Friday, November 9, 2007

Susupan Pagi

Aliran Pemikiran Membahayakan Pas



“Pas adalah satu-satu parti politik Islam yang terdapat di negara ini dan ditubuhkan dengan menggunakan perkataan Islam pada nama pertubuhannya, ia menandakan pendekatan yang digunakan pakai Pas jelas dan terang halatujunya.

“Oleh sebab itu jika berlaku kepincangan didalam pelaksanaannya secara umumnya Islam juga boleh dikaitkan oleh golongan yang memusuhi Islam.
Sebagai pendokong jemaah Islam kita mempunyai tanggungjawab berganda menjaga kemuliaannya berbanding dengan kumpulan parti berfahaman sekular."

DEMIKIAN sebarisan petikan dalam tulisan sdr Zuhairy Muzzafar (yang dipostingkan dibawah) yang saya kira intipati kepada tulisan berkenaan. Sebenarnya itulah kelebihan Pas berbanding dengan Umno; iaitu Islam. Kerana dihujung nama Pas itu ada Islam. Kalau nama Islam itu tidak dipasang Pas adalah sama saja dengan Umno.

Dalam hal ini bagi saya kelainan itu tidak membawa apa-apa erti. Ia hanya berguna kepada deria penglihatan dan deria pendengaran saja. Mata melihat Islam dan telinga mendengar Islam bila disebut atau ditulis.

Apa yang lebih penting dari itu ialah praktiknya, amalannya menjadikan Islam itu sebagai cara hidup – way of live. Dalam konteks cara hidup dalam perjuangan ialah cara bertindak, menyelesikan masalah, membuat serangan balas, berhubung dengan rakyat dan penyokong dan sebagainya.

Bila sebut saja Islam ia mestilah menempati kehendak syariat Islam. Di mana di dalamanya tidak boleh hipokrit, tidak ada penyakit was-was mengenai kesucian dan kebenaran Islam. Walaupun Islam mengajar kita supaya berifkir, bermuslihat, namun ia tidak sampai terlepas daripada asasnya iaitu mesti berpaksikan kepada niat dan jalan kaedah yang halal.

Berjuta ringgit

Matlamat menghalalkan cara di dalam Islam tidak berlaku. Apa juga pencapaian yang baik ataupun gemilang, berjaya membawa wang berjuat ringgit untuk kehidupan dan mengembangkan perjuangan dan kemakmuran negeri, kalau ianya haram, maka ia tidak boleh dianggap baik dan diterima.

Mereka yang menerima wang ataupun mengira kememangan yang dicapai secara tidak halal itu, adalah mereka yang batal akidah perjuangan menegakkan tauhidnya. Mereka seumpama ini yang mahu membawa dunia kepada ahli dan membelakangkan akhirat. Sebab Islam tidak akan menerima sesuatu yang dicapai dengan tidak menerusi cara yang diaturkannya. Benar banyak jalan ke syurga, tetapi jalan yang membawa ke pintu syurganya hanya satu saja.

Saya masih ingat dan berpegang kepada sepatah kata Tok Guru Nik Abdul Aziz, katanya, air kencing tidak boleh membasuh dan digunakan untuk menyuci najis. Atau air kencing tidak boleh dibuat ambil wuduk.

Apa yang boleh difahami di sini, kekotoran tidak boleh dibersihkan dengan kotoran. Maknanya untuk mengambil keadaan Machiavelli (matlamat menghalalkan cara) seperti mana digunakan oleh Umno tidak boleh. Kalau Umno itu air kencing, maka Umno itu tidak boleh dilawan (dibasuh) dengan air kencing.

Fenoeman atau pendekatan itulah ada berlaku di dalam Pas sekarang ini yang harus difahami. Ada usaha oleh pihak tertentu cuba membasuh air kencing dengan air kencing. Atau membasuh najis dengan air kencing. Beberapa pendekatan, cara berfikir dan bertindak termasuk berbudaya (pakaian) dan gaya hidup mirip kepada cara dan budaya Umno.

Kerendahan moral

Sebenarnya aliran pembaharuan ini adalah sangat merbahayakan Pas. Pas mungkin dilihat sihat dan membangun duniawinya dengan cara ini, namun hakikatnya Pas sedang menuju ke arah kekurusan dan kerendahan moralnya sebagai parti yang di hujungn itu ada nama Islam.

Mungkin hal-hal sebeginilah yang ditekan dan diperingkatkan serta disedari oleh sdr Zuhairy Muzzafar tadi di man sekiranya ini tidak dibendung lama-kelamaan akan timbul kekeliruan sehinggakan sukar untuk orang ramai membezakan antara Pas dengan Umno selain daripada perkataan Islam di hujung namanya itu saja.

Ada orang Pas endak dan sedap menyelar Islam Hadhari sebagai bukan Islam sejati dan syumul, tetapi dalam tindak tanduk yang menyelar itu sendiri nampaknya lebih Hadhari daripada ulama dan tok lebaik Umno. Ada setengah orang Pas termasuk permimpin peringkat tertinggi berkokok hebat tapi tahi bergelumbang najis.

Lebih malang lagi fenomena ini turut sama mencemari Islam. Disebabkan Pas dianggap sebagai parti Islam ia boleh mengelirukan orang yang tidak tahu bezakan Pas dengan agama (Islam). Di mana kekeliruan ini menyebabkan mereka menyangka apa yang terbit daripada Pas itulah Islam. Kalau tanggapan ini wujud betapa malang dan bersalahnya orang-orang Pas yang menimbulkan tanggapan itu.

Berbudaya sama

Kesan jiwa politik daripada pemikiran dan pembaharuan (usaha pengkembaran) ini juga akhirnya menyebabkan orang akan menerima dan beranggapan Pas sama dengan Umno. Yang bezanya nama sahaja, tetapi dari segi perbuatan, cara berfikir, bertindak dan berbudaya sama dengan Umno.

Bila persepsi ini berlaku ketika inilah nanti Pas akan dilihat cuba mengfotokopikan perjuangan Umno sedangkan nawaitu asal kewujudannya ialah untuk memperbetulkan pemesongan syariat dan akidah oleh Umno. Saya yakin kalau Umno pada tahun 1951 tidak menodai perjuangan yang dibawa ulama, Pas tidak akan wujud.

Sekiranya tanggapan ini membesar dan subur, harapan dan nawaitu Pas untuk muncul menjadi kerajaan di negara ini akan menjadi lebih rumit dan lebih malang lagi lama kelamaan juga orang akan menilai dan membandingkan Pas dengan Umno dari sudut sama iaitu duniawi. Sekiranya timbang tara itu digunapakai selamanya Umno akan mengatasi Pas kerana kedudukan Umno sebagai kerajaan kelebihan berpihak kepada parti Melayu nasionalis itu. [wm.kl 11:41 01/11/07]


No comments: