Tuesday, August 7, 2007

Catatan Dari Jakarta

Jakarta Bakal Dapat Gebenur Baru Esok

MSO

ESOK adalah hari penting bagi kira-kira lebih 5 juta rakyat di Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta yang layak membuang undi. Kerana esok adalah hari membuang undi untuk memilih Gebenur DKI Jakarta bagi perode 2007 – 2012.

Bagi mereka yang tidak menghayati Pilkada – Pemilihan Ketua Daerah itu, mungkin tidak akan merasai suasana hangat Pilkada berkenaan meskipun kini berada di jantung Jakarta.

Kota Jakarta kini dingin saja, dan biasa-biasa, seolah tidak ada apa yang berlaku kerana ketika ini sedang berlangsung tempoh bertenang selepas beberapa bulan pihak-pihak bertanding berkempen untuk merebut jawatan berkenaan.

Dalam tempoh ini mana-mana calon atau wakil atau agen calon tidak lagi dibenarkan berkempen.

Semua lambang, risalah dan banting juga diperintah dibuang. Mana-mana yang engkar akan dikenakan tindakan di bawah akta Suruhanjaya Pilihan Raya (Komisi Pemilihan Umum DKI Jakarta).

Pilkada untuk memilih Gebenur DKI Jakarta kali ini dikira bersejarah kerana ia bukan sahaja dipilih langsung oleh warga Jakarta tetapi inilah kali pertama pertandingan berlaku secara satu lawan satu antara dua kumpulan / fraksi parti politik. Berbeza sebelum ini terdapat lebih daripada dua pasang calon untuk merebut jawatan berkenaan.

Didokong

Dua pasang yang bertanding kali ini ialah, antara Fauzi Bowo dan Prijanto yang akan berhadapan dengan pasangan Adang Daradjatun dan Dani Anwar. Perebutan jawatan ini menjadi panas dan meriah apabila masing-masing pasangan didokong oleh parti-parti politik Indonesia termasuk parti-parti terkemuka.

Pasangan Fauzi dan Prijanto disokong oleh 19 parti politik termasuk parti politik yang diketuai oleh Megawati Sukarnoputeri dan Abdul Rahman Wahid (Gusdur) serta Parti Persatuan Pembangunan (PPP).

Manakala pasangan Adang dan Anwar disokong oleh Parti Keadilan Sejahtera (PKS), satu-satunya parti yang dikatakan sedang mendapat sambutan hangat di seluruh daerah di Indonesia dan berpotensi menjadi parti alternatif rakyat Indonesia di masa mendatang.

Fauzi adalah bekas pegawai kerajaan selama 30 tahun dan pernah memegang jawatan timbalan Gebenur DKI Jakarta. Beliau dilihat sebagai calon elit dan bangsawan. Manakala Adang adalah bekas Pegawai Tinggi Polis Indonesia.

Dari tinjuana ringkas lewat petang tadi ternyata pasangan Fauzi dan Prijanto lebih menonjol dan popular. Bekasan gambar dan poster beliau masih lagi terdapat di kenderaan umum dan juga tembok.

Populariti itu sesuai dengan pasangan itu yang disokong oleh parti Golongan Karya Rakyat (Golkar) dan Juga PDI-Perjuangan – yang lebih tua berbanding dengan parti PKS di Jakarta.

Sehingga lewat petang ini Fauzi dan pasangan masih lagi ‘berkempen’ turun padang untuk mengadakan perlawanan Futsal dengan artis Kota Jakarta di Dataran Monas.

Pun begitu, ada juga pendapat mengatakan pasangan Adang dan Dani yang disokong oleh PKS tidak begitu menonjol kerana mereka mengambil sikap sedarhana sesuai dengan pendekatan dan juga misi parti berkenaan yang lebih mirip kepada parti Islam.

Mengenai isu yang dimainkan oleh kedua pasangan yang bertanding itu, pasangan Fauzi dan Prinjato mengambil pendekatan realiti masyarakat Indoensia yang mahukan kebebasan tanpa dibatas adat dan agama. Pasangan ini menggunakan moto “Jakarta Untuk Semua” dan sangat mempercayai kepada porinsip demokrasi bebas ala Barat.

Pasangan Adang dan Dani Anwar pula mengambil pendekatan Islam dengan menggunakan atau memakai slogan “Moden Aman Sejahtera”. Pasangan ini khabarnya berusaha untuk mengembalikan Piagam Jakarta yang mana berhasrat untuk menguatkuasakan syariah Islam di Kota yang memiliki 18 juta nyawa ini dengan keluasan 650 km.

Bergantung nyawa

Wawasan ataupun manifesto ini tidak disetujui oleh pasangan Fauzi dan Prijanto yang melihat pendekatan dan cita-cita itu boleh melemahkan Jakarta yang bergantung nyawa kepada pelabur asing dan juga aktiviti sosialnya yang rencam sebagai menambah pendapatan penduduk kota kosmopolitan berkenaan.

Lebih menggerunkan lagi impian pasangan yang didokong PKS itu dituduh sebagai bakal menyuburkan gerakan militan di Indonesia!

Dalam pada itu ada sesuatu yang agak melucukan di sepanjang kempen Pilkada berkenaan di mana isu kumis juga turut dimainkan. Terdapat slogan di risalah kempen di pihak Fauzi merayu agar pengundi mengundi calon yang berkumis. Mungkin slogan itu kecil tetapi ia membawa makna tersendiri kerana kedua pasangan lawannya tidak berkumis (bermisai).

Apa yang boleh disimpulkan perlawanan antara kedua pasangan itu tak ubah seperti perlawanan antara Pas dengan Umno (BN) di Malaysia. Pasangan Fauzi dan Prijanto ialah BN dan pasangan Adang dan Dani adalah Pas.

Manakala satu laporan dipetik daripada akhbar Koran Tempo, pihak Komisi Pemilihan Umum DKI Jakarta mengakui kempen kali ini adalah hangat di mana penggunaan wang begitu berleluasa.

Dari laporan rasmi diterima badan itu menunjukkan pasangan Fauzi dan Prijanto telah menerima peruntukan belanja daripada umum sebanyak Rp46.9 juta, manakala pasangan Adang dan Dani Anwar pula menerima peruntukan sebanyak Rp 45.3 juta. [jkt 07/08/07]

1 comment:

Anonymous said...

salam,

tuan maaf kalau komen saya agak keras, tp inilah hakikat kebenarannya, pas sama sekali tidak layak nak dibandingkan dengan PKS, JAUH dan AMAT BERBEZA, PKS mereka tertegak dari da'wah islamiyyah , dan dari dahulu hingga sekarang masih tertegak dan mendahulukan da'wah dari segalanya, berbeza pas yang mereka hanya tertegak atas dasar politik, APA PAS TIDAK ISLAMI? tidak ,malah dari segi teorinya pas setanding lah kita boleh katakan dengan PKS, namun bukan realitinya, jadi saya amat malu kalau pas nak claim diri mereka sama dengan pks,hamas,akp, kerana tiada apa yang kita dapat samakan, jadi solusinya, gerakkan da'wah dan tarbiyyah dahulu hentikan mainan isu dan semangat semata-mata, serulah kepada keimanan bukan politik , pks,im,akp,hamas, mereka hidup atas da'wah dan politik itu hanya landasan sahaja tetapi pas jauh sekali, hanya sebahagian kecil sahaja ahlinya yang sedar namun mereka x boleh berbuat apa, HENTIKAN HENTIKAN SEKARANG, JALANKAN JALANKAN JALANKAN SEKARANG...........