Friday, September 5, 2008

Selepas Subuh

Jangan Mudah Percaya Maklumat Provokasi

JARANG sekali saya memberi reaksi kepada apa-apa komentar atau pun isu dari blog orang lain. Hatta kalau pun ada komentar mengenai diri saya, saya tidak berminat untuk melayanInya.

Saya hanya akan memberi respons sekiranya sesuatu bahan atau isu menyentuh mengenai saya dicurahkan menerusi blog atau email saya. Begitu juga kalau teguran itu direct dimasukkan ke dalam box email saya, saya akan balas mengikut email pengirim berkenaan.

Tetapi pagi yang hening dan mulia ini saya ingin memberi reaksi kepada maklumat yang 'termasuk' (bukan dimasukkan saya kira!) ke dalam blog kawan saya, Ramli Abdul Halim (Kapak Jangak) berhubung dengan dakwaan kononnya ada dua ahli Parlimen pembangkang di Kelantan akan menyertai Umno/BN pada 1 Oktober depan.

Saya merasakan perlu memberi reaksi kerana blog sdr Ramli ada saya linkkan menerusi blog saya. Justeru apa-apa yang terkandung dalam blognya juga menjadi tanggungjawab saya secara tidak langsung! "Tolong lah saudara selidik akan kebenaran perkara ini!", begitulah harapan penjenguk berkenaan.

Menurut laporan Ramli, dua orang ahli Parlimen itu ialah satu daripada Pas dan satu daripada PKR. Maklumat itu beliau terima dari seorang pemanggil yang mendakwa telah menemui kedua ahli Parlimen berkenaan. Adapun tujuan kedua mereka ingin nak menyertai BN ialah demi menjaga kerajaan BN dan kepentingan Melayu dan Islam.

Bunyi alasan itu sedap dan indah juga, tetapi ada sikit-sikit retorik.

Saya tidak perlu siasat mengenai laporan berkenaan. Sebagai seorang pengamal media dan menjadi penganalisa kecil politik, mudah saja untuk memberi gambaran atas laporan berkenaan.

Walaupun laporan itu tidak mustahil, tetapi apakah munasabah dalam keadaan semua orang bersemangat tinggi untuk melihat BN jatuh tiba-tiba ada orang seperti dua ahli Parlimen itu hendak menyertai Umno.

Langkah menyertai Umno ketika ini adalah langkah songsang dan hanya mereka yang kabur saja bersedia untuk mengikuti buntut Umno. Umno dalam keadaan seperti hari ini saya tidak fikir ada orang ingin mencemarkan maruahnnya untuk bergelumang di dalam parti berkenaan yang disifatkan oleh Rais Yatim sebagai tidak berbudaya Melayu lagi itu.

Saya rasakan kalau rakyat begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak tenguk BN jatuh, apatah lagi dengan ahli-ahli Parlimen. Mereka tentu lebih bersemangat lagi untuk melihat realiti itu.

Kerana itu pada saya orang yang memaklumkan kepada Ramli ada agenda tersendiri. Mungkin beliau menggunakan ruang untuk mencuri tumpuan orang dan menimbulkan kegemparan kecil.

Kerana orang berkenaan merasakan ruang itu ada dalam blog berkenaan maka mereka menghubungi Ramli untuk menghebahkannya. Pemberi maklumat itu juga tentu faham dan reti mengenai aliran blog sdr Ramli itu.

Berita berkenaan adalah berita besar dan menggemparkan. Maka seharusnya ia bukan saja perlu dikocakkan menerusi blog tetapi sudah tentu akan dikocak menerusi akhbar mainstream yang menjadi milik parti pemerintah. Tetapi kenapa berita berkenaan tidak ada dalam akhbar kroni itu?

Mungkin pemberi maklumat itu sudah pun menghubungi akhbar-akhbar dan media eletronik berkenaan. Namun kerana kesahihannya dan nilai beritanya boleh diketawakan orang maka ia tidak disiarkan.

Kesimpulannya maklumat berkenaan amat sukar untuk dipercayainya. Dan kalau tidak ada pertanyaan mengenai laporan itu kepada saya, serta kalau blog berkenaan tidak dilinkkan menerusi blog saya, saya tidak sudi untuk menyentuhnya kerana ia membuang masa saja. InsyaAllah saya akan tetap berpegang kepada kebenaran dan maklumat-maklumat yang 90 peratus tepat dan berasas. [wm.kl 6:10 am 05/09/08].

No comments: