Thursday, August 7, 2008

Berita Langsung

Lebih 3,000 Penyokong Anwar Serbu Kompleks Mahkamah Jalan Duta

DI PERKARANGAN Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi ini seperti suasana di hari penamaan calon apabila lebih 3,000 para penyokong Penasihat PKR, Anwar Ibrahim datang untuk memberi sokongan kepadanya yang dihadapkah ke mahkamah Sesyen di situ atas tuduhan liwat. Seolah apa yang berlaku hari ini adalah gambaran awal yang akan berlaku pada 16 Ogos hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh nanti.

Sokongan moral yang agak luar biasa terhadap seseorang yang didakwa di mahkamah itu ialah ekoran para para penyokong Anwar merasakan tindakan mendakwa itu sebagai satu usaha keji untuk menghalang Anwar daripada turut mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil 26 Ogos depan. Dalam kenyataan reaksinya kepada tindakan itu Anwar menuduh Pejabat Perdana Menteri dan Polis bertanggungjawab ke atas pendakwaan beliau itu.

Para penyokong Anwar dikatakan datang sejak awal pagi lagi menyebabkan keadaan di kompleks mahkamah itu menjadi penuh sesak dan sesekali bergema dengan laungan reformasi.

Suasana tahun 1998 sewaktu Anwar pertama kali dihadap ke mahkamah atas tuduhan sama seolah-olah kembali semula hari ini. Pasukan polis termasuk pasukan simpanan khas (termasuk berkepala merah) dan ratusan yang berpakaian awam turut sama berkawal dari pintu masuk ke kompleks mahkamah berkenaan.

Untuk mengelakkan berlaku kesesakan teruk pihak polis telah menapis kemasukan orang ramai termasuk wartawan di mana hanya seorang wartawan saja untuk satu agensi dibenarkan masuk. Sebahagian para penyokong Anwar terpaksa menanti perkembangan pendakwaan itu di luar bangunan mahkamah dengan penuh sabar dan debaran.

Kira-kira jam 10:30 perkembangan yang ditunggu telah terjawab dan ia melegakan para penyokong Anwar dan orang ramai apabila Anwar tidak di penjara! Mahkamah membenarkan Anwar diikat jamin sementara menunggu tuduhan semula yang ditetapkan pada 10 September depan. Hakim SM Komathy Suppiah membenarkan Anwar diikat jamin dengan jaminan peribadi sebanyak RM20,000.

Menurut kertas pertuduhan Anwar dituduh telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lalu. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3:01 petang hingga 4:30 petang di Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kauala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan oleh Peguamcara Negara, Datuk Idris Haron, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Operasi), Mohd Hanafiah Zakaria dan dibantuk Timbalan Pendakwaraya, Shamsul Sulaiman.

Manakala peguam yang akan membela Anwar pula diketuai Sulaiman Abdullah, R Sivarasa, Lela J Jesuthasan, Sankara Nair, Edmund Bon, Saiful Izham Ramly, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Razlan Jalaluddin.

Perbicaraan itu juga akan turut dihadiri peguam Hak Asassi Manusia, Majlis Peguam sebagai peguam pemerhati.

Manakala peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful Bukhari, Zamri Idris.

Turut sama kelihatan hadir dan memberi sokongan kepada Anwar, isterinya bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Islmail bersama anaknya Nurul Izzah yang juga ahli Perlimen Lembah Pantai, para pemimpin PKR, Pas dan DAP. Antara pemimpin Pas yang pagi-pagi lagi berada di kompleks berkenaan ialah Husam Musa yang mengenakan baju kot putih, Kamarudin Jaafar. Speaker DUN Kelantan Nasaruddin Daud juga kelihatan dicelah-celah himpitan orang orang. Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Azan Ismail ahli Parlimen Indramahkota juga turut sama hadir.

Menjelang tengah hari para penyokong meninggal kompleks mahkamah berkenaan apabila Anwar keluar meninggal mahkamah. Sebelum memasuki keretanya Anwar sempat melambaikan tangan kepada penyokongnya yang berbaris panjang di kiri kanan di jalan dari kompleks mahkamah hingga ke luar pagar mahkamah.

Tidak ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku melainkan tegahan polis kepada wakil penyokong Anwar yang cuba membuat ucapan ringkas di tangga koridor kompleks mahkamah itu bagi menjelaskan perkembangan yang berlaku.

(Tambahan) Sementara itu sewaktu posting ini disiapkan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menelefon membuat penjelasan berhubung posting saya sebelum ini yang mengkritikan tindakan AKM yang dianggap suka membuat gimik yang menghebuhkan kononnya Anwar akan ditangkap semalam.

Menurut Shamsul hebahan yang dibuat AKM itu berdasarkan maklumat yang kukuh. "Saya diminta membuat penjelasan tetapi rasanya baik saya telefon abang direct," katanya sopan dan diplomasi.
Dan ternyata penegasan saya bahawa Anwar tidak ditangkap adalah benar, bahkan bakal calon pilihan kecil Permatang Pauh itu dibebaskan dengan ikat jamin oleh mahkamah sekajap tadi. [wm.kl 1:30 pm 07/08/08]

No comments: