Monday, May 12, 2008

Bicara Untuk Ibu

Ibu dan Pohon Ladanya

SEMPENA hari ibu semalam (11 Mei) saya tidak mencatat apa-apa untuk mengenang dan menzahirkan kasih dan sayang kepada ibu. Bukan bermakna tidak ada sayang dan kasih lagi di telaga batin ini buat ibu, ada... tetapi saya tidak mahu dilihat mengenang ibu hanya bila ada hari khusus untuk berbuat demikian.

Sesungguhnya terasa tidak ada ruang lagi untuk menghimpun kasih dan sayang kepada ibu dalam usia sebegini!

Ibu perlu dikenang dan dingat sepanjang masa. Bagaimana ibu mengenang dan mendoakan diri kita, anak-anak dan isteri kita, begitulah juga kita kepadanya. Jangan lepaskan oang-orang yang kita sayang dan cintai serta banyak berjasa itu dari belitan tali doa kita.

Kasih dan pengorbanan si ibu adalah cukup mahal. Dulu saya kurang memahami kata-kata betapa 'kasih ibu membawa ke syurga'. Hari ini setelah menjadi bapa mempunyai anak, usia sudah hampir setengah abad baru memahami dan menyedari betapa tingginya nilai kasih dan sayang seorang ibu dan ayah.

Betapa kalau kita tidak dilahirkan olehnya, nescaya kita tidak ada di alam maya ini. Masih beruntung dan bertuah kita cambah dan dilahirkan dari rahim seorang ibu yang ada pegangan dan benar pula agamanya. Apa kata kalau kita lahir dari rahim ibu yang tidak beragama atau agamanya bathil?

Berbicara fasal ibu sepekara yang saya tidak ingin berlaku ialah sampai ibu terkedu hati dengan saya. Saya cukup bimbang apa-apa perbuatan, kata-kata atau gurau senda boleh menyebabkan ibu terasa hati. Betapa kalau ibu sudah terkilan dan sampai menitiskan air mata, seolah dunia tidak ada gunanya lagi. Kalau ibu sudah tidak merestui seolah apa yang dilakukan tidak memberi apa-apa makna persis dunia ini kehilangan warna dan muziknya.

Mengirim kasih

Dalam menyatakan kasih dan sayang kepada ibu berbagai cara orang mengirimkan rasa sayang dan kasih kepada ibu masing-masing. Ada yang memeluk dan mencium ibu. Mengajak membawa mengerjakan umrah, makan di restoran besar atau membeli pakaian dan sebagainya.

Mungkin berlainan sedikit dengan saya. Petang semalam saya hanya sempat berbicara dengan ibu menerusi telefon. Bertanya keadaan diri, anak dan cucu-cucunya yang lain. Tidak terlupa juga menanyai binatang peliharaannya kucing, ayam, itik, lembu (kambing tak ada), dan lain-lain. Apabila mendengar suara ibu segar dan ceria bermakna ibu sihat betapa lapang dan senangnya dada.

Jarak dan waktu memisahkan saya dengan ibu. Tidak sempat untuk pulang selalu dan ibu pula liat untuk datang ke Kuala Lumpur. Ibu lebih suka dan bahagia tinggal di kampung halaman. Kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat ibu memupuk kasih dan membangun mahligai bersama ayah untuk kami anak beranak. Walaupun ayah sudah tiada 13 tahun lalu namun bayangan dan jiwa dan cinta ayah masih tetap wangi di seluruh pancaindra ibu.

Jadi dalam keriduan dan keterbatasan itu apa yang boleh saya lalukan ialah dengan membelai dan memuluk pohon lada yang ibu tanam di halaman rumah. Semasa saya dan isteri ke Makkah akhir tahun lalu ibu datang ke rumah untuk menjaga rumah dan melihat cucu-cucunya. Saya kira itulah kedatangan ibu paling lama di Kuala Lumpur, hampir dua bulan.

Sepeninggalan saya itulah ibu menanam pohon lada di halaman. Pasti kerja itu dilakukan kerana ingin menghambat sepi dan rimasnya kerana lama berada di sini. Begitulah ibu kalau di kampung tidak pernah diam dari melakukan kerja-kerja harian di sekeliling rumah. Anihnya pula tangan ibu sejuk, lambat meletakkan apa-apa benih ke bumi akan berbuah.

Pokok lada ibu itu sudah besar dan merimbun serta sudah mula berbuah. Meyedari ladanya berbuah saya menyuruh isteri menelefon dan mengkhabarkan kepadanya. Betapa ibu suka dengan berita itu. Katanya, kenapa susah-susah telefon hanya setakat nak bagi tahu lada dah berbuah!

Hampir setip hari semasa hendak keluar rumah saya akan memerhati dan menjamah pohon lada berkenaan. Semacam tidak sempurna pula kalau tidak membelainya dan membelek-beleknya. Anihnya satu perasaan menyelinap perlahan ketika membelai pokok lada itu terasa seperti memegan lengan ibu yang sejuk dan jari jemarinya yang lembut mesra.

Ah ibu semoga Allah memberi kesihatan, keceriaan dan kebahagiaan kepadamu ibu! Itulah doa khusus saya untuk ibu. [wm.kl 1:00 12/05/08].

1 comment:

Ajeem said...

secara jujurnya,saya sangat terharu dengan coretan mso tentang ibu saudara.saya tak pernah meraikan hari ibu namun jauh disudut hati kasih ibu sentiasa terpahat dihati.
hanya orang yang tak waras tak sayangkan ibunya.tanpa ibu,sudah tentu kita tak dapat menikmati kehidupan dunia ini sekarang.semoga semua golongan ibu terus sejahtera dan dirahmati Tuhan.