Sunday, October 26, 2008

Sebelum Tidur

Ezam Masih Dihormati Kawan Dan Lawan

SAYA minta maaf banyak kepada sdr Tamrin Ghafar kerana tidak menghadiri majlis perkahwinan anaknya di Dewan Felda, Jalan Semarak malam tadi. Saya arif, menghadiri jemputan wajib sementara menjemputnya sunat. Namun malam tadi saya serba salah kerana ada dua undangan penting serentak.

Selepas difikir dan ditimbangkan, dengan doa semoga majlis perkahwinan anak sdr Tamrin meriah dan selamat, maka saya mengambil keputusan untuk tidak hadir dan menghadiri rumah terbuka bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, sdr Mohamad Ezam Mohd Noor, di Shah Alam.

Kalau hendak dikira masa dan pejimatan minyak, tentulah saya hadir majlis Tamrin kerana ia dekat tidak sampai 10 km dari rumah saya berbanding dengan rumah Ezam di Shah Alam, lebih 40 km.

Ada sebab tersendiri kenapa saya memilih untuk ke rumah Ezam. Pertama saya belum ke rumahnya. Mahu tengok sendiri banglow barunya. Apakah benar seperti mana yang disebutkan oleh satu pihak bahawa Ezam kini sudah kaya raya? Selepas keluar dari penjara terus bina rumah! Sedikit sebanyak cerita itu walaupun tidak benar namun ia perlu dicatat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya.

Kedua, apa yang menggamit saya untuk ke rumah Ezam kerana sudah lama tidak mendengar cerita mengenai Ezam. Kali terakhir bersalam dengannya sewaktu beliau mengadakan sidang akhbar mengistyharkan diri menyertai Umno bersama Perdana Menteri. Hiba hati rasanya melihat Ezam menyerahkan borang keahlian Umno dan 'mengoyak hancur' borang keahlian PKR. Terbetik dihati saya pada ketika itu, apakah sesudah membuang 'mata' (lambang Keadilan) penglihatan Ezam akan cerah dan menjadi lebih terang lagi?

Selepas itu tidak jumpa melainkan mengikuti kenyataan-kenyataan pengiring kemasukan beliau dalam Umno yang banyak mengkritik Anwar Ibrahim sehingga memaksa saya menelefonnya dan meminta agar redakan sedikit; kalau tidak mahu ingat Anwar yang hari ini tetapi kenanglah Anwar yang lama dulu - semasa Anwar dalam Umno!
Sekali lagi kepada Tamrin saya pohon kemaafan dan terima kasih banyak atas ingatan menjemput saya. Dua kali beliau telefon memberi tahu dan minta hadir.
Baglow Ezam terletak nun jauh di sebuah kawasan perumahan. Entah apa nama, cuma jalan ke rumahnya masih ingat, Jalan Platinum. Jika mengikut kelasifikasi kad kredit, platinum menggambarkan pemiliknya orang yang mewah dan kaya raya. Had keredit kad platinum ialah RM50,000 berbanding dengan silver atau pun gold yang menghadkan setakat RM5,000 hingga RM20,000 saja.

Sebelum sampai ke rumahnya, kita harus melewati tasik. Tidak berapa cerap seluas mana dan seindah mana tasik berkenaan, apakah binaan atau semulajadi. Tetapi biasanya kalau sudah ada tasik, bermakna kawasan perumahan itu agak mewah dan bersistemetik. Mungkin CCTV juga banyak dipasang di situ, maka tidak payahlah bagi mereka ke rumah Ezam malam tadi untuk mengenali siapa spy Anwar dan siapa spy Mahathir kerana semuanya dapat dilihat atau dicamkan menerusi CCTV.

Banglow Ezam sebenarnya masih belum siap sempurna. Masih dalam prsoes penyiapan dan penyempurnaaan. Menurut seorang kawan rapat Ezam, dulu (bahagian depan) baglow itu masih belum ada (siap), ia baru disiapkan. Penjelasan itu saya faham bertujuan untuk menafikan bahawa Ezam menjadi kaya dalam sekelip mata seperti mana dituduh.
Sebenarnya tidak payah menjelaskan mengenai dari mana Ezam dapatkan wang untuk bina rumah. Bank cukup banyak, boleh pinjam asalkan ada kelayakan. Saya tidak yakin dengan apa yang diceritakan bukan malam tadi, tetapi sejak mendengar cerita itu diecerkan lagi. Sesiapa mengenali Ezam kita akan tahu Ezam seorang yang meletakkan perjuangan di hadapan. Beliau bukan jenis suka menghulur tangan dan jika tidak diberikan baksis akan memaki hamun, dan bila diberi baksi akan memuji si pemberi itu hingga sampai ke sirathamutha.

Rumah Ezam biasa saja dan jangan hendaknya ada yang sangsi dan menambah cerita atas kemampuannya sebagai seorang suami dan bapa untuk menyediakan tempat perlindungan yang baik dan selamat. Jangan...

Rumah terbukanya malam tadi sama saja standardnya dengan rumah terbuka pemimpin lain. Sama dengan standard rumah terbuka 'bekas' kawan baiknya Mohamed Azmin Ali. Kalau bezanya mereka yang hadir cukup membanggakan. Yang hadir bukan saja rakan terdekat, tetapi rakan-rakan lama yang berjuang bersamanya sebelum ini. Merujakan rakan dari parti politik berbeza ideologi dengan Ezam juga hadir. Kesanggupan rakan-rakan yang berada di sebelah sini itu menunjukkan betapa akrab dan sukanya mereka kepada Ezam.

Antara rakan Ezam yang hadir yang dari kumpulan sebelah sini, ialah Pak Abu, atau pun Shaari Sungip yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang bersama isterinya. Begitu ditunjuki Pak Abu juga hadir sama betapa hati saya sedikit tercuit. Itulah sahabat sejati yang boleh mengenepikan perbezaan langkah-langkah dalam perjuangan dan mengutamakan sahabat dan persaudaraan dalam Islam.

Sebenarnya soal Pak Abu tidak perlu diungkit kerana umum tahu siapa dan bagaimana pendektan siasah dan personaliti Pak Abu. Beliau seorang yang istiqamah dan gigih. Rakyat Hulu Klang harus berbangga mendapat wakil rakyat seperti beliau.

Sekumpualn rombongan Dewan Pemuda Pas juga turut hadir. Mungkin mereka disuruh oleh Ketua mereka, Salahhudin Ayub? Untuk hadir sendiri mungkin Sallahuddin merasa kekok ataupun kerana tidak ada masa maka dikirimkan anak buahnya! Tidak mungkin beliau tidak hadir kerana takut disalah anggap. Salahuddin juga rakan seceramah dengan Ezam. Kehadiran Sabky Yusuf, Setiausaha Dewan Pemuda Pas telah mencerminkan hubungan Pemuda Pas dengan Ezam dalam keadaan tidak terusik. Antara orang yang lewat melelapkan mata di malam Ezam mengumumkan menyertai Umno adalah Salahuddin.

Tokoh usahawan dan korporat, Ramli Musa bersama isteri baru juga hadir sama. Rakan-rakan baru Ezam dari fahaman politik barunya, usah ceritalah.. ramai. Rahman Palil, Salomon Selamat juga turut hadir. Bagaimana pun tetamu istimewa dan saya rasa ditunggu-tunggui Ezam ialah kedatangan adinda Sultan Selangor serta sahabat setianya Tian Chua. Kedua tetamu ini hadir sesudah saya dalam perjalan pulang.

Jelas kehadiran tetamu Ezam yang berbagai latar belakang; dari bangsawan hinggalah kasta politik cabuk itu, menunjukkan itulah sebenarnya diri Ezam masih dihormati dan dirindui oleh orang ramai. Tidak syak lagi mengapa mereka menyanjungi Ezam ialah kerana keberanian, personaliti serta keikhlasannya dalam perjuangan. Saya yakin kalau Ezam masih lagi berdiri atas perjuangan asalnya rumah terbuka beliau malam tadi akan melimpah sampai ke jalan besar!

Kerana melihat sambutan itu hebat saya sempat juga berseloroh dengan beliau dengan berkata; kehadirannya sama hebat dengan kehadiran rumah terbuka Pak Sheikh..," Ezam teralat sesuku saat bila disebut nama Pak Sheikh (Anwar) dengan berkata dan merendah diri, eh... takkan begitu Skeikh....! Selamat untuk Ezam. [wm.kl 3:30 am 26/10/08]

No comments: