Wednesday, May 16, 2007

Menjelang Muktamar PAS Ke-53

Psywar dan Kebodohan Sudah Mula Menerawang.

MSO

APA yang dibimbangkan oleh sesetengah pihak dalam Pas sekiranya pemilihan parti diadakan pada muktamar tahun ini ia akan menganggu fokus untuk menghadapi pilihan raya umum menjelang tiba tampaknya sudah menampakkan tanda-tanda kebenarannya. Kebimbangan itu seperti akan menjadi kenyataan dan Pas akan menerima musibah yang mereka sendiri doakan.

Pemimpin tertinggi Pas berbeza pandangan dalam soal ini. Sesetengahnya, khasnya golongan yang dilabelkan sebagai profesional tidak begitu setuju pertandingan diadakan demi menjaga keutuhan parti. Mereka memberi alasan dan kebimbangan kalau berlaku pertarungan apa lagi diperingkat pucuk pimpinan tertinggi ia menyebabkan tumpuan Pas untuk menghadapi pilihan raya akan terganggu.

Bukan itu saja, mereka bimbang pertandingan itu kelak akan dieksploitasikan oleh pihak musuh parti itu untuk mendakyah kepada umum bahawa keadaan di kalangan pemimpin Pas tidak seiya dan sekata. Kalau itu berlaku Pas terpaksa mengambil sedikit masa untuk menjelaskan kepada ahlinya dan ini menyebabkan Pas membuang masa.

Mereka ini lebih meletakkan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri ataupun jawatan. Mereka berpendapat jawatan dan perebutan kuasa boleh dilakukan pada tahun lain dan tidak perlu disegerakan. Tentunya juga buat masa ini tidak ada apa-apa kelemahan kepimpinan hari ini untuk ditukar segera kecualilah di barisan pegawai kerja di pejabat agung parti itu ternyata lemah dan tidak mampu menjalankan tugas parti seperti diharapkan.

Jadi rubber stamp.

Setengah pegawai di pejabat agung berkerja menanti arahan dan menjadi rubber stamp tanpa sedikitpun menggunakan akal atau cuba berfikir sendiri apa yang patut dilakukan. Setengahnya memegang jawatan kerana disuruh dan bukan atas kemahuan sendiri dan pemilihannya berasaskan peribadi namun tidak kepada merit. Bagaimana pun para pegawai itu boleh dilantik selepas muktamar dan jawatan-jawatan itu tidak terlibat dengan pemilihan.

Manakala pihak yang mahukan pemilihan diadakan tidak bersetuju dengan alasan itu dan tetap mahukan pemilihan diadakan seperti biasa. Bagi mereka yang kebanyakannya bekas penyandang dan terdiri dari golongan tua dan berfikiran konservetif menggunakan alasan permilihan itu perlu untuk Pas tidak dilihat sama seperti Umno iaitu tidak demokratik.

Sebenarnya alasan itu tidak pratikal dan bukan bijaksana kerana dalam saat-saat Pas mahu berhadapan dengan pilihan raya Pas seharusnya mengelakkan pergaduhan sesama sendiri yang bakal timbul ekoran pemilihan itu. Apa dibimbangkan (sebab ahli Pas ada perasaan dan nafsu) kalau berlaku perlawanan ia akan meninggalkan kesan kalau tidak sampai patah, tetapi yang tentunya ia akan menggelupas.

Ahli Pas tidak maksum dan tidak semua ikhlas dan suci dalam perjuangan. Tidak semua juga ahli-ahli Pas menerima tarbiyah (memimjam istilah Pas) di dalam perjuangan. Masih ada ahli Pas yang bernafsu dan berpegang kepada pegangan yang ekstrim. Jadi dalam realiti seperti itu Pas tidak seharusnya merealisasikan demokrasinya secara bodoh tanpa berhati-hati dan melihat kepada muslihat pihak musuh yang senantiasa mencari jalan untuk memecahkan benteng Pas.

Apakah ahli-ahli Pas hari ini benar-benar masak dengan politik dan juga perjuangan? Kalau ahli Pas sudah terdidik secara Islam, menaati pemimpin dan menjaga maruah parti tentulah seruan yang dibuat oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz pasti akan diikuti. Siapa lagi yang “suci” dan “mulia” kedudukannya di dalam Pas selain Mursyidul Am. Mursyidul Am adalah jawatan tertinggi.

Pandangan Nik Aziz tak dihirau.

