Friday, September 7, 2007

Geraman Rasa

Parlimen Bocor, Menteri Degil

BOCORLAH Parlimen seberapa banyak pun kau nak bocor. Kerajaan kita banyak duit boleh baiki bila-bila masa saja. Ikut suka kaulah. Siapa nak pedulikan kau? Walaupun kau telah diperbaiki sebanyak dua kali namun masalah kau tetap juga tidak dapat diatasi. Sudah lebih RM100 juta diperuntukan untuk membaikimu, namun ia tidak selesai-selesai juga.

Aku sendiri tidak mahu kata apa-apa lagi. Kalaupun kamu akan tenggelam kerana banjir pun aku tidak akan peduli. Biarlah kau bocor, biarlah kau tenggelam!

Sesiapa pun tidak akan dapat berbuat sesuatu yang baik dan sempurna kepadamu. Berilah peruntukan seberapa banyak hatta RM 1 billion pun kau tetap akan bocor dan tidak sempurna. Selagi manusia bernama manusia dan sistem yang ada hari ini tidak diubah, maka kau sakit selamanya. Kebcoranmu itu aku percaya kerana ada ketirisan dalam melaksanakannya. Aku percaya dan cukup yakin tentang hal ini.

Aku bingung memikirkan nasibmu, kenapa boleh bacor walaupun telah diperbaiki dua kali dan menelan peruntukan RM120 juta. Bukan sekali, dua kali kau mengalami kebocoran. Bukan sedikit, banyak wang digunakan untuk memulihkanmu. Aku berkenan kalau hujan menitis atas kepada Yang Berhormat yang sedang bersidang, baru padan muka mereka. Kalau terkena kepala Syed Hamid Albar aku tidak tahu nak bayangkan betapa marahnya dia.

Tidak sempurna

Apakah dirimu juga akan jadi macam orang yang menjagamu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Jabatan Kerjaraya. Banyak cakap tetapi kerja tidak pernah sempurna. Tidak ada kesungghan untuk mengatasi masalah. Segala permasalahan dijawab dengan bicara dan kata-kata yang berbelit-belit kadang-kadang emosi sekali.

Berpusing aku mendengar penjelasan menteri JKR, Samy Vellu menjelaskan mengenai kebocoran terbaru itu. Naik kesian aku dengar dia bercakap dengan suara tertekan, serak-serak basah macam kambing teran anak dan bahasa Melayu yang macam tali refia kena hujan.

Sukar untuk aku mempercayai yang dia seorang menteri Kabinet yang paling lama. Bahasa Melayunya masih lintang pukang macam ular kena palu. Tidak pandai-pandai dan tak reti-reti. Kalau di kampung aku budak yang tak pandai mengaji Quran dinamakan benak badak, macam Jihad Ternak Jihat Benak saja bunyinya.

Hujah dan alasan yang diberikan juga tidak masuk akal. Budak kecil yang cacat pendengaran dan pekak telinga pun tidak mudah untuk menerima alasan yang Samy Vellu berikan itu.

Adakah patut dan munasabah beliau memberi alasan kebocoran bangunan Parlimen itu kerana sampah. Ada orang buang sampah dan kayu-kayu diatas bumbung Parlimen menyebabkan bumbungnya rosak dan bocor.

Air liur meleleh....air liur meleleh... kenapa ke situ perginya bicara si Samy ini.

Tidak pernah terdengar oleh aku selama hanyat, ada orang buang sampah atas bumbung Parlimen. Tidak! Dari zaman Tun Razak sampailah ke zaman Mahathir tidak pernah terdengar. Alih-alih di zaman Abdullah Badawi ini ada orang buang sampah atas bangunan Parlimen. Macam-macam...!

Lebih melucukan lagi, apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Paduka Abdul Halim Abdul Rahman, yang ‘musykil masykura’... atas alasan itu, Samy Vellau mengatakan dia ada kelayakan untuk menyiasat kebocoran itu. “Kita ada kelayakan menyiasat kebocoran itu, sebab itu kita tahu bangunan itu bocor..” begitulah kira-kira kata-kata Samy Vellu penuh konfiden dan bangga dengan kelulusan sebagai arkitek.

Bingung

La... apa kena mengena dengan persoalan yang dibangkitkan Abdul Halim itu? Abdul Halim mempersoalkan alasan sampah dan beliau bingung mengapa sampah boleh ada atas bangunan Parlimen. Tetapi jawaban Samy Vellu, sebab dia ada kelayakan untuk menyiasat. Masykura... masykura...

Nampaknya lain yang ditanya lain yang difahami dan lain yang dijawab. Al Meliuk...air liur meleleh....

Di sini aku mahu tanya menteri berkenaan. Mungkin dia ada kelayakan untuk menyiasat segala macam kebocoran, tetapi apakah dia tidak siasat siapa yang membuang sampah dan kayu-kayan ke atas bumbung bangunan itu. Apakah si gagak hitam yang jahat itu? Siap kau gagak nanti Samy tembak sama kau...

Pergilah tanya siapa, orang tidak akan percaya kalau ada orang buang sampah atas bangunan itu. Kedudukan bangunan itu tinggi, atas bukit. Kalau bangunan itu berada di lembah macam rumah teras atau setinggan, ada kulihanya kalau ada orang buang sampah dan ada sampah jatuh atasnya.

Dahlah Samy jangan temberang lagi dan nak tunjuk pandai. Mengakulah kelemahan dan kesalahan anda. Cubalah belajar sikit jadi manusia baik dan jujur. Tahulah sikit menghormati integriti anda sebagai wakil rakyat. Tidak akan hilang maruah anda kalau anda mengaku kelemahan ada. Bahkan orang yang mengaku kelemahan dan kesilapannya akan dimaafi Tuhan dan dilihat mulia di sisi Tuhan.

Ingat orang berdegil akan dibenci. Orang yang ego akan dibenci. Orang yang sombong dan tidak bertanggungjawab juga akan dibenci. Orang yang buat kerja macam kucing timbus tahi juga akan dibenci. Entahlah kalau anda suka orang membenci anda, terserah!

Kalaulah lagak macam Samy dalam menjawab segala masalah termasuk soal ketirisan itu, aku juga rasanya mampu dan layak menjadi menteri. Ada masalah putar dan pusing. Atau kalau susah-susah ambil bantal tidur sahaja, jangan dengar dan peduli apa-apa. Tidur dengan bini lagi seronok, setidak-tidaknya boleh dia picit kepala atau garu belakang! Hahaha... hehehe...geli! [4.55 am 07/09/07]

No comments: