkan Islam..

tahniah

abu muaz said...

Meminjam istilah nobisha politik nomad.Janganlah nampak nomad dipihak pembangkang sahaja tetapi lihatlah secara keseluruhannya gaya dan stail politik nomad dinegara kita kini.

Budak Syburi said...

Kita jangan hanya marah apabila Melayu dikata orang. Tetapi Islam dicemuh, hanya senyap saja.

tak mau macam tu.