Tetapi nampaknya seruan Nik Aziz juga diengkari. Nik Aziz sendiri dalam hal ini berpandangan jauh dan bijaksana dan tidak yakin kepada tarbiyah ahli Pas apabila beliau bersetuju agar pemilihan tahun ini ditangguhkan. Namun sayang, seruan dan pandangan beliau itu tidak dihiraukan. Di Kelantan sendiri berlaku pertandingan melibatkan dua kawasan iaitu di Pasir Mas dan Pasir Puteh. Apakah pihak yang mengengkari pandangan Nik Aziz itu sudah dicocok awal-awal?

Tidak ada guna sesen pun bagi Pas kalau mereka berjaya menunjukkan ianya sebuah parti demokratik tetapi dari sikap demokratik itu akhir ia merosakan parti itu sendiri.

Apabila berlaku demikian timbul juga suara-suara dari pihak yang mahukan pertandingan diteruskan kononnya pihak yang tidak bersetuju itu sayangkan kepada kedudukan mereka. Mereka takut jawatan yang disandang kini akan terlepas. Tuduhan dan dakwaan ini sudah membuktikan betapa politik di kalangan sesetengah orang Pas tidak suci dan tidak bersih.

Yang merasakan pertandingan itu tidak perlu bukan saja pemegang jawatan, tetapi orang lain juga termasuk pemerhati dan mereka yang mahu melihat Pas berjaya. Rasanya soal sayang jawatan tidak timbul di dalam Pas kerana jawatan dalam Pas tidak bersifat komersial! Kalau Pas sudah merasakan ahlinya cukup tarbiyah sehingga merasakan pertandingan tidak akan memecah belahkan parti, bagaimana pula boleh menuduh ada orang yang sayangkan kedudukan?

Seperti mana dikatakan tadi kebimbangan perpecahan itu akan menimbulkan masalah nampak sudah bermula. Mulai petang semalam sudah tersebar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyenaraikan serangkai nama-nama calon yang perlu dipilih dan menggurkan beberana nama lain. Kumpulan itu disenaraikan sebagai pasukan “Penyelamat Pas”. Nama-nama yang disenaraikan itu mempunyai sifat tersendiri dan ia sangat kontras dengan sebahagian kalangan pemimpin Pas lain. Ada mirip rupa wajah Islam dalam senarai berkenaan.

Konotasi nama yang diberikan kepada kumpulan itu “Team Penyelamat” boleh ditafsirkan oleh musuh bahawa Pas kini berada dalam keadaan darurat. Sebenarnya pentafsiran yang bakal wujud dari kebodohan Pas sendiri inilah yang tidak dimahui dan perlu dielakkan.

SMS ini pasti akan tersebar luas dua tiga hari nanti. Tentulah juga pihak yang tidak termasuk di dalam senarai itu akan menjawab dan menyenaraikan pasukan mereka. Kalaupun mereka tidak menjawab tetapi penyokong masing-masing akan berusaha untuk membela mereka. Bila balas membalas berlaku, di sinilah kebimbangan perpecahan akan terjadi dan musuh akan terus menyelinap dan akan menyanyikan lagu Pas sudah berbalah dan berpecah.

Kerja Umno.

Mengenai SMS itu tidak mungkin ada pihak yang sanggup mengaku dan tetap akan menafikan mereka yang punya kerja. Tetapi kalaulah ianya datang dari orang Pas sendiri alangkah dikesalkan. Jelas menunjukkan perangai orang Pas lebih kurang sama dengan orang Umno. Kalau Umno menggunakan kempen kotor dan melebih-lebih, orang Pas juga berbuat hal demikian.

Bagi menenangkan otak biarlah ahli Pas pelu menerima SMS berkenaan bukan datang dari Pas, tetapi dari pihak musuh Pas. Sudah semestinya musuh Pas akan mengambil peluang ini seoptimanya untuk melemahkan Pas kerana mereka tahu kekuatan Pas hari ini boleh dihancurkan dengan pergaduhan sesama sendiri. Jadi mereka terus akan menjadi syaitan untuk menghasutkan Pas.

Kebimbangan pemilihan pada muktamar ke- 53 bermula pada 1 - 3 Jun hadapan boleh meninggalkan kesan buruk sudah terasa. Sekiranya kesan ini meluas dan memberi impak buruk kepada Pas, maka pihak yang mahukan pertandingan diadakan tahun ini kenalah bertanggungjawab dan sekaligus menangkiskan serangan-serangan yang bakal dilakukan ke atas Pas selepas ini. Apapun masa masih tersisa untuk Pas memikirkan secara hikmah bagaimana perlunya pertandingan itu ditangguhkan dan semangat syura yang menjadi kebanggaan Pas selama boleh dipraktikkan!

No comments: