Sunday, September 14, 2008

Celoteh Murai 5

Cerita 54 Ekor Itik Nila

MURAI sikit tidak senang dengan telatah dan sikap ahli-ahli Parlimen negara kita. Ada kalanya tindakan dan fiil mereka macam budak-budak bahkan lebih teruk daripada itu. Mereka tidak berusaha menunjukkan kematangan dan kelas mereka sebagai orang yang menganggotai badan penggubal undang-undang - Parlimen.

Kadang kadang tidak terliur untuk melihat mereka berbahas dan bertengkar dalam Parlimen. Adakalanya macam anjing dengan kucing saling tuduh menuduh antara satu sama lain dan sanggup bertegang leher atas perkara yang remeh remeh. Penggunaan keng lebih banyak daripada penggunaan otak dalam Parlimen.

Berbagai bahasa yang dikeluar dan digunapakai. Daripada bahasa Inggeris yang macam rojak Jawa sampailah kepada bahasa daerah yang memalu dan memabukkan! Perkataan lucah usah cerita lah...sudah jadi makan minum para ahli Yang Berhormat itu. Sebab itu bagi Murai pergi ke Parlimen lebih enak dan sedap duduk di kantin sambil minum dan makan kueh. Setengah kueh di Parlimen lebih berkualiti daripada ahli Parlimen!

Sikap kebudak-budakan dan telatah yang memualkan bukan saja setakat berlaku dalam dewan. Kini ia sudah terbawa keluar negara pula. Tindakan 49 ahli Parlimen BN yang melarikan diri keluar negara kerana bimbangkan projek 16 September menunjukkan kualiti dan tahap daya fikir ahli Parlimen berkenaan sungguh dangkal sekali.

Kononnya kerana ingin membendung sesama mereka untuk tidak dikidnap Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru 16 September mereka ramai-ramai ke Taipei atas lawatan sambil belajar hal ehwal pertanian moden.

Alasan itu sungguh dangkal sekali. Setelah lebih tiga tahun kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan baru sekarang mereka nak pergi menimba ilmu untuk memajukan pertanian. Maknaya kerja mereka itu menanam dulu kemudian baru bubuh baja dan siram. Selepas pokok sudah layu baru nak rawat itu namanya kerja orang tidak sihat otak!

Sikap tidak berapa cerdik dan segar itu bukan saja terbatas kepada ahli Parlimen BN saja, tetapi ia turut berjangkit kepada ahli Parlimen pembangkang PKR bila mana lima orang daripada mereka turut sama terbang ke Taipei. Kononnya mereka pergi untuk mengejar ahli Parlimen BN yang dibawa lari itu.

Apakah perlunya melakukan kerja kejar mengejar itu? Kalaulah sungguh ada di kalangan 49 orang ahli Palimen BN itu yang ingin bersama Pakatan Rakyat tidak payah dikejar-kejar. Lagak ahli ahli Parlimen PKR itu tak ubah macam itik nila nak sanggama terpaksa kejar hingga terkoyak bulu baru dapat 'bergomol'.

Kalaulah demikian attitude ahli Parlimen kita macam manalah mereka boleh menyumbangkan pemikiran, akhlak dan budi pekerti baik kepada bangsa dan negara. Sepatutnya kejadian kebudak-budakan atau perangai itik nila itu tidak perlu berlaku. Dan kalau kedua pihak nak buat gimik dan reka cerita pun biarlah yang tersaul dek akal jangan sampai menyerlahkan kebodohan dan kepandiran kita.
Bagi Murai kesemua 49 ahli Parlimen BN dicampur lima orang ahli Parlimen PKR itu yang semuanya jadi 54 bolehlah dimasukkan ke dalam satu bakul. Mengenangkan mereka Murai teringat apakah mereka adalah spesies yang lahir daripada ahli mini Parlimen yang pernah dipimpin pelawak Jamal Kerdil lebih 15 tahun lalu.

Murai: Walaupun pandai bersiul kadang-kadang malu untuk menyanyi!
[wm.kl 10:00 am 14/09/08]

No comments: