Sunday, September 16, 2007

Ulasan Berita

Perihal membakar bendera.

Bendera adalah panji diri sesebuah negara. Ia juga adalah panji kepada sesuatu bangsa. Maruah dan kehormatan bangsa dan negara itu terletak kepada bendera. Bendera menjadi lambang kepada bangsa dan negara.

Bagaimana pun menghormatinya bukan sampai kepada peringat hukum wajib seperti mana hukum agama, seperti rukun Islam dan rukun Iman. Maknanya kalau tidak menghormati bendera tidak sampai akidah seseorang itu syirik atau kufur. Hukumnya berbeza dengan aksi ataupun perilaku umat Islam yang masuk ke dalam rumah berhala dan menghormati Tokong Budha.

Bendera hanya sehelai kain yang dicat dengan lambang sesebuah negara itu. Meterial kain itu adakalanya mahal dan ada kalanya lebih murah daripada sehelai stoking budak sekolah Tadika. Namun nilai dan maruahnya sangat mahal.

Oleh sebab itu bendera di letak dibawah atau ada peruntukan undang-undang untuk memelihara dan menghukum orang yang menghinanya. Perbuatan itu boleh disifatkan sebagai tidak petriotik dan cintakan dan boleh disifatkan penderhakaan kepada negara. Mereka yang tidak sayangkan kepada negara tidak berhak untuk berada di negara ini.

Jadi apabila ada orang bakar bendera di Batu Buruk, Kuala Terengganu minggu lalu ia sungguh menyakitkan hati kita semua. Perbuatan itu sebagai satu penghinaan dan tidak bermaruah terhadap bangsa dan negara berdaulat ini. Sesungguhnya perbuatan itu kena dikutuk sekeras-kerasnya. Dan si pelaku berkenaan hendaklah dihukum dengan hukuman setimpal dan seberat-beratnyanya tidak kira siapa orang itu.

Melainkan yang membakar bendera itu orang gila mungkin dia perlu dilepaskan. Tetapi kalau dia waras, tiak kira siapa dia, dan anak siapa, harus dikenakan tindakan. Kalau ia anggota polis sekalipun, polis tidak perlu menyelindunginya, atas alasan apa saja termasuk tidak dapat dikesan atau sebagainya.

Kalau dia orang Pas atau Keadilan, Pas dan Keadilan harus mengambil tindakan disiplin kepadanya walaupun perbuatan itu dalam rangka untuk memproteskan demi perjuangan parti berkenaan. Memang orang itu bersalah dan tidak boleh dilindungi atas dasar apa sekalipun, kecuali dia adalah seorang yang tidak waras dan sinting.

Hari ini masih kabur siapakah si pelaku itu sebenarnya? Apakah ianya dilakukan oleh orang yang memang atas niat datang ke situ kerana ingin membakar bendera ataupun pembakaran itu suatu provokasi oleh pihak-pihak tertentu (polis?) bagi memburukkan pihak pembangkang?

Apapun kita berharap ia akan selesai tidak lama lagi.

Dalam prihal membakar bendera ini kita juga mengalu-alukan tindakan polis yang berusaha untuk mengesan dan menangkap orang yang bertanggungjawab melakukannya. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang memberi komen melahirkan rasa benci atas apa yang berlaku. Itulah tanda sifat orang yang sayangkan kepada negaranya.

Tetapi di sini ingin saya timbulkan sedikit mengenai peristiwa pembakaran bendera kita di negara lain. Misalnya di Jakarta sudah berapa banyak bendera kita dibakar. Paling baru ialah baru-baru ini ketika timbul isu polis Malaysia pukul jurulatih karate Indoensia di Nilai Seremban, Negeri Sembilan (melibatkan polis juga), rakyat Indonesia yang marah dengan kejadian itu telah membakar Jalur Gemilang di Jakarta.

Kenapa orang kita tidak melenting dengan kejadian itu? Tidak ada pun orang kita yang tampil dalam tv atau surat khabar mengutuk kejadian itu. Paling menyedihkan seolah-olah orang kita tidak pun peduli langsung dengan kejadian itu.Pembakaran bendera kita itu tidak pun memedihkan hati kita.

Walhal ketika kejadian itu Menteri Luar Malaysia Syed Hamid Albar berada di Jakarta dan mungkin beliau turut terhidu bau hamis bendera kita dibakar. Tetapi apa yang menteri luar itu dilakukan? Beliau dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang juga turut berada di Jakarta hanya memohon maaf kepada rakyat Indoensia atas salah laku polis tetapi tidak pun kata apa atas perbuatan biadab rakyat Indonesia itu.

Kenapa mereka tidak berani mengutuk rakyat Indonesia yang biadab itu?

Berbeza dengan apa yang berlaku di Terengganu itu. Polis bukan main lagi menunjukkan keberengan dan dan belang keberanian mengutuk pembakar bendera itu. Siap dengan gerakan memburu si pelaku itu. Gambar-gambar orang yang disyaki dapat membantunya mengesan si pelaku itu di siarkan dalam akhbar bagaikan penjenayah sekejam pembunuh Altantuya!

Apakah rakyat kita bacul dan penakut untuk berhadapan dengan rakyat Indoensia? Kita hanya berani dengan anak buah – rakyat kita sendiri saja? Mungkin benarlah juga 'sabda' Sanusi Junid yang Melayu hari ini sudah penakut dan bacul!

Sepatutnya kalau kita benar petriotik, kita kutuk apa yang berlaku di Indonesia itu. Kita kecam kalaupun tidak sampai kita membalas dendam membakar bendera merah putihnya. Jangan kita hanya berani di kampong sendiri saja tetapi kecut perut bila berhadapan dengan orang lain.

Dalam hal ini nampak sangat polis kita bertindak double standard. Kalau dengan Melayu - sesama sendiri mereka berani tetapi kalau dengan orang lain, tidak usah kira rakyat Indonesia dengan penternak babi di Paya Mengukang, Alor Gajah Melaka pun mereka takut.

Nampaknya sikap polis ini sudah mewarisi sikap para atlit kita. Mereka berani dan menunjukkan hebat di gelanggang sendiri saja, tetapi kalau di luar mereka konyol dan kecut perut dan kalah roma!

Begitu juga dengan media arus perdana. Mereka tidak sepatutnya menonjolkan akan kejadian di Terengganu itu saja tetapi lebih elok kalau mereka minta komen orang ramai mengutuk apa yang berlaku di Jakarta tempoh hari. Kenapa tidak berani?

Hendaknya kita janganlah hanya berani kalau sesama sendiri dan menikus dan gerekuk macam ulat gonggok kalau dengan orang lain. Berani sesama sendiri tidak ada gunanya bahkan orang akan mengatakan kita bodoh.

Kita harus berani dengan orang luar yang jelas cuba mempermian-main dan merendahkan martabat kita. Sikap double standard ini adalah sifat hipokrit terhadap bangsanya sendiri yang tidak perlu diwarisi. [kb.kel.16/09/07]

No comments: