Thursday, January 1, 2009

Isu Tanah Di Perak

Perihal Pemberian Tanah Hak Milik Kekal di Perak

UMNO dan BN tidak senang dengan langkah kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang akan menganugerahkah tanah hak milik kekal kepada penduduk kampung baru dan penduduk di Rancangan Kampung Tersusun di negeri itu.

Sebagai permulaan dan simbolik kata dikotakan semalam, 11 penduduk kampung baru di Kuala Rui, Gerik Perak telah menerima geran hak milik kekal selama 999 masing-masing dari Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin (foto).

Pelaksanaan anugerah itu tidak mengendahkan bantahan kerajaan Pusat berhubung perkara itu yang meminta kerajaan Perak menangguh sehingga hasil keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) membuat keputusan mengenai cadangan itu.

Kerajaan Pusat menerusi Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak membantah niat kerajaan Perak itu atas alasan kuasa menganugerahkan tanah itu di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Dalam erti kata lain anugerah itu bertentangan dengan dasar MTN.

Apabila anugerah itu dilakukan juga menunjukkan Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar berpandangan bahawa kuasa itu berada di bawah kerajaan negeri dan bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan tindakan oleh kerajaan Persekutuan jika keadaan memerlukan.

Janji untuk memberi status kekal kepada tanah pajakan di kampung baru dan Rancangan Kampung Tersusun (RKT) diputuskan dalam sidang DUN Perak baru-baru ini. Ia mungkin juga merupakan antara janji yang dicatat pada manifesto Pakatan Rakyat semasa pilihan raya umum lalu.

Dari segi prinsipnya penganugerahan itu tidak salah kerana ia satu kewajiban kerajaan ke atas rakyatnya. Mana-mana kerajaan yang bermaruah, bertanggungjawab akan berusaha menjaga dan memberi perlindungan kepada rakyatnya tanpa mengira bahasa dan dilek percakapan. Apabila janji itu dibuat ia harus dilakukan tanpa mengira apakah ianya memberi implikasi lain atau tidak.

Dari segi prinsip dan tabii manusia juga pemberian itu tidak menyalahi hukum alam. Sebab tanah atau tempat tinggal merupakan keperluan asas semua jenis manusia. Kepada sesiapa juga kerajaan perlu menyediakan tanah dan tempat tinggal. Sebab itu isu tanah adalah sangat sensitif.

Apa yang menghairankan kenapa anugerah seperti itu tiak diusahakan oleh kerajaan sebelum ini. Apakah kerajaan sebelum ini tidak mengambil berat soal perlindungan dan kebajikan rakyat? Ataupun kerajaan BN Perak pimpinan Tajol Rosli Ghazali tidak ada ilham untuk berbuat demikian atau bongkak dengan kuasa yang ada?

Apakah kerana kebetulan yang menerima itu itu orang Cina maka anugerah itu dipertikaikan? Kalaulah itu sebabnya maka tindakan BN sangat anih kerana ianya tidak bertindak membela rakyat atau pengundi seperti mana semangat yang ada dalam BN itu sendiri. Jelaslah di sini kesempurnaan dan kepedulian BN kepada rakyat itu hanya laungan dan omong kosong saja.

Jika benar ini maka jelas kerajaan BN yang ditunggakkan Umno itu tidak adil, mengamalkan double standard, pilih kasih dan sebagainya dan menangani masalah rakyat. Atau pun Umno mengira dengan cara itu, kurnia tanah ia boleh mengurangkan tanah milik Melayu? Apa yang ingin ditanya apakah bezanya tanah tol yang mereka duduki bertahun-tahun dengan milik kekal selama 999 tahun itu? Jika dilihat dengan kepala cerah ia dua kali lima saja, cuma status itu saja berbeza tetapi pemilik ke atas tanah itu tetap tuan yang sama.

Mungkin kerajaan Pakatan Rakyat menyedari hakikat ini maka mereka tidak berfikir panjang untuk memberi status itu? Di sinilah fatanahnya kerajaan Pakatan Rakyat yang sekaligus boleh menghakiskan keyakinan penduduk kampung baru kepada BN.

Secara peribadi saya tidak persalahkan orang Cina kalau mereka memiliki tanah yang lebih luas dari Melayu hatta pun memiliki negara ini. Selalunya mereka rajin meneroka tanah bagi untuk penanaman sayur, perumahan, industri dan sebagainya. Apabila mereka meneroka sesuatu tanah mereka istiqamh tinggal di situ dan tidak menjualnya kerana mengharapkan sedikit laba.

Ini berbeza dengan cara pemilikan tanah kerajaan oleh orang Melayu di mana mereka akan menjual kerana ingin memiliki kereta dan sebagainya dan sanggup menyewa rumah lain atas tanah setinggan juga. Orang Cina juga senantiasa berfikir untuk memperluaskan tanah milik mereka dari masa ke semasa. Ini berbeza dengan orang Melayu yang berfikir bagaimanakah hendak menjual tanah pesaka untuk berjoli atau untuk menunaikan fardu haji.

Layanan kerajaan BN ke atas penduduk kampung baru, RKT setinggan dan sebagainya juga tidak adil dan selalunya dilayan sebagai rakyat kelas dua. Layanan itu tidak setanding dengan nilai undi yang ada kepada mereka menurut demokrasi. Apakah nilai atau kuasa undi penduduk kampung baru, RKT dan setinggan lebih rendah dengan undi orang Melayu yang tinggal di tempat lain?

Rasanya tidak. Kalau undi Melayu yang tinggal di ibu kota metropolitan ianya tetap satu undi saja untuk satu orang, begitu jugalah kuasa dan nilai undi penduduk kampung baru, kampung tersusun dan setinggan, satu undi juga untuk satu orang.

Dalam hal ini saya nampak tindakan kerajaan Perak itu dibimbangi kerana ia boleh menghakiskan sokongan masyarakat Cina kepada BN. Di seluruh negeri Perak terdapat 60,000 penduduk di kampung baru dengan kira-kira 80 peratus berketurunan Cina. Sementara RKT terdiri daripada 73,703 penduduk dengan pecahan 44.02 peratus Melayu, Cina (37.93 peratus) dan India (18.05 peratus).

Perangkaan inilah yang digeruni dan dibimbangi BN. Mungkin pihak BN tidak sedar dengan pengasingan dan diskriminasi yang mereka lalukan itu menyebabkan orang Cina makin marah dan tersinggung dengan BN.

Jadi sekiranya larangan itu untuk menyelamatkan tanah negara ini terlepas menjadi pusaka orang Cina tindakan itu salah. Kerana cara itu menafikan hak mereka yang dibenarkan undang-undang. Larangan ke atas mahluk Allah memiliki atau mendiami bumi ini bertentangan dengan fitrah manusia dan keizinan dan jaminan mutlak Allah s.w.t. kepada sesiapa saja untuk menduduki atas muka bumi ini.

Tunggu lagi siapa yang memiliki tanah bayak, tanah bernilai terserah kepada kebijaksanaan dan kerajinan manusia itu. Tanah atau apa saja hartabenda ia tidak boleh dipertahankan dengan undang-undang ciptaan manusia kerana ia boleh dilanggar dan diperbaiki. Tanah, harta benda boleh dipertahankan dengan semangat, maruah, iltizam dan uhkwah yang tinggi sesama sendiri.

Kesimpulannya tindakan kerajaan Perak itu disamping untuk memenuhi janji dan meraih sokongan rakyat ia juga cuba bertindak mengikut fitrah dan janji Allah. [wm.10:45 am 01/01/09]

No comments: