Monday, March 3, 2008

Susupan Pagi

Perbandingan Dua Majlis
Sokongan Anak Kelantan di Perantau Lebih Kepada Pas

MALAM tadi keletihan sangat tidak sempat mengisi blog. Saya tahu penjenguk tertunggu-tunggu apa yang berlaku dalam tempoh 12 jam lalu yang dalam pengetahuan saya. Tetapi apa boleh buat, al maklumlah 'berkerja' bersendirian dan cuba nak lawan atau lakukan kerja seperti website atau pun akhbar main stream yang mempunyai ratusan kakitangan, tentu tidak akan terbuat dan terlawan.

Selepas Ashar semalam saya bergegas ke Putrajaya untuk melihat suasana di sana dan juga mendengar ceramah umum Tok Guru Nik Aziz di Dewan Serbaguna Persint 9. Dengan bantuan seorang kawan yang cekap bawa kereta tidak sampai 20 minit saya tiba di Putrajaya.

Benar seperti kata seorang kawan yang tinggal di Putrajaya, perang poster di ssana dimenangi oleh BN. Poster bulan nampak berkurangan sekali. Tetapi apabila memasuki ke Persint 8, Persint 9 di mana tempat berlangsung ceramah, poster bulan memberi cabaran kepada poster BN berlambangkan dacing. Saya percaya selepas kedatangan Tok Guru bulan akan memenuhi Putrajaya.

Gambar calon bertanding juga dipacak di kiri kanan jalan. Calon Pas di Putrajaya ialah Mohamad Noor Mohamad.

Tok Guru dikatakan lewat sampai kerana kapal terabng daripada Kota Bharu terlewat. Saya ambil keputusan tidak menuggunya kerana ada sedikit kerja yang perlu dibereskan. Lagi pun saya bercadang untuk memberi fokus kepada majlis Tok Guru di Hotel Nikko pada malamnya, iaitu majlis Ramah Mersa Dengan Anak Kelantan di perantauan.

Di Putrajaya hanya sempat merakam beberapa keping gambar termasuk bendera yang dipacak di koridor di Dewan Serbaguna Persint 9 dan juga bondongan orang ramai yang tiba untuk mendengar ceramah berkenaan.

MALAM di Hotel Nikko, saya kira saya sudah awal tiba. Selepas mengikut berita merapu di televisyen Malaysia saya terus ke hotel Nikko. Sampai di sana dewan sudah penuh sesak. Di pentas Tok Guru bersama tiga sosok tubuh lain sudah pun tercokol. Ketika sampai Peresiden Persatuan Anak Kelantan Di Perantau (Perakan) Ariffin Mahmood sedang menyampaikan ucapan aluan.

Sebelum tok Guru berucap ada dua yang ikut sama berucap. Seorang warna gelap, rambut putih dan seorang lagi berambut hitam tinggi dan pakai kacamata. Saya rasa saya kenal kedua orang ini! Saya tidak memberi tumpuan sangat kepada ucapan mereka berdua. Apa yang hendak disampaikan sudah pun tersemat dalam kepada saya. Tetapi mungkin mesej mereka penting untuk anak-anak Kelantan di Kuala Lumpur.

Seperti yang saya janjikan, apa yang hendak lakukan ialah membandingkan majlis itu dengan majlis yang bentuk dan tujuannya sama dianjurkan oleh Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) di stadium Juara, Bukit Kiara malam kelmarin. Majlis di bukit Kiara itu dianjurkan oleh Maufakat MKK (Umno) untuk kepentingan Umno, manakala majlis di hotel Nikko dianjurkan oleh Pas Perakan untuk kepentingan Pas.

Matlamat kedua majlis itu ialah meminta rakyat Kelantan balik mengundi pada 8 Mac nanti. Kedua pihak merasakan penting anak-anak Kelantan berada di luar balik mengundi.
Keduanya kini seperti terdesak untuk menang dan memerlukan bantuan tali hayat (undi luar yang sah itu). Hal demikian tidak dibuat Pas menjelang hari mengundi 2004 lalu mungkin kerana Pas berada dalam keadaan selesa (completion) ketika itu.
Sindiran kebencian

Diperhatikan jelas majlis Anak Kelantan Pas berjaya dan bersemangat berbanding majlis Anak Kelantan Umno. Laungan bersemangat takbir dan sindiran kebencian kepada Umno bergema di dalam dewan yang boleh memuatkan kira-kira 4,000 orang itu. Dari segi kehadiran juga majlis di Nikko lebih hebat berbanding majlis di Bukit Kiara itu. Mungkin dua kali ganda.

Setiap kali penceramah mengusik ilusi mereka, bergemalah laungan dan sindiran atau dalam dailek Kelantan 'juah' kepada pemimpin Umno. Dua orang pemimpin yang menjadi ejekan dan dijuah malam tadi ialah Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.

Kelancangan mulut Khairy yang menuduh Kelantan miskin, tidak ada pembangunan dan Pas gagal membawa sebarang kebajikan kepada rakyat mengesalkan penceramah dan menimbulkan kemarahan para hadirin. Rata-rata yang hadirin terdiri daripada anak-anak muda, pelajar dan mereka berkerja sendiri di Kuala Lumpur.

Berbeza dengan wajah-wajah yang hadir pada majlis anak Kelantan Umno, terdiri golongan veteran, ahli korporat dan mereka yang hadir sekadar mempamirkan diri kepada Annuar dan Abdullah Ahmad Badawi.

Paling merujakan saya, ada mereka yang hadir pada majlis di Bukit Kiara itu juga turut sama hadir di Nikko malam tadi. Mereka nampaknya releks dan tersenyum bila melihat saya. Jelas daripada apa yang mereka tuturkan, mereka lebih seronok dan senang bersama majlis anjuran Pas itu. "Kita anak Kelantan Pas, bukan Umno..." begitulah ujar salah seorang dari kumpulan anak muda itu secara berseloroh.
Apa yang dapat saya simpulkan secara mudah, jika kedua majlis itu dijadikan kayu pengukur, maka sah Pas akan mendapat undi majoriti daripada anak-anak Kelantan yang berada di sekitar Lembah Klang. Mereka hadir bukan untuk bermuka-muka dengan pemimpin Pas seperti mana mereka yang hadir pada majlis di Bukit Kiara, tetapi hadir dengan semangat dan mengatakan komitmen mereka kepada negeri kelahiran mereka sendiri.
Suara-suara dan wajah yang dipamirkan menjelaskan mereka lebih rela Kelantan ditadbirkan Pas dan janji-janji yang ditawarkan oleh BN menerusi manifeso khasnya Kelantan Baru - Kelantan Maju, sedikit pun tidak membuka selera mereka.

Bagi anak Kelantan, Kelantan Majulah apabila ianya mengekalkan tradisi Kelantan yang dipimpin dan ditonjoli ulama, Kelantan Baru pula Kelantan yang dipimpin oleh pemimpin pelapis yang progresif, dinamik, ikhlas dan bersih moralnya. LAPORAN ceramah Anwar Ibrahim di Seri Gambok malam tadi akan menyusul. [wm.kl 10:30 am 03/03/08]

No comments: