Tuesday, July 8, 2008

Rileks Pagi

Siapa Yang Mahathir Maksudkan?

KATA Mahathir Mohamad ada usaha secara bersepadu untuk menjatuhkan Mohd Najib Razak. Usaha itu bukan saja didalangi oleh oleh Anwar Ibrahim tetapi ada seorang lagi dan lain-lain. Mahathir tidak menjelas siapakah seorang lagi itu. Nampaknya beliau terus bermain dengan persepsi dan menyerahkan kepada orang ramai agar membuat telahan sendiri.

Kenapa dan mengapa?

Mahathir adalah orang yang begitu gila mahukan Najib menjadi PM. Beliau sanggup mengenepikan lain-lain calon termasuk Tengku Razaleigh Hamzah. Padanya seolah Najib saja yang layak memimpin negara. Justeru beliau tentu tidak mempercayai walaupun sebesar kuman terhadap apa-apa keburukan dan kebusukan yang melingkungi diri Najib. Bagi Mahathir seluruh badan Najib wangi. Dan beliau tidak sedikitpun ternampak akan kebaikan dan jasa-jasa besar Ku Li kepada bangsa dan tanahair selama ini.

Akuan bersumpah yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan isteri Najib dengan pembunuhan Altantuya tentu tidak dipercayainya. Mungkin bagi Mahathir tindakan Raja Petra itu termasuk dalam tidakan bersepadu dan suatu karya kreatif bertaraf dunia. Raja Petra mungkin yang dimaksudkan lain-lain orang oleh Mahathir itu.

Siapakah seorang lagi yang berusaha menjatuhkan Najib yang dimaksudkan oleh Mahathir itu? Dalam hal ini Mahathir ada strateginya sendiri. Beliau sengaja tidak menyebut nama orang itu walaupun mungkin ada yang menyedarinya. Beliau mahu orang meraba-raba sendiri dan ini menyebabkan makin ramai akan dilihat sebagai orang yang berusaha untuk menjatuhkan Najib.

Biarlah di sini saya sebutkan nama orang yang mungkin dimaksudkan Mahathir itu. Dia ialah orang yang dibenci oleh Mahathir selama ini, iaitu Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah Ahmad Badawi. Mahathir cukup berbulu dengan Khairy yang mana pada satu ketika Mahathir seakan kalah dan hilang akal untuk berhadapan dengan budak Pemuda Umno ini.

Tahap kebencian Mahathir kepada Khairy sama dengan tahap kebenciannya kepada Anwar Ibrahim. Ini diukur kepada cakap-cakap dan kritikan bekas PM itu kepada dua orang itu.
Dalam tempurung Mahathir, Khairy dan Anwar berpakat menjatuhkan Najib. Mahathir sangat yakinkan. Dan tanggapan ini juga realistik.

Adapun kenapa Mahathir terus menyerang Khairy ialah kerana Khairy menjadi persaing dan bakal menghalang langkah anaknya Mukhriz untuk menerajui Pemuda Umno. Mukhriz adalah legasi dan pusaka Mahathir dalam Umno.

Ada munsabah kalau Mahathir berpendapat demikian. Saya sendiri sudah lama mendedahkan bahawa pakatan Anwar dan Kahiry tetap berlaku walaupun mereka kelihatan tegang. Ada persefahaman dalaman antara keduanya. Bahkan Khairylah yang mengorek 'lubang tikus' untuk Anwar menyertai semula Umno.

Dalam politik tidak menjadi masalah. Apa juga pakatan baik secara sulit dan terbuka kalau untuk kepentingan bangsa, agama dan tanahair tidak menjadi kesalahan. Bahkan itu dianggap tindakan yang bijak.

Soalnnya kini antara pakatan Mahathir - Najib dan pakatan Khairy - Anwar yang mana akan membawa kebaikan kepada negara, bangsa dan tanahair. Apakah keduanyan akan membawa kecelakaan kepada negara?

Kalau ia membawa bencana dan musibah kepada agama, bangsa dan negara maka elok kalau kedua pakatan itu ditolak dan carilah regu baru yang boleh disandarkan harapan rakyat kepadanya. Bangsa Melayu dan rakyat Malaysia janganlah terjerlus ke dalam lubang tahi untuk kali ketiga! [wm.kl. 7:30 am 08/07/08]

No comments: