Friday, November 14, 2008

Titik Rasa

Dua Keputusan Yang Tidak Mengejutkan

DUNIA kehakiman atau perundangan negara ini mencatat dua peristiwa yang agak kontras di antara satu sama lain dengan kehendak umum hari ini. Bagaimana pun keputusan dan tindakan itu sudah pun dibayangkan ia akan jadi begitu.

Peristiwa pertama ialah pihak pendakwa telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan pendakwa yang mahu meminda perbicaraan kes melibatkan tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Pada Jumaat lepas Hakim Komathy Suppiah telah menolak permohonan pihak pendakwa dan telah pun menetapkan hari ini, 14 November sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Bagaimana pun Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Yusof Zainal Abiden telah menfailkan rayuan berhubung keputusan itu menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan. Hakim Komathy akan menetapkan semula perkembangan bersabit kes itu selepas rayuan itu didengar.

Rayuan itu mungkin tidak mengejutkan Anwar dan penyokong kerana mereka sudah menjangkakan. Banyak keanihan dan keganjilan prosiding dalam sepanjang kes melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peristiwa kedua yang berlaku dan dianggap kontras dengan pengharapan umum itu ialah pihak pendakwa tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan rakan Mohd Najib Razak, Abul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendakwa Raya, Tun Majid Tun Hamzah menjelaskan pihaknya tidak mengemukakan rayuan ke atas pembebasan dan perlepasan ke atas Razak itu. Tempoh rayuan selama 14 hari berakhir hari ini.

Paa 31 Oktober lepas Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebas dan melepaskan Abdul Razak daripada tuduhan itu. Alasannya kerana pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti melampau bagi memanggilkan Razak membela diri. Bagaimana dua yang tertuduh utama, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, keduanya dari Unit Tindakan Khas (UTK) Polis di Raja Malaysia dipanggil membela diri.

Itulah dua peristiwa yang berlaku dalam sistem kehakiman atau undang-undang negara kita hari ini. Ia kebetulan melibatkan ke atas dua orang individu yang terkenal dan menjadi sorotan umum sejak beberapa tahun lalu.

Anwar ialah bekas TPM dan sedang berusaha untuk menjadi PM, manakala Razak Baginda pula seorang penganalisa politik yang dikaitkan sebagai penasihat politik kepada Mohd Najib Razak yang juga sedang menanti untuk menjadi PM.

Sudah pasti keputusan dan tindakan pihak pendakwa yang diketuai oleh Abdul Ghani Patail itu akan menjadi sejarah dan sebutan di masa akan datang. [wm.kl. 9:15 pm 14/11/08]

No comments: