Thursday, December 6, 2007

Rencana Khas - Maya Oh Maya

Tawar Maya Karin Bertanding di Kelantan

MSO

KERAJAAN Kelantan nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam serba serbi untuk tidak menampakkan ianya jumud. Apa yang dibuat dan menjadi amalan Kerajaan BN turut sama dipraktikan di negeri berkenaan. Sesetengah apa yang Pas buat boleh mengelirukan rakyat Kelantan kerana tidak ada beza lagi dengan kerja dan budaya Umno.

Kepimpinan ulama yang menjadi slogan pemerintahan Nik Abdul Aziz Nik Mat seakan menjadi pendorong untuk memancu Kelantan dalam serba serbi. Semacam slogan itu menjadi faktor pendorong Kelantan perlu menerokai semua bidang kehidupan dan membawa sesuatu yang selama ini asing dalam konteks parti berkenaan. Tujuannya satu iaitu untuk menampakkan bahawa Islam itu dinamik dan tidak kolot!

Usaha ini ghairah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin baru Pas Kelantan yang mempunyai knowledge yang tinggi serta kerencaman dalam strategi berpolitik. Mereka perlahan-lahan mengubah pegangan atau fahaman lama yang membelenggu Pas selama ini.

Atas alasan Islam itu progresif dan dinamik perubahan itu dilakukan. Satu persatu anjakan pemikiran, pendekatan dan prinsip-prinsip Pas yang primitf yang sering dianggap dan diejekkan Umno sebelum dirombak dan dibuang.

Bersikap melawan

Pegangan dan anggapan bahawa ulama hanya bercakap atau menjadikan isu politik terhadap soal-soal yang khusus mengenai syurga perlu dipecahkan dan ia perlu kepada anjakan paradigma untuk menarik sokongan kepada Pas. Dalam hal ini Pas cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dan tidak bersikap melawan keadaan.

Ada usaha kalangan Pas cuba membongkar dan memberi tahu umum bahawa untuk ke syurga itu bukan saja menerusi jalan wajib menerusi amal ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya saja, tetapi jalan itu luas dan feleksible termasuk juga menerusi aktiviti-aktiviti kehidupan lain yang dianggap modern.

Untuk membawa perubahan dan melaksanakan ini Pas menggunakan Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai lesen. Sebab itulah sesuatu perubahan dan pembaharuan yang agak asing bagi Pas sebelum hendak dilaksanakan mereka akan mempengaruhi atau membacuh pemikiran Nik Aziz dulu. Kalau Nik Aziz setuju dan rela maka barulah dilaksanakan.

Maknanya di dalam menerima pembaharuan dan perubahannya ia bergantung kepada Nik Aziz. Dalam hal ini pula Nik Aziz sebelum memutuskan sesuatu terlebih dahulu mendapat penjelasan daripada orang tertentu. Ada kalanya dalam hal ini ada kaedah atau strategi bagaimana hendak mempengaruhi Nik Aziz. Kalau orang yang memberi tahunya tidak jujur maka keputusan yang direstui Nik Aziz juga akan menjadi tidak benar.

Bagi ahli Pas pula kalau pemimpin rohani mereka sudah setuju dan rela maka mereka akan lakukan apa sahaja. Sebab mereka yakin Nik Aziz akan menjadi ketua pengembara yang akan membawa mereka ke jalan menunju syurga dan sesekali tidak akan melencung ke jalan lain.

Usaha-usaha untuk meluas dan melebarkan pemikiran Pas perlu disokong. Pas seharusnya menjadi parti dinamik dan pratikal seperti agama Islam itu sendiri yang bersifat rahmatan li alamin. Namun dalam hal ini ada beberapa perkara perlu diberi perhatian dan diteliti dengan sebaiknya supaya apa yang dilakukan itu tidak terlebih kepada politik (duniawi) daripada ukhrawi dan menepati tujuan sebenarnya manusia itu disyariatkan ke atas muka dunia ini.

Apa yang kena ingat politik hanya alat untuk mencapai kuasa. Dan kuasa pula bukan matlamat di dalam hidup. Kuasa adalah alat untuk mencapai kehidupan yang hakiki. Tuhan pula di dalam tuntutannya sama sekali tidak membenarkan sesuatu yang haq dan batil itu digaul sekali.

Salah satu pembaharuan yang diterokai Pas atau Kerajaan Kelantan yang agak kontroversi ialah menggunakan selebriti seperti artis dan pelakun sebagai alat dakwah! Ilham membawa atau memperalatkan penyanyi dan pelakun ini untuk kepentingan Islam sememangnya sesuatu yang baik.

Artis dan pelakun itu bukan najis. Jika boleh diumpamakan mereka sepertilah wang hasil pendapatan negeri yang diperolehi secara meragukan (subahat) dan disatukan ke dalam akaun khas. Wang ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan-tujuan lain seperti membantu orang bukan Islam.

Namun dalam hal ini kita bimbang apa yang berlaku tidak seperti itu. Membawa pelakun dan artis itu takut tergelecah dari niat asal sehingga ia menjadi perkara lain. Manusia itu sering lalai (ghafilun) manalah tahu kerana keasyikan mendengar nyanyian dan menatap wajah ayu pelakun, niat untuk agama itu akan bertukar kepada lain.

Mengawal syhawat

Kita yakin dengan ilmu dan benteng keimanan yang kuat Nik Aziz dapat menyempadankan dirinya antara haq dan batil tetapi bagaimana dengan orang lain khasnya anak-anak muda remaja! Kalau ada Exco yang terlepas tali dan tidak mampu mengawal syhawat, apalah dengan yang lain?

Adalah elok kalau para ulama Pas yang di luar belenggu Nik Aziz termasuk Dewan Ulama atau ustaz-ustaz muda yang dituduh pemimpin baru sebagai ekstrim memberi pandangan berhubung pembaharuan ini. Walaupun Nik Aziz mempuyai autoriti dan ilmu yang luas namun disebabkan beliau di keliling oleh pacat-pacat politik dibimbangi tindakan dan niatnya juga melencung kepada politik. Prinsip yang menjadi amalan doktor mencegah itu lebih baik daripada berubat adalah juga prinsip yang diajar oleh Islam dan harus dipraktikan.

Saya sendiri telah memberi pandangan membawa Asmawi Ani atau Mawi ke Kelantan beberapa tahun dulu sebagai tidak cocok dan tidak banyak membantu Pas Kelantan. Saya melihat kerja membawa Mawi itu kerja orang yang terdesak dan tidak yakin dengan kekuatan diri sendiri dan melanggar perinsip syariat Pas. Akhirnya apa jadi, walaupun niatnya baik tetapi perlaksanaan dan natijahnya tidak berbaloi.

Apa yang saya bimbangkan itu menjadi kenyataan. Apa tidaknya gara-gara Mawi menyebabkan berlaku sesuatu yang mengejutkan apabila ada Tok-Tok Imam yang tidak cukup zat iman dan akhlaknya turut sama menjadi egen menjual VCD nyanyian Mawi dan mempromosinya kepada anak buah. Merujakan lagi ada Tok Imam yang menghafal senikata lagu Seroja nyanyian Mawi dan mengajuk-ajuknya di dalam kuliah agama. Aduh...

Kini terbaru Kerajaan Pas mengundang pula Maya Karin, pelakun filem 'Pontianak Harum Sundal Malam'. Seperti juga Mawi, Maya tidak salah. Asal mereka dibayar setimpal dengan popularitinya, mereka akan pergi ke mana sahaja termasuk menyanyi di hadapan rumah Nik Aziz di Pulau Melaka sekalipun.

Secara ikhlas saya jadi terbatuk kecil apabila mendapat tahu Maya Karin di bawa ke Kelantan. Kononnya alasan kedatangan itu untuk mengambil bahagian dalam forum sempena Mini Fest Kelantan 2007 - yang pada saya pesta itu hanya menayangkan filem seorang pengarah dari Iran sahaja dan tidak lebih dari itu.

Apakah yang Maya boleh berikan sumbangan dalam dunia perfileman? Beliau seorang baru. Kalau betul Kerajaan Kelantan ingin menimba pengalaman filem dan menggalakan indutsri pembikinan filem di Kelantan, Kerajaan harus menjemput tokoh-tokoh filem atau pelakun lain yang lebih hebat dan berpengalaman daripada Maya Karin yang bukan 'muhrim' kepada Pas itu. Tetapi kenapa Maya Karin.

Pada saya jemputan ke atas Maya Karin itu sebagai gimik saja. Maya dijadikan alat untuk menarik anak-anak muda menghadiri program kerajaan negeri itu agar ia dilihat mendapat sambutan. Dari segi pengisian jiwa untuk mendidik anak-anak muda mendekati Allah agar menutupi aurat ia akan tidak tercapai kalau hanya setakat melihat Maya Karim berkelubung 'beruk' seperti isteri Abdullah Ahmad Badawi, Jeanne Abdulah apabila beliau berada di Kelantan.

Justeru fikiran nakal saya mengatakan pemanggilan Maya Karin ke Kelantan itu tidak memberi banyak sumbangan kepada Pas untuk menambahkan kerusi pada pilihan raya akan datang. Sebaliknya kedatangan Maya Karin itu untuk membolehkan sesetengah Exco Kelantan yang bersifat malu-malu kucing untuk bermesra dan melihat dari dekat bagaimana ayu dan anggunnya artis yang digossipkan dengan menantu PM, Khairy Jamalluddin. Atau apa kata untuk membolehkan Maya terus kekal di Kelantan tawarkan saja dia bertanding di mana-mana kerusi DUN di Kelantan. [wm.kl. 10:00 am 06/12/07]

No comments: