Monday, October 27, 2008

Dari Juring Mata

Bahagian Pertama Dari Dua Siri
Mukhriz, Khairy dan Khir Toyo Dari Persepsi Saya

KEBETULAN ketiga mereka saya tidak begitu mengenali secara mendalam. Jika meminum tea tarik seseorang itu boleh dijadikan ukuran sebagai rapat, maka saya tidak akrab kerana tidak pernah meminum tea terik mereka walaupun sekerat gelas.

Saya mengenali mereka kerana kedudukan dan penampilan mereka sebagai politician muda atau third generation dalam Umno. Mukhriz Mahathir tentunya saya mengenali kerana beliau seorang anak bekas PM, Mahathir Mohamad. Siapa tidak kenal Mahathir, lembu ibu saya pun kenal kerana beliaulah perdana menteri paling lama berbanding dengan perdana menteri sebelum ini.

Saya mula berjabat salam dengan Mukhriz pada perhimpunan agung Umno tahun 2006. Saya sempat meminta seorang rakan merakam gambar bersamanya untuk dijadikan kenangan. Gambar itu ada dimasukan dalam buku "Kemelut Mahathir - Abdullah: Bagaimana Anwar?" diterbitkan tahun 2006.

Pada masa itu saya telah menjangkakan bahawa suatu hari beliau akan bertanding Ketua Pemuda Umno dan akan berhadapan dengan Kahiry Jamaluddin. Kali kedua saya menemui beliau di pameran Crime War di PWTC. Di sini saya minta untuk mengadakan interviu. Tetapi Mukhriz seorang yang berhati-hati dan waspada dan ini saya sifatkan sebagai penakut.

Beliau juga dalam pemerhatian saya seorang yang tidak mempunyai keyakinan diri dan stand politiknya bergantung kepada seseorang lain.

Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin. Saya mengenali dia sebagai seorang menantu PM yang glamour, kontroversi dan dibenci! Beliau diuar-uarkan orang yang berada di sebalik kekuasaan Abdullah. Orang yang menangani Abdullah sebagai Perdana Menteri. Capture buruk demikian ke atasnya berjaya sehingga dalam sekejap mata saja Khairy dikenali sebagai watak antogonis dalam pentadbiran Abdullah. Seorang menantu yang berkuasa menjadikan bapa mertuanya sebagai lembu!

Semua kesalahan dan perkembangan negatif mengenai kerajaan dan Abdullah disangkutkan atas bahu Khairy. Ini termasuklah dalam memutuskan dasar negara. Perbuatan itu semacam disengajakan atau dipelankan bagi memburukkan Khairy.

Saya tidak fikir Khairy berperanan begitu besar sekali seperti mana dituduh. Dan kalaulah benar Khairy bersikap demikian betapa anak muda yang baru berumur 32 berjaya meletakkan diri atas persada politik perdana dan mencuri perhatian bekas seorang PM. Mahathir boleh dikatakan sepanjang zaman persaraannya memberi fokus khusus kepada pergerakan politik Khairy. Mahathir seolah-olah menjadikan musuh besarnya dalam politik pasca persaraan ialah Khairy Jamaluddin.

Ini satu kehebatan peribadi bagi Khairy kerana dalam usia sebegitu dan baru setahun jagung dalam politik sudah disorot demikian sekali.

Secara nyata saya kenal dan bersalam dengan Khairy ialah semasa berselisih di KLIA ketika itu saya dalam perjalanan ke Aceh bersama Husam Musa untuk meninjau bencana tsunami di sana. Saya mengucapkan terima kasih kerana beliau telah ke Rantau Panjang membantu mangsa banjir di kampung halaman saya itu.

"Terima kasih kerana memijak bumi saya, Rantau Panjang, bantu mangsa banjir di sana," itulah salam dan kata pengenalan saya.

"Saya tidak pijak bumi, saya duduk atas perahu saja," jawabnya berseloroh dan seolah-olah sudah lama mengenali saya. Inilah saya rasakan karektor Khairy yang jarang disorot orang dia seorang budak yang mudah mengenali dan menerima seseorang yang datang kepadanya.

Selepas itu kali kedua saya bertemua semasa pilhan raya kecil Ijok. Saya bertanya beliau berhubung dengan tindakan Anwar Ibrahim yang menghentam beliau dalam ceramah. Beliau menafikan dan cuba tidak memperpanjangkan kritikan Anwar itu. Di sini saya melihat ada sesuatu yang istimewa kepada anak muda ini. Ada sedikit sikap dan pendekatan profesional dalam politik. Beliau dapat membezanyakan antara pentas politik dengan realiti semasa.

Khir Toyo pula saya tidak pernah mengenali dirinya semasa beliau menjadi MB Selangor. Pertama kali melihat beliau dari dekat ialah semasa malam Pengucapan Kemanusiaan - Palestin di Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP), melibatkan Tun Mahathir Mohamad dan aruwah Ustaz Fadzil Mohd Noor. Saya lihat beliau begitu gah ketika itu dikawal oleh para manusia berjaket hitam dan juga berpakaian sivilian. Lagak Khir ketika itu persis Michael Jeckson.

Tidak pernah bercakp dan bersalam hinggalah ketika berjumpa di Sabah semasa lawatan Perdana Menteri, beliau datang ke meja saya selepas dihubungi (diminta) menerusi SMS oleh seseorang.

Khir nampak kekok dan malu-malu untuk berbicara dengan saya mungkin bimbang takut saya 'pena hitamkan' dia. Saya sudah diberitahu yang Khir agak kurang selesa dan yakin dengan saya ekoran penerbitan sebuah buku yang membelasah beliau. Orang-orang Khir menuduh saya di belakang buku berkenaan.

Khir dalam kacamata saya seorang yang lemah lembut, bersopan dan gerak gerinya membayangkan beliau anak kampung yang bersikap sangat merendah diri dan insaf. Seorang anak muda yang mempunyai keazaman untuk berjuang menerusi politik. Sayangnya Khir masih dibenam perasaan rendah diri kerana beliau dari kalangan anak petani. Kehidupan dan kesusahan masa lampau sehingga menjual surat khabar buruk mesih membelenggu dirinya.

Pada saya apa dilalui dan dialami Khir itu aset cukup baik untuk beliau menjadi seorang pemimpin yang berpijak di bumi nyata. Seorang pemimpin kepada bangsa Melayu yang rata-rata masih miskin dan terbelenggu oleh sikap hamba yang tinggi. Bersambung ke bahagian kedua. [wm.kl 2:00 pm 27/10/08

No comments: