Wednesday, October 22, 2008

Catatan Sepi

Tumpang Bangga Dengan Perlantikan
Datuk Ariffin Sebagai Hakim Besar Malaya

PERLANTIKAN Datuk Ariffin Zakaria, 58 sebagai Hakim Besar Malaya mungkin sedikit sebanyak bakal memberi suntikan semangat kepada penghuni Gual Periok tanah tumpah darah saya dan juga bumi Repek di Pasir Mas Kelantan.

Mungkin anak-anak muda Gual Periok dan kampung sekitarnya tidak mengetahui apakah hubungkait Ariffin dengan pekan yang kini sudah lesu dan tidak bermaya itu.

Di Sekolah Kebangsaan Gual Periok itulah Ariffin mendapat pendidikan awalnya. Dan di pekan Gual Periok itulah juga kota bagi Hakim Besar Malaya itu ketika zaman kanak-kanaknya. Beberapa rakan sepermainannya kini masih ada di Gual Periok, dan tentu tumpang berbangga dengan perlantikan beliau sebagai Hakim Besar Malaya.

Keluarga Ariffin dulunya menetap di Gual Periok. Gual Periok pada tahun-tahun 60-an merupakan pekan termaju di Pasir Mas. Selepas Pasir Mas, Gual Perioklah yang menjadi tumpuan dan tempat orang luar mencari makan dan berniaga. Perusahaan bijih besi dan getah menjadikan Gual Periok tempat tumpuan. Ramai penduduk luar termasuk Wakaf Bharu, Kota Bharu, Tumpat hatta Pasir Putih datang ke Gual Periok untuk menjalankan perniagaan.

Penghijrahan kedua ibubapa Ariffin ke Gual Periok (Wan Nab dan Pak Ya) sehingga beliau di sekolahkan di Sekolah Kebangsaan Gual Periok itu juga kerana merantau untuk mencari rezeki. Kebetulan saya mengenali ibu, sahabat dan juga kaum keluarga Ariffin yang sebahagianya adalah kaum keluarga saya juga.

Kejayaan Ariffin sudah dibangga sejak lama dulu. Masih saya ingat ketika di sekolah rendah yang sama, cikgu Wan Mahmood, Wan Ibrahim dan lain-lain sering menceritakan perihal kejayaan Ariffin yang berlajar di luar negara. Kami diberikan semangat agar mengikut jejak langkahnya dan disuruh belajar bersungguh-sungguh.

Kebetulan Ariffin ada hubungan kekeluargaan dengan keluarga saya, saya sering kali diberikan contoh mengenai kegigihan Ariffin dalam belajar. Pendeknya dia menjadi idola kami sekeluarga.

Ariffin seorang yang sangat merendah diri. Orang Gual Periok mungkin tidak menyedari bahawa beliau adalah seorang Hakim kerana bila sesekali ke Gual Periok pada tahun-tahun 70-an dan awal 80-an sewaktu kaum keluarganya masih tinggal di situ, Ariffin langsung tidak mempamerkan martabatnya sebagai seorang berkelulusan undang-undang atau seorang hakim.

Kali terakhir saya menemui Hakim Besar Malaya ini ialah pada satu majlis hari raya pelajar tua sekolah Kebangsaan Gual Periok kira-kira 10 tahun lalu. Kehadiran beliau pada majlis itu menjelaskan betapa beliau tidak pernah melupai sekolah tempat beliau mendapat pendidikan awal. Jika tidak silap waktu itu beliau berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka.

Saya bagi pihak penduduk Gual Periok dan Repek (meskipun tanpa pengetahuan beliau) mengucapkan tahniah atas perlantikannya sebagai Hakim Besar Malaya. Didoakan semoga beliau diberikan kesihatan dan kekuatan mental, fizikal dan ketebalan iman oleh Allah s.w.t. pada sepanjang menjabat jawatan Hakim Besar Malaya dan apa-apa juga jawatan selepas ini.

Sesungguhnya dengan perlantikan itu ia memberi semangat kepada kami semua dan sudah pastilah kejayaan yang diraih beliau itu akan dijadikan azimat dan menambahkan aspirasi kepada anak-anak bumi Gual Periok dan Repek khasnya, dan anak-anak Kelantan seluruhnya. [wm.kl 7:00 pm 21/10/08]

No comments: